Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Orang ramai tidak perlu takut biawak benggala di kawasan bandar, kata pakar haiwan liar

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Biawak benggala sudah menyesuaikan diri kepada kehidupan di kawasan bandar dan kerap menggunakan longkang. Atas sebab itu ia sering dilihat di tempat-tempat seperti blok HDB atau kedai kopi baru-baru ini, kata pakar haiwan liar kepada Mediacorp. 

Orang ramai tidak perlu takut apabila terserempak haiwan itu kerana ia sebenarnya pemalu dan tidak akan bersikap agresif terhadap manusia, tambah mereka.

Minggu lalu, seorang penduduk di Bedok North Road didatangi seekor biawak benggala di luar flatnya di tingkat tiga, manakala seekor lagi biawak dilihat di lobi lif dan belebas sebuah blok HDB di Punggol. 

Pada Januari, pelanggan di sebuah kedai kopi di Punggol terkejut dengan kehadiran seekor biawak benggala di kedai itu. 

Rakaman video menunjukkan biawak itu dikejar seorang pekerja kedai berkenaan dengan penyapu dimuat naik ke TikTok. 

Menurut laporan media seawal 2013, reptilia itu juga dikesan di lif LRT, jalan raya, luar pusat beli-belah dan di bawah sebuah kereta api di depot SMRT. 

Biawak benggala yang dilihat di Bedok North itu mungkin diganggu dan memanjat tangga untuk melarikan diri dari bahaya, kata Encik Kalai Vanan, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (ACRES). 

"Ironinya ialah biawak benggala itu dilihat tidak jauh dari tempat tinggalnya. Biawak benggala, sama seperti memerang, merupakan haiwan liar di Singapura yang sudah menyesuaikan diri dengan kawasan bandar," tambah Encik Kalai, sambil menarik perhatian bahawa reptilia itu mungkin datang dari "kawasan hijau berhampiran" seperti Taman Bedok Town atau Kom Air Bedok.

"Haiwan ini yang mudah takut dan akan melarikan diri jika rasa terancam. Memandangkan ia pandai panjat, banyak akan mencari tempat tinggi yang lebih selamat." 

Presiden Persatuan Herpetologi Singapura Kannan Raja berkata, tempat tinggal biawak benggala semakin berkurangan. Oleh itu, reptilia tersebut akan pergi ke kawasan-kawasan bandar berdekatan untuk mencari makanan, sekali gus "meningkatkan risiko kontak dan konflik bersama manusia", tambahnya. 

Dr Shawn Lim, bekas Presiden Persatuan Alam Semulajadi (Singapura) dan pensyarah kanan di Sekolah Alam Sekitar Asia di Universiti Teknologi Nanyang, menarik perhatian bahawa sesetengah orang mungkin terkejut apabila terserempak dengan biawak benggala berkeliaran di kawasan bandar kerana mereka mengaitkan haiwan itu dengan kawasan bakau dan takungan air. 

Namun, memandangkan ia biasa dilihat di dalam dan sekitar longkang, biawak benggala di Bedok North itu mungkin "tinggal berdekatan" dengan tempat ia dilihat, kata Dr Lum. 

"Pada siang hari, apabila orang ramai bekerja dan estet perumahan kelihatan agak tenang, biawak benggala boleh meneroka jauh tanpa dikesan oleh mana-mana penduduk." 

Biawak benggala biasanya karnivor yang makan pelbagai jenis makanan seperti serangga, ketam, ular dan ikan. 

Encik Kannan berkata, reptilia itu tidak menimbulkan bahaya kepada manusia selagi ia tidak didekati.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan