Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Orang ramai mula banjiri Pasar Geylang Serai sejak 5.00 pagi, tetap berbelanja meski harga barangan naik

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seawal jam 5.00 pagi lagi hari ini (30 Apr), orang ramai sudah membanjiri Pasar Geylang Serai untuk membeli barangan keperluan bagi menyediakan juadah Hari Raya nanti. 

Keadaan sesak sehingga jam 12.30 tengah hari dan barisan panjang beratur masih kelihatan di kedai-kedai daging dan ayam. 

"Sudah dua tahun tak beraya jadi tahun ini mereka macam lepaskan geram. Jadi bermacam-macam yang mereka membeli dan berbelanja," kongsi salah seorang pemilik gerai, Anwardeen Sulaiman.

Encik Anwardeen menambah bahawa mereka yang datang ke pasar ini tidak "putus-putus" sejak jam 5.00 pagi tadi.

"Pada jam 5.00 pagi, orang sudah datang berbelanja kerana mereka takut barang tidak ada. Itu sebab yang membuatkan ramai (datang) sebab mereka takut tidak dapat barang-barang itu," ujar beliau.

Menurutnya lagi, meski dengan kenaikan sekitar 20 hingga 30 peratus, harga barangan asas seperti cili kering, kacang panjang dan tahu, rata-rata pelanggannya memahami kenaikan kos yang didorong beberapa keadaan semasa. 

"Mereka faham harga semua meningkat, harga semua dah naik jadi kita orang jualan pun senang sedikit," kata Encik Anwardeen. 

Tambah beliau lagi, gerai-gerai di pasar Geylang Serai ini sudah mula diserbu orang ramai sejak minggu lepas lagi.

PARA PENIAGA RIANG SAMBUT PELANGGAN 

Seorang lagi pemilik gerai, Cik Nirma Nasir yang menjual daun janur ketupat dan kelapa parut turut mendapati sambutan yang amat memberangsangkan hari ini (30 Apr) berbanding dua tahun sebelum ini. 

"Sambutan hari ini sangat memberangsangkan, kalau berbanding dua tahun sebelumnya. Jadi ini amat menggalakkan dan anda boleh lihat ramai orang sejak 5.00 pagi tadi," kongsi Cik Nirma kepada BERITAmediacorp.

"Saya rasa ini adalah masa yang baik untuk kedai-kedai membuka semula perniagaan mereka. Alhamdulillah sangat bersyukur banyak orang datang," tambah beliau. 

Menurutnya lagi, daun janur ketupatnya sudahpun habis dijual sejak 6.00 pagi lagi. 

PELANGGAN TETAP BERBELANJA WALAUPUN HARGA BARANGAN NAIK 

Meskipun terdapat kenaikan pada harga beberapa barangan keperluan untuk menyediakan juadah Hari Raya, ia tetap tidak mematahkan semangat orang ramai untuk berbelanja bagi menyambut para tetamu pada 1 Syawal kelak. 

Ini memandangkan Aidilfitri kali ini lebih istimewa setelah dua tahun lebaran disambut dalam keadaan terbatas dengan had-had yang ditetapkan ekoran COVID-19. 

Antara yang berbelanja di Pasar Geylang Serai hari ini termasuk Cik Aqilah, 33 tahun yang teruja dan tidak memikirkan sangat tentang kenaikan harga barangan bagi Hari Raya. 

"Tahun ini dapat menyambut Hari Raya kan jadi apa salahnya borong sahaja?" kongsi Cik Aqilah.

Bagi beberapa lagi pelanggan yang kami temui, mereka juga akur akan kenaikan harga namun masih tetap membelinya kerana faham akan keadaan sekarang ini. 

"Kalau beli kacang dan barang kering, ada yang S$5 naik S$1 begitu, kongsi Cik Maria Ibrahim.

"Harga semua naik tahun ini tapi tak apalah kita nak makan jadi beli sahaja lah," tambah beliau.

"Ini adalah tradisi kita seperti setiap tahun. Jadi kali ini kita akan berkumpul sekeluarga jadi perlu berbelanja lebih sedikit," kongsi Siti Hazah, yang mendapati harga barangan naik sekitar S$2 atau S$3. 

LEBIH MUDAH DAN CEPAT DAPAT MASUK KE PASAR

Berhubung proses untuk masuk ke pasar Geylang Serai pula, ia kini lebih mudah dan cepat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Jika dahulu perlu beratur untuk menunggu giliran, para pengunjung kini bebas untuk memasuki pasar Geylang Serai pada bila-bila masa sahaja, tanpa perlu menggunakan aplikasi atau token TraceTogether mereka di sini.

"Walaupun ramai orang, tetapi senang untuk masuk. Tiada SafeEntry dan tidak perlu beratur untuk orang ramai masuk," menurut Cik Hazah. 

"Alhamdulillah tahun ini, lebih mudah daripada tahun-tahun lepas kerana tak ada 'SafeEntry', tak ada pegawai-pegawai yang menjaga, dan tak ada penghalang-penghalang. Semua sudah buka," kongsi Encik Iswandi, 40 tahun. 

Para peniaga menjangkakan keadaan akan terus sesak di pasar itu hingga hari Isnin, menjelang Syawal. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan