Orang ramai dipelawa kongsi memori Bulan Bahasa sempena ulang tahun ke-30
Bulan Bahasa tahun ini akan dilancarkan pada 1 September di Wisma Geylang Serai. Acara-acara semaraknya pula akan diadakan sepanjang tempoh hampir dua bulan, iaitu dari 18 Ogos hingga 14 Oktober.
SINGAPURA: Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa 2018, Cik Rahayu Mahzam berharap program-program yang dianjurkan dalam kempen tahun ini lebih bersesuaian dengan keperluan masyarakat masa kini, selain memberikan kesan yang lebih berjangka panjang.
"Apa yang saya harapkan dalam acara-acara yang dijalankan, diadakan juga aktiviti atau sesuatu yang boleh dibawa pulang oleh hadirin, sesuatu yang boleh mereka gunakan sebagai ilmu, sesuatu yang boleh mereka terapkan dalam kehidupan seharian," kata beliau selepas satu taklimat semalam (23 Feb) yang dihadiri rakan kerja Bulan Bahasa.
Bulan Bahasa tahun ini akan dilancarkan pada 1 September di Wisma Geylang Serai. Acara-acara semaraknya pula akan diadakan sepanjang tempoh hampir dua bulan, iaitu dari 18 Ogos hingga 14 Oktober.
Tahun ini kempen Bulan Bahasa mengekalkan tema 'Ilmu, Budaya, Mesra' yang sudah digunakan sejak 2014.
Ketika ditanya mengapa ia tidak diubah, Cik Rahayu menjawab tema itu memberikan skop yang 'luas dan menyeluruh' lantas membolehkan mereka merancang program yang sesuai bagi semua lapisan masyarakat.
Namun beliau memberi jaminan masih akan terdapat kelainan pada program tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya.
Dalam taklimat semalam, Cik Rahayu turut berkongsi bahawa tahun ini menandakan tahun yang ke-30 kempen bahasa itu diadakan.
Menurut beliau, sempena tahun 'istimewa' ini, jawatankuasanya merancang untuk mengadakan satu segmen khas bagi mengimbas kembali perkembangan acara Bulan Bahasa sejak ia pertama kali diadakan pada tahun 1988.
"Jadi, diharapkan juga kita akan dapat menerima sumbangan daripada masyarakat tentang informasi atau memori mereka tentang acara Bulan Bahasa yang telah mereka hadiri pada tahun-tahun yang lalu," ujar beliau.
Untuk meningkatkan lagi mutu kegiatan dan acara pada tahun ini, sekitar 30 penerima Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) akan disertakan sama dalam proses perancangannya.
"Pelibatan guru-guru AGAB untuk Bulan Bahasa kali ini adalah lebih khusus kepada membantu rakan kerjasama kami bagaimana untuk merancang sesuatu program itu dengan lebih berkesan di mana nilai didik ditekankan dan bagaimanakah program itu diberikan objektif yang lebih khusus untuk melibatkan masyarakat dan juga pendidikan di dalam setiap program atau acara yang mereka lakukan," jelas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa 2018, Encik Farizan Md Amin.
Tahun ini juga rakan-rakan kerja boleh memanfaatkan satu lagi dana baru daripada Jawatankuasa Penterjemahan Nasional, menerusi Inisiatif ‘Masyarakat Yang Peka Terhadap Penterjemahan’ atau CiT Initiative.
Kegiatan atau acara yang dianjurkan perlulah menerapkan aspek penterjemahan bagi menggalak penggunaan bahasa ibunda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.