Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Orang ramai boleh tempah ujian COVID-19 di 20 Pusat Ujian Pantas mulai bulan depan

Setiap orang, termasuk mereka yang sudah divaksin sepenuhya, harus kerap menjalani ujian sendiri COVID-19 menggunakan kit ujian pantas antigen (ART) sebagai "tanggungjawab sosial", kata pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 Lawrence Wong pada Jumaat (3 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Orang ramai boleh tempah ujian COVID-19 di 20 Pusat Ujian Pantas mulai bulan depan

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 03 Sep 2021 08:21PM Dikemas Kini : 03 Sep 2021 08:22PM

SINGAPURA: Setiap orang, termasuk mereka yang sudah divaksin sepenuhya, harus kerap menjalani ujian sendiri COVID-19 menggunakan kit ujian pantas antigen (ART) sebagai "tanggungjawab sosial", kata pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 Lawrence Wong pada Jumaat (3 Sep).

Ini terutama sekali jika mereka akan menyertai aktiviti berisiko tinggi atau menghadiri acara berskala besar.

"Kita sudah mencapai tahap vaksinasi sangat tinggi. Kita merupakan salah satu negara yang mendahului seluruh dunia dari segi vaksinasi, kita harus menetapkan matlamat menjadi negara di mana menjalankan ujian COVID-19 menjadi satu gaya hidup," kata Encik Wong yang juga Menteri Kewangan.

Menurutnya lagi: "Ujian kerap tidak harus tertakluk kepada individu yang bekerja dalam... sekitaran berisiko tinggi. Malah, kami ingin menggesa semua orang sama ada anda sudah divaksin atau belum, untuk melakukan ujian sendiri secara kerap menggunakan kit ujian pantas antigen sebagai tanggungjawab sosial."

Ini sebabnya Pemerintah memutuskan untuk mengagihkan kit ujian ART kepada setiap rumah, katanya.

Kit itu diagihkan kepada setiap keluarga antara 28 Ogos dengan 27 Sep, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media berasingan, sambil menambah bahawa Penguasa Sains Kesihatan meluluskan enam kit uji sendiri ART yang dijual di kedai-kedai runcit utama dan wadah e-dagang.

Pemerintah sedang "menyemak" kit baru untuk penjualan dan akan terus memastikan kit uji sendiri boleh diperolehi dengan mudah, menurut Encik Wong.

Sebagai tambahan kepada usaha ujian sendiri secara kerap, orang ramai boleh membuat janji temu untuk menjalani ujian sendiri berbayar secara pantas dan mudah di 20 pusat ujian pantas mulai 1 Oktober.

"Pusat-pusat ini sebelumnya dibangunkan untuk menyokong perniagaan dan pekerja yang memerlukan ujian swab sendiri yang dipantau sebagai sebahagian daripada keperluan yang diwajibkan," kata Encik Wong.

"Namun kami akan membukanya kepada orang ramai jika mereka ingin mengambil ujian dan kami sedang mengkaji menyediakan lebih banyak tapak ujian sedemikian di merata Singapura supaya ia lebih mudah untuk orang ramai mengambil ujian secara kerap."

Individu yang diuji positif menerusi ujian sedemikian harus pergi ke sebuah klinik Swab-dan-Bawa-Pulang untuk menjalani ujian pengesahan PCR yang dibiayai Pemerintah untuk mengesahkan status jangkitan mereka, menurut MOH.

Mereka yang megalami simptom harus berjumpa doktor dengan segera dan tidak mengambil ujian sendiri atau membuat janji temu di klinik-klinik berkenaan.

MOH juga menyatakan dalam kenyataannya bahawa orang ramai, termasuk individu yang sudah menerima vaksin lengkap, yang mengambil bahagian dalam aktiviti berisiko tinggi atau menghadiri acara berskala besar "sangat digalakkan" untuk menguji sendiri secara kerap menggunakan kit ART.

MAJIKAN HARUS JADIKAN UJIAN SEBAGAI NORMA BARU DI TEMPAT KERJA

Majikan turut digalak menjadikan ujian kerap sebagai sebahagian daripada norma baru di tempat kerja, menurut Encik Wong.

Ia tambahan kepada ujian rutin berjadual 14 hari bagi pekerja di sekitaran berisiko tinggi dan "rejim vaksinasi atau ujian kerap".

Rejim "vaksinasi atau ujian kerap" akan diperkenalkan kepada mereka yang bekerja dalam sektor jagaan kesihatan, sektor jagaan warga emas dan sekitaran dengan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.

Rakan kongsi tiga pihak akan membincangkan lagi garis panduan untuk menggalak penggunaan kit ART secara lebih meluas di tempat kerja dan sebagai ciri utama dalam pelan kesinambungan perniagaan, katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan