Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Orang ramai dipelawa beri maklum balas dan saranan kepada Healthier SG

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Warga Singapura boleh memberi maklum balas dan saranan mereka bagi menentukan strategi jagaan kesihatan negara yang baru - Healthier SG mulai Rabu (18 Mei). 

Ia boleh dilakukan menerusi tinjauan online atau sesi perjumpaan secara berkumpulan.

Maklum balas yang diterima akan dikaji dan disertakan dalam Kertas Putih yang akan dibahaskan di Parlimen tahun ini.

Perkembangan itu dikongsikan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung semasa lawatan medianya ke klinik keluarga, A Medical Clinic di Everton Park, petang tadi.

Inisiatif Healthier Sg pertama kali diumumkan semasa Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan Kementerian Kesihatan (MOH) tahun ini. 

Ia bertujuan membantu semua rakyat Singapura meraih tahap kesihatan yang lebih baik. 

Di bawah skim tersebut, penduduk Singapura akan dipelawa untuk berdaftar dengan doktor keluarga (GP) pilihan mereka sebagai barisan hadapan jagaan untuk kesemua keperluan kesihatan mereka. 

Hasil tinjauan yang dilakukan akan membantu pemerintah dalam membentuk strategi jagaan kesihatan tersebut.

Menurut Encik Ong, terdapat dua perkara yang diharap dapat dicungkil daripada tinjauan yang akan berlangsung sepanjang tiga bulan.

"Mengapa para penduduk tidak mendapat rawatan daripada satu doktor, apa yang diinginkan semua orang supaya para doktor boleh memahami setiap orang dan sejarah kesihatan mereka? Apakah kebaikan serta kekurangan untuk membuat demikian? Kita ingin memahami tingkah laku mencari rawatan kesihatan para penduduk," kata Encik Ong.

"Kedua, jika anda mendapat rawatan daripada satu doktor dan doktor itu memberikan anda satu rancangan penjagaan untuk menjaga kesihatan, apakah antara perkara yang anda inginkan dalam rancangan jagaan itu dan apakah perkara yang boleh kita lakukan untuk anda kekal dengan rancangan penjagaan itu dan tidak putus asa," tambahnya.

Antara yang menyambut baik usaha tersebut adalah Cik Lyly, seorang ibu dua anak kecil.

Sepanjang tiga tahun berjumpa dengan doktor GP yang sama, beliau sekeluarga berasa amat selesa dengan penjagaan dan khidmat yang diberikan.

"Kalau tukar-tukar doktor kita harus jelaskan lagi sejarah dari penyakit yang kita ada sebelumnya. Kalau misalnya dengan satu doktor, kalau doktor itu sudah sesuai, biasanya doktor itu akan tahu tentang penyakit kita sebelumnya," kongsi Cik Lyly.

Cik Lyly menambah, doktornya yang juga mahir dalam perubatan kanak-kanak atau bidang pediatrik. Ini membuatnya lebih selesa dan mudah untuk berkongsi tentang gejala-gejala yang dialami anak-anaknya yang berusia tiga dan enam tahun.

"Saya akan ambil gambar dan terus saya hantar ke Dr Lim Hong Shen. Adakah ini penyakit yang biasa atau saya harus datang untuk bertemunya esok?," kata Cik Lyly. 

Dr Lim kemudian akan membuat pertimbangan dan memberikan nasihat yang terbaik bergantung kepada keadaan. 

GP SUARAKAN TIGA ISU UTAMA

MOH juga sudah mendampingi seramai 800 GP dan anggota kelompok jagaan kesihatan untuk mendapatkan maklum balas mereka.

Bagi Dr Lim yang aktif memberikan pendapatnya dalam sesi-sesi 'town hall' bersama MOH: "Saya rasa dengan Healthier SG, dengan pendanaan langsung kepada GP, mereka boleh melihat betul-betul apa yang diperlukan pesakit."

Menurut Encik Ong lagi, antara tiga isu yang dibangkitkan termasuk kos ubat-ubatan, infrastruktur IT dan juga pentadbir pihak ketiga. 

Konsultasi awam itu dijalankan secara online bermula hari ini hingga 15 Ogos. 

Orang ramai boleh memberi maklum balas dan saranan mereka di lelaman Healthier Sg di www.healthiersg.gov.sg.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan