Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Orang ramai letak jangkaan tinggi CEO SG sokong, ganding bahu dengan Pemerintah berhubung isu sosial

Anggaran Waktu Membaca:
Orang ramai letak jangkaan tinggi CEO SG sokong, ganding bahu dengan Pemerintah berhubung isu sosial

(Gambar: Institute of Policy Studies/Jacky Ho)

SINGAPURA: Dengan dunia bangkit semula daripada krisis COVID-19, terdapat keinginan kuat di seluruh dunia - termasuk Singapura - bagi perniagaan dan pemimpin mereka menjadi penyokong lebih aktif serta berganding bahu dengan pemerintah dalam isu-isu sosial seperti ketidaksamarataan, diskriminasi dan perubahan iklim.

Demikian antara dapatan Barometer Keyakinan Edelman 2023 iaitu satu tinjauan global tahunan mengenai keyakinan dan kredibiliti.

Tinjauan tersebut, yang dikeluarkan pada Rabu (15 Mac), bertanyakan kepada responden apa jangkaan yang diletakkan kepada ketua pegawai eksekutif (CEO) mereka untuk dilakukan mengenai lima isu masyarakat meliputi layanan terhadap pekerja, perubahan iklim, diskriminasi, jurang kekayaan dan penghijrahan.

Di Singapura, 87 peratus responden berkata mereka menjangkakan CEO mereka mengambil "pendirian terbuka" mengenai layanan terhadap pekerja, manakala 80 peratus meletakkan jangkaan yang sama bagi perubahan iklim dan 76 peratus untuk isu diskriminasi.

75 peratus responden meletakkan jangkaan agar CEO mereka bersuara tentang isu jurang kekayaan dan 70 peratus meletakkan jangkaan sedemikian bagi isu penghijrahan.

Sementara itu, 79 peratus responden di Singapura percaya bahawa para CEO "bertanggungjawab untuk menarik balik wang pengiklanan daripada platform yang menyebarkan maklumat salah", dibandingkan dengan purata global sebanyak 71 peratus.

Hampir tiga suku (76 peratus) berkata mereka percaya CEO "bertanggungjawab untuk mempertahankan fakta dan mengetengahkan sains yang mencurigakan yang digunakan bagi mewajarkan dasar sosial yang teruk", dibandingkan dengan purata global sebanyak 72 peratus.

Di Singapura, para responden merasakan perniagaan tidak melakukan usaha yang mencukupi dalam isu-isu perubahan iklim (52 peratus), kekurangan tenaga (48 peratus) dan ketidaksamarataan ekonomi (45 peratus).

Tinjauan itu juga mengajukan soalan tentang sama ada perniagaan melampaui batas dalam isu-isu sosial tersebut. Namun responsnya agak rendah, dengan 4 hingga 8 peratus responden di Singapura berkata bahawa perniagaan-perniagaan berkemungkinan melampaui batas.

Responden juga ditanya jika perniagaan-perniagaan boleh mengelak daripada berpolitik apabila menangani isu-isu masyarakat yang kontroversil. Di Singapura, majoriti (55 peratus) setuju bahawa perniagaan-perniagaan boleh berbuat sedemikian.

Walau bagaimanapun, "kerjasama pemerintah dengan perniagaan" dianggap oleh responden di Singapura sebagai pendekatan yang berkemungkinan besar menghasilkan tindakan konstruktif terhadap isu-isu berkait masyarakat di negara ini.

43 peratus memilih pendekatan itu iaitu lebih tinggi berbanding pendekatan "pemerintah dan perniagaan berfungsi secara berasingan" (18 peratus), "pemerintah bekerja secara sendirian" (18 peratus) dan "perniagaan bekerja sendirian" (11 peratus).

Untuk meningkatkan keyakinan ekonomi, responden di Singapura berpendapat bahawa pemimpin perniagaan boleh memainkan peranan dengan melabur dalam pampasan yang adil, masyarakat tempatan dan membayar cukai.

Secara khusus, lebih 80 peratus responden berkata para CEO bertanggungjawab untuk membayar gaji yang adil kepada pekerja, memastikan masyarakat setempat selamat dan berkembang maju, membayar cukai korporat serta melatih semula para pekerja.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan