Skip to main content

Singapura

Orang ramai ghairah mahu makan 5 orang di luar, bantu sumbang kepada perniagaan F&B

Bermula hari ini (12 Jul), orang ramai boleh menjamu selera di luar dalam kumpulan sehingga lima orang berbanding hanya dua orang sebelumnya di bawah Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat).

Anggaran Waktu Membaca:
Orang ramai ghairah mahu makan 5 orang di luar, bantu sumbang kepada perniagaan F&B

Pusat Penjaja Pasar Geylang Serai. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Diterbitkan : 12 Jul 2021 06:50AM Dikemas Kini : 12 Jul 2021 05:23PM

SINGAPURA: Bermula hari ini (12 Jul), orang ramai boleh menjamu selera di luar dalam kumpulan sehingga lima orang berbanding hanya dua orang sebelumnya di bawah Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat).

Kelonggaran ke atas langkah-langkah sekatan itu dibuat ekoran jumlah kes baru COVID-19 yang sudah merosot dalam kalangan masyarakat.

Ternyata, pengumuman oleh Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) COVID-19 pada 7 Julai lalu itu dinanti-nantikan orang ramai.

Mentelah lagi, harapan dan jangkaan orang ramai untuk dibolehkan makan berlima di luar semasa pengumuman awal Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat) meleset, apabila pemerintah menyesuaikan had kepada hanya dua orang sekumpulan.

Khususnya bagi unit keluarga kecil seramai lima orang atau kurang, ini pastinya satu "berita gembira" kerana akhirnya mereka dapat keluar makan bersama dan duduk di satu meja tanpa perlu berpecah.

“Suatu perkembangan yang dinantikan terutama sekali untuk pasangan-pasangan yang mempunyai anak-anak. Amat susah dan kurang selesa dipisahkan tempat duduk demi peraturan serta undang-undang. Jadi bagi kami sekeluarga, sekurang-kurangnya kalau ingin menjamu selera di luar tidak menjadi suatu halangan buat masa sekarang," bapa seorang anak, Encik Muhammad Sharmizwar Baharudin memberitahu BERITAmediacorp.

Begitu juga bagi Cik Shilah Ismail, 29 tahun, yang mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun.

Sebelum ini, beliau hanya membungkus makanan untuk dibawa pulang kerana berasa “leceh” apabila perlu duduk berasingan dan pada jarak beberapa meja jauh daripada anggota keluarga lain.

“Tetapi kami makan di dalam kereta pada hujung minggu jika kami keluar berjalan sehari. Ramai juga orang berkumpul atau makan dalam kumpulan lima orang cuma ia dilakukan di tempat terbuka. Jadi macam tiada beza cuma sekarang, di dalam pusat beli-belah,” ujar beliau.

Berdasarkan peraturan sebelum ini, keluarga kecil seperti Encik Sharmizwar serta Cik Shilah perlu duduk berasingan jika mereka mahu makan di mana-mana premis makanan dan minuman (F&B). Ini kerana kumpulan sehingga dua orang sahaja dibenarkan untuk duduk semeja.

Langkah itu, menurut Encik Nasrun Manan, 28 tahun, "tidak munasabah" terutama bagi pasangan yang mempunyai seorang bayi seperti dirinya.

“Saya rasa pemerintah terlepas pandang perkara ini kerana bayi kecil tidak mengambil tempat duduk terutama jika dia didukung. Terpisah dari isteri atau suami sedikit menyulitkan apabila anda hendak makan lebih-lebih lagi kalau bayi serba tidak kena.

"Sejujurnya, kami menantikan peraturan lima orang jadi sekarang saya boleh akhirnya makan bersama-sama keluarga kecil saya di luar," luah beliau.

BANTU PERNIAGAAN F&B

Sebilangan orang yang ditemui BERITAmediacorp berpandangan bahawa sekatan yang dilonggarkan itu suatu langkah untuk mereka membantu menyegarkan semula ekonomi dengan menyokong perniagaan tempatan yang suram.

"Sekarang kami boleh membuat perancangan lebih baik untuk meluang masa bersama keluarga kami, makan di luar dan pada masa yang sama, kami juga menyokong perniagaan F&B untuk bangkit semula dan meneruskan bisnesnya," kata Cik Idayu Ismail, 39 tahun, yang mempunyai keluarga lima beranak termasuk dirinya.

"Orang ramai memilih untuk berkelah di taman dan kawasan terbuka kerana sekatan duduk makan di luar jadi perniagaan terjejas teruk namun, masih ada perhimpunan. Dengan membuka pilihan untuk makan di luar, ia membantu ekonomi dan ke arah mencapai Singapura yang lebih baik," kata Cik Syafiqah Rosnan, 31 tahun.

Lagikan pula, tambah Cik Syafiqah, beliau sudahpun mengambil semua langkah berjaga-jaga dengan mendapatkan vaksinasi dan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Lantaran itu, peluang untuk duduk makan di luar bersama orang tersayang - walaupun buat sejam dua sahaja - adalah "berharga".

LUAHAN PENIAGA PUSAT PENJAJA BUKIT MERAH VIEW

Sedang para peniaga bersiap sedia untuk menerima kedatangan lebih ramai pelanggan hari ini, sebilangan yang menjaja di Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah View, yang merupakan kelompok terbesar COVID-19 setakat ini, hanya dapat menaruh harapan agar gerai-gerai mereka tidak terus dijauhi.

Menurut, Cik Bahera Misal, pemilik gerai Yamin Nasi Padang di Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah View, hasil daripada kelonggaran had sehingga lima orang sekumpulan itu mungkin tidak seperti yang diharapkan.

Ini kerana jumlah pelanggan yang menjengah ke kedainya tidak ramai.

"Sekarang ini, yang datang hanya orang-orang yang tinggal di kawasan Bukit Merah View sahaja. Pelanggan saya yang dari luar kawasan ini semua tidak datang. Mungkin mereka masih merasa takut hendak ke sini," luahnya.

Blok 115 Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah View adalah salah satu daripada 20 kelompok COVID-19 di Singapura, dengan 94 kes positif dikesan sejauh ini.

Walaupun perniagaannya terus lembab, dengan pendapatan menjunam sebanyak 50 hingga 70 peratus sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Cik Bahera tetap menaruh harapan agar ia dapat kembali seperti sediakala.

"Mudah-mudahan bila sudah boleh makan lima orang semeja, harapan saya semoga jualan dapat kembali seperti dulu."

BOLEH ZIARAH AIDILADHA DALAM KELUARGA 5 BERANAK LENGKAP

Peraturan perhimpunan sosial sehingga lima orang sekumpulan juga dibenarkan, menjelang sambutan Hari Raya Haji kurang dua minggu lagi.

Semestinya, lampu hijau yang diberikan itu dialu-alukan masyarakat Islam tempatan. Ini lebih-lebih kerana sewaktu Hari Raya Aidilfitri lalu, had perhimpunan dikurangkan daripada lapan ke lima dan kemudian dua orang secara mendadak.

"Memang kami sekeluarga tunggu-tunggukan untuk menziarahi orang tua kami sebab selalunya kalau Hari Raya, kami memang lima beranak, jadi kalau dapat pergi bersama keluarga lebih gembira. Sebelum ini, kita hanya boleh pergi berdua, lepas itu anak pula pergi berdua, jadi kemeriahannya itu tidak dapat dirasakan," kata Cik Lynn Siregar.

"Saya mempunyai keluarga besar yang mana keluarga saya mempunyai abang-abang dan kakak, jadi apabila ada peluang ini, sangat gembira sebab dapat bersua muka," luah Cik Amidah Sahat.

Bagaimanapun, ada yang terus memilih untuk bersikap lebih berwaspada akan sebarang kemungkinan.

"Sejujurnya, saya masih takut untuk pergi berziarah. Saya amat takut sekiranya jumlah kes (baru) naik lagi dan saya tidak tahu sama ada sesiapa daripada keluarga besar saya terdedah atau tidak (kepada kes positif)," ujar Cik Shilah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita