Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Optimis hubungan SG & Indonesia akan terus maju di bawah pentadbiran baharu, teroka pasaran Timur Tengah: Dr Maliki

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Singapura optimis dengan hubungan antara Singapura dengan Indonesia dan berharap dapat ceburi bidang-bidang kerjasama yang baharu serta dapat terus maju bersama.

Itulah harapan yang dikongsi Menteri Kedua Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman dalam mengulas tentang hubungan Singapura dengan Indonesia di bawah kepimpinan baharu Indonesia.

Keputusan rasmi Pilihan Raya Presiden Indonesia diumumkan pada Rabu (20 Mac) dan gandingan Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka meraih jumlah undi terbanyak.

Dalam wawancara bersama Nazirah Jamzuri, Dr Maliki juga berkongsi beberapa perkara lain termasuk bagaimana Singapura dapat raih manfaat dengan hubungan dan kerjasama rapat bersama negara-negara di Timur Tengah menyusuli perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi Kementerian Ehwal Luar (MFA).

HUBUNGAN SG INDONESIA BAIK, BEBERAPA PERSETUJUAN SUDAH DICAPAI

Di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo, Dr Maliki berkata hubungan Singapura dan Indonesia begitu baik sekali dan sudah diperkukuh dengan beberapa pencapaian yang mengeratkan lagi talian dua hala.

"Hubungan Singapura dengan Indonesia adalah di tahap yang begitu baik sekali. Hubungan kita dengan pentadbiran Presiden Jokowi baik selama hampir sedekad ini. Kita telah berjaya mencapai persetujuan dalam Perjanjian Rangka Kerja yang diperluas di mana aspek-aspek dua hala yang sebelum ini sukar untuk dihuraikan telah dapat dihuraikan seperti Perjanjian Kerjasama Pertahanan, perjanjian ekstradisi dan isu ruang udara," kongsi Dr Maliki.

"Ini merupakan salah satu pencapaian yang begitu baik sekali kerana sudah lama kita ingin menghuraikan isu-isu ini," tambahnya.

Menurutnya lagi, Singapura juga telah mencari ruang di mana hubungan ekonomi dapat terus dipereratkan lagi.

INGIN TEROKA BIDANG-BIDANG LAIN SECARA POSITIF DENGAN PENTADBIRAN BAHARU AKAN DATANG

Memandang ke hadapan, Dr Maliki berharap Singapura dan Indonesia dapat terus meneroka bidang-bidang lain secara positif dengan pentadbiran baharu yang akan datang itu.

"Bakal Presiden baharu Indonesia, Pak Prabowo bukan seorang yang tidak kita kenali. Beliau sudah dikenali lama apabila beliau dalam tentera Indonesia dan kemudian sebagai Menteri Pertahanan Indonesia dan baru-baru ini, beliau telah dianugerahkan di Singapura kerana sumbangan beliau mengeratkan hubungan pertahanan antara Singapura dengan Indonesia," jelas Dr Maliki.

Encik Prabowo dikurniakan dengan anugerah tentera tertinggi di Singapura dan ia disampaikan kepada beliau oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam di Istana pada November lalu.

"Jadi, kami yakin bahawa dengan perhubungan yang rapat ini, dengan kita mengenali Pak Prabowo sebelum ini dan beliau mengenali Singapura, (ada) kepercayaan tentang bagaimana kita boleh menjalin hubungan yang lebih erat lagi dan membawa hubungan ini ke tahap yang lebih tinggi lagi dan menjalin hubungan yang dikatakan saling memanfaatkan. Kita harap kita akan dapat menceburi bidang-bidang baharu seperti teknologi hijau, pendigitalan dan sebagainya. Kita optimis bahawa hubungan ini akan dapat terus maju ke hadapan dan kita harap dengan kemajuan tersebut, Singapura dan Indonesia akan dapat terus maju bersama," tambahnya.

SINGAPURA DILIHAT SEBAGAI PINTU KEPADA RANTAU ASEAN

Mengulas tentang hubungan Singapura dengan Timur Tengah pula, Dr Maliki berkongsi bahawa Singapura dilihat sebagai pintu kepada rantau ASEAN.

"Kita mempunyai apa yang digelarkan sebagai dividen demografik di ASEAN. Jadi potensi ASEAN begitu besar dan Singapura sebagai 'gateway' atau pintu ruang yang terbuka untuk ASEAN, memberi peluang kepada para pelabur daripada Timur Tengah untuk ke mari dan kita juga akan dapat meraikan pelaburan, yang mungkin mereka ingin lakukan di Singapura dan di rantau ini," kongsi Dr Maliki.

Tambahnya, melihat kepada aspek ekonomi, negara-negara Timur Tengah sudah banyak melabur di Singapura.

Antaranya dalam aspek ekonomi digital, ekonomi hijau dan pendigitalan.

Menurutnya lagi, mereka juga berminat untuk mempelajari cara perkhidmatan awam dikendalikan dan aspek-aspek kewangan ditangani.

"Kerjasama ini memberi kepercayaan bahawa Singapura adalah negara atau rakan negara yang boleh dipercayai. Ini adalah salah satu yang dikatakan jenama Singapura sebagai sebuah negara yang kecil, di mana Singapura dianggap sebagai rakan yang boleh dipercayai kerana kita konsisten. Kita mempunyai pandangan multilateralisme yang penting dan kita berpegang teguh kepada apa yang dikatakan undang-undang antarabangsa, 'Rules-Based International Order'," ujar Dr Maliki.

"Mereka yakin berhubungan rapat dengan negara seperti Singapura yang berpegang teguh pada prinsip sedemikian akan memberi kesan yang yang baik kepada mereka dan rakyat mereka juga," tambahnya.

GALAK LEBIH RAMAI PELABUR SG TEROKA PASARAN TIMUR TENGAH

Dr Maliki juga menyentuh tentang Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) antara Singapura dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

"Ini adalah perjanjian ekonomi antara Singapura dengan GCC di mana kita membuka ruang ekonomi di mana tarif-tarif ataupun cukai-cukai bagi barangan dua hala dapat diselenggarakan dengan lebih baik lagi. Ini membuka peluang pelaburan dua hala antara Singapura dengan negara-negara GCC ini," jelas Dr Maliki.

"Kami berharap bahawa dengan adanya FTA antara Singapura dengan GCC ini, ia juga akan menjadi apa yang digelarkan sebagai 'pathfinder' untuk FTA ASEAN GCC di mana kita membuka lebih besar lagi pasaran bukan saja pasaran Singapura dengan GCC tetapi pasaran ASEAN dengan GCC," tambahnya.

Oleh itu, Singapura menurutnya perlu terus kekal relevan bagi rakan-rakan kerjasama.

"Ini adalah peranan kita, peranan Singapura, yang mana dasar luar negara kita ialah kita harus terus relevan kepada negara-negara rakan kita dan kerelevanan ini adalah bagaimana kita menunjukkan dengan adanya persetujuan antara Singapura dengan GCC, kita meraih keuntungan dari segi perhubungan ekonomi ini, dan ia akan dapat dibesarkan kepada pasaran ASEAN dan apabila terbuka dengan pasaran ASEAN, kita juga akan dapat meraikan keberkesanan pelaburan antara GCC dengan ASEAN," ujar Dr Maliki.

Dalam pada itu, beliau juga menggalak lebih ramai pelabur Singapura untuk ke negara-negara Timur Tengah dan melihatnya sebagai ekonomi yang membangun.

Ini lebih-lebih lagi dengan ruang ekonomi dan pelaburan yang sedia ada serta keupayaan dan potensi pembangunan ekonomi di negara-negara itu.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan