Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Orang ramai beratur panjang di pengurup wang S'pura; mata wang ringgit kehabisan bekalan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Orang ramai dilihat beratur panjang di pengurup wang di kawasan tengah Singapura untuk menukar wang kepada ringgit Malaysia (RM) pada Isnin (25 Apr) setelah nilai RM terus melemah berbanding dolar Singapura.

Dolar Singapura berada pada 3.17 berbanding ringgit Malaysia kira-kira pukul 6.00 petang hari ini, kadar itu meningkat daripada paras 3.10 pada awal bulan April ini.

Ini kenaikan lebih dua peratus dalam masa satu atau dua minggu, kata penganalisis kanan mata wang di MUFG Bank, Jeff Ng.

Dari pukul 1.00 hingga 2.30 petang, orang ramai dilihat beratur di luar pengurup wang The Arcade di Raffles Place.

Ramai di antara mereka yang beratur di sana ingin menukar Dolar Singapura dengan Ringgit Malaysia, kakitangan The Arcade memberitahu Mediacorp.

Pengurup wang di The Arcade dan People’s Park Complex menjual ringgit Malaysia pada kadar S$1 untuk RM3.10 hingga RM3.12.

Di The Arcade, sekurang-kurangnya tujuh pengurup wang kehabisan ringgit Malaysia kira-kira pukul 2.30 petang dan terpaksa menolak permintaan beberapa pelanggan.

Pengurup wang di The Arcade dan People’s Park Complex menyatakan bahawa mereka mula melihat lebih ramai pelanggan yang ingin menukar dolar Singapura kepada ringgit Malaysia mulai minggu lalu.

Ada dalam kalangan pelanggan yang menukar S$3,000 hingga S$4,000 untuk ringgit Malaysia.

"Saya tidak ada bekalan lagi. Baru habis hari ini," kata seorang pekerja di Hasan Trading Money Exchange, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Ismail.

"Perayaan bakal tiba, sebab itu ramai orang membeli wang ringgit. Hari Raya juga sangat penting,” kata beliau sambil merujuk kepada sempadan darat antara Singapura dan Malaysia sudah dibuka semula.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan