Skip to main content

Singapura

Orang Laut SG agih bubur lambuk pada 5 Apr, kongsi resipi turun-temurun penduduk Pulau Semakau

Anggaran Waktu Membaca:
Orang Laut SG agih bubur lambuk pada 5 Apr, kongsi resipi turun-temurun penduduk Pulau Semakau

(Gambar: Orang Laut SG)

Diterbitkan : 05 Apr 2023 11:33AM Dikemas Kini : 05 Apr 2023 11:34AM

BERITAmediacorp: Sempena bulan Ramadan ini, inisiatif Orang Laut SG akan mengagihkan bubur lambuk ikan kembung secara percuma pada Rabu (5 Apr) di Mother Dough Bakery, 3 Jalan Keledek. 

"Matlamat utama kami adalah untuk menyumbang kembali kepada masyarakat Ramadan ini. Pada masa yang sama, kami juga ingin memperkenalkan makanan masyarakat Orang Laut di Pulau Semakau seperti Bubur Lambuk Ikan Tenggiri - iaitu resipi turun-temurun dari moyang kami," kata pengasas Orang Laut SG, Firdaus Sani. 

(Gambar: Orang Laut SG)

Apa yang membezakan bubur lambuk ini dengan bubur yang biasanya diagihkan di masjid dan kelab masyarakat adalah bahan-bahan lebih mudah yang digunakan seperti serai, lada hitam, bawang putih, bawang dan ikan kembung.

"Penduduk di Pulau Semakau sukar mendapatkan rempah ratus dan bergantung kepada apa yang boleh ditanam atau dicari di pulau tersebut." 

Bagi anda yang ingin mencuba bubur lambuk Orang Laut Pulau Semakau itu, boleh membuat tempahan melalui pautan ini dan mendapatkannya di Mother Dough Bakery mulai pukul 3.00 hingga 5.00 petang. 

Mereka yang ingin membuat sumbangan juga boleh berbuat demikian menerusi Paynow atau PayLah! kepada 9337 6789. Di bawah ruang 'Remarks', letak 'Reserve a bowl with a donation'. 

Golongan yang memerlukan akan diutamakan. 

PENGALAMAN ENCIK FIRDAUS LANCAR WADAH ORANG LAUT SG

Didorong oleh keinginan untuk menceritakan tentang penduduk dan kehidupan di Pulau Semakau di mana keluarga beliau menetap dahulu, Encik Firdaus, 34 tahun, memulakan wadah Orang Laut SG tiga tahun yang lalu. 

"Pulau Semakau dikenali sebagai tapak pelupusan sampah tetapi ia tempat yang istimewa bagi saya kerana budayanya yang unik dan tersendiri dan adalah tempat mata pencarian ramai," kongsinya kepada BERITAmediacorp. 
Menerusi wadah itu, orang ramai boleh mempelajari dan juga membeli makanan yang disediakan oleh ibu dan makcik Encik Firdaus, yang biasanya disediakan oleh Orang Laut di Pulau Semakau dahulu, seperti gulai nenas, sotong hitam dan assam pedas ikan. 

Sotong hitam (Gambar: Orang Laut SG)
Gulai nenas (Gambar: Orang Laut SG)

"Setakat ini, ramai yang suka makanan yang disediakan. Kami juga bersyukur kerana terdapat ramai orang yang mula mengenali budaya unik kami melalui masakan kami," kata Encik Firdaus. 

Namun, usahanya itu tidak asing dengan cabaran. 

"Cabaran utama kami adalah untuk mengekalkan usaha ini kerana cef-cef kami ialah ibu dan makcik saya, penduduk asal Pulau Semakau. Kami sedang mencari individu-individu lebih muda untuk mengambil alih tempat mereka - harap-harap ada yang tampil!" 

(Gambar: Orang Laut SG)

Selain itu, diharapkan orang ramai juga boleh mengenali Orang Laut di Pulau Semakau dengan lebih dekat lagi melalui cerita-cerita yang dikongsikan tentang kehidupan penduduk di pulau itu suatu hari dahulu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita