Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Orang kanan dalang penipuan geran SkillsFuture bernilai S$39.9 juta dipenjara 13 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Orang kanan dalang penipuan geran SkillsFuture bernilai S$39.9 juta dipenjara 13 tahun

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Orang kanan kepada dalang penipuan terbesar melibatkan dana Pemerintah sejauh ini dikenakan hukuman penjara selama 13 tahun dan sembilan bulan pada Rabu (31 Mei). 

Lim Wee Hong David, 44 tahun, merupakan sebahagian daripada sindiket jenayah yang menghantar lebih 8,300 tuntutan palsu kepada SkillsFuture Singapura untuk menerima subsidi kursus latihan, bagi kursus yang tidak pernah dijalankan. 

SkillsFuture mengagihkan hampir S$40 juta, dengan S$21.3 juta daripada jumlah itu digelapkan dan masih tidak dapat ditemui.

Lim mengaku bersalah atas 15 tuduhan, termasuk bersubahat untuk menukar atau memindahkan hasil pungutan daripada jenayah, bersubahat untuk menyorok pungutan tersebut dan memalsukan dokumen-dokumen penting. 

Lagi 33 tuduhan diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Sindiket itu memanfaatkan skim Geran Yuran Kursus SkillsFuture Singapura, di mana entiti perniagaan di Singapura boleh membuat permohonan kepada SkillsFuture untuk menerima subsidi jika mereka menghantar pekerja mereka untuk menghadiri kursus latihan kemahiran dengan penyedia latihan yang berdaftar. 

Dalang utama skim penipuan itu, pasangan suami isteri Ng Cheng Kwee dan Lee Lai Leng, mendaftar sembilan entiti sebagai entiti pemohon atau penyedia latihan dari Januari 2017. 

Lim diajak turut serta kerana dia merupakan kawan Ng sejak 2011. Dia turut memperkenalkan seorang lagi individu kepada pasangan itu, yang kemudian terlibat dalam skim jenayah tersebut. 

Kumpulan itu bersetuju menghantar tuntutan geran yuran latihan palsu untuk memperdaya SkillsFuture supaya mengagihkan geran latihan. 

Pasangan itu kemudian menggunakan beberapa komputer berbeza untuk menghantar tuntutan palsu itu secara online, menggunakan maklumat dan butiran log masuk Singpass anggota keluarga mereka. 

Antara April hingga Oktober 2017, sembilan entiti itu menghantar 8,381 permohonan geran yuran kursus dan 8,391 tuntutan, serta menipu bahawa tiga penyedia latihan mengendalikan kursus kepada 25,141 pekerja daripada enam entiti pemohon. 

Kebanyakan permohonan dan tuntutan itu diluluskan serta-merta, dengan S$39.9 juta diagihkan kepada lapan daripada sembilan entiti. 

Setelah wang itu dihantarkan kepada akaun bank korporat kesemua lapan entiti itu, lebih S$27.8 juta dikeluarkan oleh anggota sindiket tersebut. 

Lim terlibat dalam skim penipuan itu dari awal, membantu menghantar tuntutan palsu, merekrut seorang kawan untuk menyerahkan tuntutan palsu dan mengeluarkan cek. 

Dia turut mematuhi arahan Ng untuk menerima S$2.6 juta yang disimpan di dalam dua beg dan menyerahkan wang itu kepada dua individu yang tidak dikenali.

SkillsFuture mengesan bahawa sembilan entiti yang digunakan sindiket itu membuat terlalu banyak permohonan tuntutan geran yuran kursus.

Ia kemudian membuat aduan polis pada November 2017. 

Pihak pendakwa mengusulkan hukuman penjara sekurang-kurangnya 168 bulan hingga 178 bulan buat Lim, sekali gus menyifatkannya sebagai satu kes penipuan luar biasa yang dilakukan terhadap institusi awam. 

Anggota lain sindiket itu dikenakan hukuman penjara yang berbeza, dengan Ng dipenjara 17 tahun dan sembilan bulan pada 2021. Isterinya pula dikenakan hukuman penjara 14 tahun. 

SkillsFuture sebelum ini menyatakan, ia memperolehi keupayaan baru seperti analitik penipuan sejak kejadian itu. 

Ia turut menggariskan langkah-langkah baru untuk mencegah, mengesan dan bertindak terhadap sebarang penipuan dan penyalahgunaan. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan