Skip to main content

Singapura

Orang ramai dipelawa kongsi visi masa depan Geylang Serai

Visi Jalur Budaya Geylang Serai itu pertama kali diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa ucapan Rapat Hari Kebangsaan tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Orang ramai dipelawa kongsi visi masa depan Geylang Serai

Pameran bergerak yang diadakan bagi mendapatkan maklum balas tentang Jalur Budaya Geylang Serai. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Diterbitkan : 02 Nov 2019 03:17PM Dikemas Kini : 02 Nov 2019 03:19PM

SINGAPURA: Satu sesi pelibatan orang ramai diadakan hari ini (2 Nov) untuk mendapatkan maklum balas umum terhadap visi mereka tentang Jalur Budaya Geylang Serai yang akan dibangunkan pada masa depan.

Visi Jalur Budaya Geylang Serai itu pertama kali diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa ucapan Rapat Hari Kebangsaan tahun lalu.

Sesi berkenaan secara tidak langsung menyemarakkan lagi kesibukan Pasar Geylang Serai pagi tadi.

Orang ramai yang mengunjungi pameran bergerak itu diberi peluang untuk berkongsi visi Geylang Serai mereka pada masa depan nanti.

Mereka diajak untuk melakukan tinjauan ringkas oleh para pemudah cara dan kemudian harus memilih apakah perkara-perkara yang ingin mereka lihat di Geylang Serai pada masa depan.

Antara pilihan yang ditampilkan adalah mengekalkan perniagaan dan perdagangan tradisional tempatan di Geylang Serai.

Selepas itu, mereka harus memilih lokasi mereka mahu melihat idea-idea ini dilaksanakan. Pilihan-pilihan yang disediakan adalah bangunan-bangunan yang terletak sepanjang jalan antara Kelab Masyarakat Kampung Ubi hingga ke Pusat Beli-Belah Tanjong Katong Complex.

ORANG RAMAI INGIN CIRI KHAS MELAYU/ISLAM DIKEKALKAN

Related article image

Hasil tinjauan BERITAmediacorp di sesi berkenaan, majoriti daripada mereka ingin ciri-ciri khas masyarakat Melayu/Islam dikekalkan.

"Lagi banyak aktiviti budaya dan macam ada pasar malam untuk kita makan-makan di luar sebulan sekali, seronoklah kerana di sini kalau waktu malam saja sudah tidak ada apa-apa," kata seorang penduduk kawasan Eunos, Cik Katijah.

Ada juga yang mengutarakan idea menarik seperti mendirikan bangunan khas yang menghidupkan budaya dan adat resam masyarakat Melayu yang sudah pupus.

"Lebihkan kegiatan. Adakan pelbagai acara seperti keramaian, pertandingan dan sebagainya kerana Geylang Serai adalah kawasan pembangunan perniagaan terutama sekali bagi masyarakat Melayu," kata seorang warga tua Encik Prato.

Sesi pelibatan itu merupakan fasa yang kedua platform mendapatkan maklum balas diadakan.

Sebelum ini, para peruncit serta penjaja daripada pelbagai kaum di kawasan Geylang Serai turut diberikan peluang berkongsi visi mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Berpandu yang bertanggungjawab bagi projek jalur budaya itu, Dr Mohd Maliki Osman turut menekankan peri pentingnya pelibatan seluruh masyarakat.

"Kita ingin memastikan ini satu ruang yang inklusif yang mana semua anggota masyarakat dan rakyat Singapura berasa bangga bahawa Jalur Budaya Geylang Serai ini adalah jalur budaya mereka bersama.

"Jadi kami harap proses yang kami gelarkan sebahagian daripada SG Together Movement ini menarik lebih ramai dan banyak lagi maklum balas daripada setiap lapisan masyarakat kita," kata beliau yang juga merupakan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar.

Dr Maliki menambah bahawa kesemua maklum balas itu akan disemak jawatankuasanya dengan ada daripada maklum balas diterima pula sudah dalam rancangan untuk dilaksanakan seawal tahun depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita