Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Orang ramai dinasihati jangan berenang di pantai Pasir Ris, Sembawang disebabkan paras tinggi bakteria kian kerap berlaku: NEA

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Feb 2024 06:16PM Dikemas Kini : 06 Feb 2024 12:17AM
SINGAPURA: Orang ramai dinasihati supaya jangan berenang di pantai-pantai Pasir Ris dan Sembawang Park sehingga notis lanjut.

Ini selepas lebih banyak kejadian paras tinggi bakteria dikesan dalam air laut di kawasan-kawasan tersebut.

Demikian menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Isnin (5 Feb).

Agensi itu juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil bahagian dalam "aktiviti lain yang mempunyai kontak utama dengan air" - seperti papan luncur air, luncur layar dan latihan rendaman dalam air - di kedua-dua pantai itu.

"Aktiviti air lain seperti belayar, mendayung kayak dan kanu boleh diteruskan seperti biasa," jelas NEA.

Aktiviti kontak utama merujuk kepada kegiatan di mana seluruh badan atau muka dan bahagian atas tubuh seseorang sering direndam dan terdapat kemungkinan air akan ditelan, tambah agensi itu.

Dalam penilaian pantai tahunan terkini, pantai Sembawang Park dan Pasir Ris dinilai dengan gred Sederhana, jatuh daripada gred Baik yang dicatat pada tahun sebelumnya.

Terdapat kenaikan dalam jumlah kejadian paras tinggi bakteria Enterococcus (EC) dalam air, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan gastrousus apabila air ditelan.

Papan-papan tanda, yang menasihati orang ramai untuk tidak berenang di kedua-dua pantai itu, juga akan dipasang.

Agensi tersebut menyatakan bahawa siasatan awal mendapati bahawa paras tinggi bakteria itu adalah dari sumber dalam negara dan tidak bersifat rentas sempadan.

"NEA sedang bekerjasama dengan agensi lain seperti PUB, Lembaga Taman Negara (NParks) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk menyiasat dan mengurangkan sumber yang mungkin menyumbang kepada jumlah tinggi bakteria EC," tambahnya.

Kali terakhir makluman pantai sedemikian dikeluarkan ialah dari Ogos 2008 hingga Januari 2012 untuk pantai Pasir Ris, ketika ratingnya berada pada tahap Sederhana. Aktiviti kontak utama disambung semula pada Februari 2012 selepas ratingnya meningkat kepada gred Baik.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan