Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Orang ramai di pusat penjaja rata-rata patuh peraturan pulangkan dulang, bersihkan meja

Pada hari pertama para pelanggan diwajibkan memulangkan pinggan mangkuk dan dulang berkuat kuasa di pusat-pusat penjaja hari ini (1 Sep), orang ramai rata-rata patuh kepada peraturan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pada hari pertama para pelanggan diwajibkan memulangkan pinggan mangkuk dan dulang berkuat kuasa di pusat-pusat penjaja hari ini (1 Sep), orang ramai rata-rata patuh kepada peraturan tersebut.

Demikian menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) kepada BERITAmediacorp.

NEA bagaimanapun belum dapat berkongsi jumlah amaran bertulis atau saman dikeluarkannya pada hari ini.

PARA PELANGGAN PATUHI PERATURAN

Semasa kami mengunjungi Pusat Penjaja Bedok yang lebih dikenali sebagai Bedok Corner pada waktu makan tengah hari tadi, orang ramai kelihatan mematuhi peraturan memulangkan pinggan mangkuk selepas makan.

Meja-meja makan juga lebih bersih umumnya, dengan para pegawai penguat kuasa kelihatan berlegar-legar memastikan peraturan membersihkan dulang makan dilaksanakan.

Ini termasuklah memastikan pelanggan membersihkan sampah, tisu terpakai dan sisa makanan selepas makan.

Jika gagal, pelanggan boleh dikenakan amaran bertulis atau denda $300 bagi kesalahan kedua. Pesalah berulang pula boleh didakwa di mahkamah dan didenda sehingga S$2,000.

ADA YANG TIDAK SEDAR PERATURAN SUDAH BERMULA

Meskipun begitu, tidak semua pelanggan sedar peraturan tersebut berkuat kuasa hari ini.

"Terus-terang saya tak perasan pula hari ini memang kena return dulang dan tentang saman itu dah tahulah sebelumnya, kata salah seorang pelanggan di Bedok Corner, Cik Roszilah M Nor.

Seorang lagi pelanggan di sana, Cik Junaidah Jumali, juga antara mereka yang tidak ingat tentang tarikh kuat kuasa peraturan itu.

"Sebenarnya tak tahu (peraturan bermula hari ini) tetapi memang biasanya jika saya makan saya akan pulangkan dulang," katanya.

Bagi Cik Noraini Rahim pula berkongsi beliau yakin tindakan mengangkat dulang lama-kelamaan akan menjadi satu kebiasaan.

"Memang kita mesti kelam kabut, takut kena saman, tapi lama-lama ia akan jadi satu benda yang menjadi sukarela," ujarnya.

Para pekerja pembersihan yang BERITAmediacorp tinjau juga memberikan maklum balas positif tentang kepatuhan orang ramai. Salah seorang daripada mereka, Cik Koh Geok Choo berkata "semua (pelanggan) pulangkan dengan betul", manakala rakan kerjanya pula Cik Wendy Loh berkongsi masih ada kumpulan kecil yang tidak berbuat demikian.

"Satu orang saja tidak pulangkan. (Sekarang) lebih baik, lebih bagus. Kadang-kadang warga tua tak boleh pulangkan, jadi saya datang membantu mereka," katanya.

NASIHAT SEBELUM AMBIL TINDAKAN

Keadaannya juga serupa di Pusat Makanan Clementi, di mana kebanyakan pelanggan memulangkan pinggan mangkuk masing-masing.

Para pegawai penguat kuasa NEA bagaimanapun menjelaskan mereka akan menasihati sebelum mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan.

Salah seorang daripada pegawai tersebut, Encik Seragideen berkata: "Ada segelintir yang meninggalkan tempat tanpa memulangkan dulang tetapi saya rasa mereka lupa kerana apabila kami menasihati mereka, mereka segera memulangkan dulang itu."

"Hanya apabila mereka enggan patuh, barulah kami mengambil butiran mereka," tambah seorang lagi pegawai NEA Encik Tan Guan Qun.

Para pegerai di Clementi juga menyatakan ruang makan kini secara amnya lebih bersih. Malah jumlah burung yang biasanya muncul untuk menyasarkan sisa-sisa makanan juga berkurangan.

LAGI 150 RAK-RAK DULANG, PINGGAN MANGKUK SEDANG DIPASANG

Dengan lebih ramai pelanggan memulangkan dulang dan pinggan mangkuk mereka di pusat-pusat penjaja - daripada sekitar 30 peratus pada Februari lalu kepada sekitar 65 peratus sekarang ini secara purata - NEA sedang dalam proses memasang lagi 150 rak-rak baru bagi menampung lebih banyak pinggan mangkuk yang dipulangkan.

Buat masa ini pusat-pusat penjaja seperti di Clementi hanya beroperasi pada kapasiti 50 peratus. Jadi, apabila pusat-pusat penjaja beroperasi pada kapasiti penuh, pinggan-pinggan mangkuk dijangka bertimbun-timbun.

Pengerusi Persatuan Pasar dan Penjaja Clementi Central Encik Patrick Sze berkata: "Jika sesak dengan pelanggan, kami menjangkakan kapasiti penuh. Jadi rak-rak untuk pulangkan dulang perlu ditambah atau diluaskan.

"Kami meminta lagi lima rak-rak," jelas beliau.

Lantaran itu jugalah, pusat-pusat penjaja seperti di Boon Lay Place misalnya menyatakan, ia memerlukan lagi lapan rak-rak untuk ditokok kepada 16 yang digunakan sekarang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan