Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Orang ramai puji lampu Hari Raya Geylang Serai sebagai "cantik"

Orang ramai mengalu-alukan lampu Hari Raya yang dinyalakan di kawasan Geylang Serai sebagai "cantik".

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Orang ramai mengalu-alukan lampu Hari Raya yang dinyalakan di kawasan Geylang Serai sebagai "cantik".

Lampu hiasan sepanjang 1.4 kilometer itu, yang menganjur dari Changi Road hingga Sims Avenue, berbentuk Pelita Raya Buluh serta motif bintang dan bulan sabit iaitu lambang agama Islam.

Sebagaimana zaman sebelum pandemik, ungkapan "Selamat Hari Raya" menjadi kata-kata utama di gerbang Lampu Hari Raya tahun ini.

Seorang pengujung yang berada di Geylang Serai malam semalam (25 Mac), Cik Kamilah Abas, 49 tahun berkata: "Saya dapati lampu Hari Raya tahun ini cantik, berkelap-kelip dan berwarna warni menceriakan suasana Hari Raya yang bakal menjelang tidak lama lagi."

"Memang betul-betul cantik. Sekarang ini belum jadi betul-betul. Kalau minggu depan menjadi lebih meriah, lagi semua orang akan gembira dan suka," ujar Cik Rasidah Sabir pula, 68 tahun. Beliau secara kebetulan berada di kawasan Geylang Serai dan dapat menyaksikan penyalaan Lampu Hari Raya itu.

Hiasan lampu tahun ini yang membawa tema "Gotong Royong - Perpaduan dan Berdaya Tahan", dilancarkan malam semalam oleh Menteri Kewangan Lawrence Wong. Beliau ditemani para pemimpin politik Melayu yang lain termasuk Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zukifli, Menteri Negara Pembangunan Negara Dr Faishal Ibrahim serta Datuk Bandar CDC Tenggara Fahmi Aliman.

Kawasan lubuk Melayu itu akan bermandikan cahaya sehingga 8 Mei ini.

Lampu-lampu tersebut akan dihidupkan dari jam 7.00 malam hingga 12.00 tengah malam pada hari-hari biasa. Pada Jumaat dan Sabtu pula ia akan dihidupkan hingga 2.00 pagi.

Pada malam Raya pula, lampu-lampu itu akan dinyalakan sehingga 6.00 pagi.

Bagaimanapun sebagai memperingati Earth Hour pada Sabtu (26 Mac), Lampu Hari Raya akan dihentikan seketika dari jam 8.30-9.30 malam.

RANGKA BAZAR GEYLANG SERAI MULA KELIHATAN

Satu lagi acara kemuncak yang amat dialu-alukan masyarakat Melayu/Islam setempat adalah kembalinya bazar Hari Raya secara fizikal tahun ini.

Semalam (25 Mac), struktur bagi khemah-khemah bazar sudahpun mula kelihatan di pekarangan Wisma Geylang Serai (WGS).

Ruang Persada Seni di tingkat satu WGS akan menempatkan gerai-gerai runcit manakala gerai-gerai makanan halal boleh dikunjungi di luar pekarangan WGS.

Seorang pengunjung di kawasan Geylang Serai, Cik Fauziah Omar, yang berusia 60-an tahun berkata: "Saya rasa gembira dan bahagia sebab selepas dua tahun, rasanya perniagaan pun menurun dan meruncing dan mereka pun rasanya terlalu bahagia dan teruja juga untuk berniaga. Mungkin tahun ini akan lebih meriah lagi."

Bazar Pengalaman Membeli-Belah Hari Raya Geylang Serai akan berlangsung dari 2 April sehingga 2 Mei nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan