Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Operasi tajaka Majlis Pusat diteruskan seperti biasa di bawah penyeliaan Penyelesai, ECDA

Tajaka Little Beez Playskool yang dikendalikan Majlis Pusat Singapura (MPS) sebelum ini akan terus beroperasi seperti biasa.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tajaka Little Beez Playskool yang dikendalikan Majlis Pusat Singapura (MPS) sebelum ini akan terus beroperasi seperti biasa.

Ini meskipun pertubuhan relawan itu sudah diberi notis penggulungan syarikat melalui Perintah Mahkamah pada 20 Mei lalu.

Dalam satu kenyataan bertulis kepada BERITA Mediacorp, jurucakap Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) menyatakan, pihaknya akur tentang penggulungan MPS dan sedang bekerjasama dengan Penyelesai (liquidator)yang dilantik tentang status pusat tajaka itu.

"Sebelum pihak Penyelesai memuktamadkan rancangan untuk Little Beez Playskool, tajaka itu akan meneruskan operasinya di bawah kepimpinan pengetua sedia ada dan penyeliaan pihak Penyelesai.

"Pihak Penyelesai telah memaklumkan kedua-dua kakitangan tajaka dan para ibu bapa tentang situasi itu dan akan memberi kemas kini kepada mereka dan ECDA tentang perkembangan seterusnya. ECDA memberi tumpuan kepada kesejahteraan kanak-kanak dan kakitangan tajaka. Kami akan memantau operasi tajaka itu dengan ketat," kata jurucakap ECDA.

MPS diarahkan tutup selepas gagal menjelaskan tuntutan kewangan yang berjumlah hampir S$400,000 yang difailkan pemilik syarikat 3 Aces Cik Siti Hasmah.
Semasa ditemui BERITA Mediacorp, mantan Setiausaha Agung Majlis Pusat, Cik Isiah Majid memberi jaminan bahawa tajaka itu akan beroperasi seperti biasa.

"Masa berlalu hampir dua minggu dan kita telah dapat membuktikan yang kita bergerak seperti biasa. Jadi itu adalah satu jaminan kepada ibu bapa yang kita tidak terjejas dengan apa yang berlaku. Aktiviti anak-anak juga berjalan seperti biasa. Malahan penglibatan orang luar contohnya, kita ada beberapa program yang telah dicadangkan lebih awal, ia berjalan dengan baik," kata Cik Isiah kepada wartawan Syawal Yusoff.

Cik Isiah masih memegang jawatan selaku Pengurus Pentadbiran di Little Beez Playskool.

Semasa BERITA Mediacorp ke pusat tajaka yang terletak di Tampines Street 45 itu pada Khamis (6 Jun), murid-murid sedang mengikuti sebuah aktiviti mewarna batik anjuran sekumpulan relawan pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Tengah.

Disebabkan cuti sekolah, tajaka itu juga agak lengang kerana tidak ramai kanak-kanak yang hadir.

Tajaka yang dibuka sejak 2001 mempunyai mempunyai 25 kakitangan dan hampir 100 murid Melayu Islam dari peringkat bayi hingga K2.

Ia beroperasi dari 7 pagi hingga 7 malam, Isnin hingga Jumaat

PARA IBU BAPA MEMAHAMI

Cik Isiah berkata pihak tajaka akur akan segala keprihatinan para ibu bapa dan akan menghantar risalah kepada mereka untuk menerangkan situasi yang berlaku.

Ia juga bagi meredakan kebimbangan tentang status persekolahan anak-anak mereka di pusat itu.

"Risau apakah persekolahan anak-anak mereka akan terjejas. Itulah yang paling mereka khuatirkan. Kerana pada masa ini untuk mendapatkan tempat di pusat-pusat tajaka tidak mudah. Lagipun, mereka di sini kerana kemudahan itu dekat dengan rumah dan sebagainya. Jika mereka harus berpindah ke tempat lain bagaimana urusannya? Inilah perkara perkara yang dibangkitkan," katanya.

Walau bagaimanapun, Cik Isiah bersyukur kerana kebanyakan ibu bapa sangat memahami.

"Mereka (ibu bapa) telah menerima berita ini dengan cara baik melalui media yang telah menyiarkannya. Jadi kita tidak menerima sebarang tanda tanya yang sangat mendadak ataupun yang sangat genting," kata Cik Isiah.

Beliau mendedahkan bahawa kesemua kakitangan tajaka, termasuk tenaga pengajar, telah dimaklumkan lebih dahulu tentang kes yang dikemukakan terhadap MPS.

"Apabila berita ini diberitahukan kepada mereka, apa yang mereka betul- betul risau ataupun ingin tahu ialah apakah pekerjaan mereka akan terjejas. Apakah mereka akan mendapat bayaran gaji mereka dan lain lain lagi.

"Jadi apa yang telah kita pastikan kepada mereka ialah dengan sendirinya apabila perkara ini berlaku, gaji pertama mereka yang sepatutnya dibayar pada waktu kejadian ini telah berlaku, mereka masih mendapat gaji seperti biasa. Itu juga menjadi satu jaminan kepada mereka bahawasanya keselesaan mereka di sini akan diteruskan dan akan berterusan. Kita juga mendapat jaminan itu daripada pihak Penyelesai," jelasnya.

BEBERAPA PENGENDALI SUDAH TAMPILKAN MINAT UNTUK AMBIL ALIH

Menurut Kod Amalan ECDA, para pemegang lesen tajaka perlu memberi notis selama enam bulan setiap kali ada perubahan.

Jadi, untuk jangka masa enam bulan akan datang, segala operasi Little Beez Playskool akan diuruskan pihak pentadbiran sedia ada, di bawah penyeliaan pihak Penyelesai dan ECDA.

Cik Isiah mendedahkan bahawa beberapa pengendali tajaka telah menunjukkan minat untuk mengambil alih operasi tajaka tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau berharap pihak yang mengambil alih nanti akan dapat meneruskan legasi dan sifat kekeluargaan yang telah dipupuk selama ini.

"Keseluruhannya warga Little Beez Playskool ini mengharapkan pengambil alihan kepada satu pemegang lesen yang lain diharap juga dapat terus tertumpu kepada satu badan kebajikan juga, di mana kebanyakan atau boleh saya katakan 100 peratus petugas di sini, apabila mereka datang ke sini untuk bekerja, mereka tahu bahawasanya mereka berkhidmat untuk masyarakat.

"Jadi sebab itu kemesraan, sikap kekeluargaan itu sangat rapat. Jadi mereka harap jika ia harus beralih kepada mana mana pengelola lain, mereka berharap ia juga merupakan badan kebajikan dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam," jelasnya.

TERIMA EMEL TAHNIAH DARI PM WONG

Mengulas tentang perintah penggulungan MPS, Cik Isiah berkata, perkara itu sememangnya tidak dijangkakan kerana arahan itu dikenakan terhadap sebuah pertubuhan sosial.

"Kami bertanyalah dengan pelbagai (pihak), dengan kenalan dan peguam. Mereka pun tidak dapat beri jawapan pasti. Jadi memang kami tidak membuat sebarang persiapan. Apa yang kami sangka ialah apabila perintah itu dijatuhkan, kami akan diberi masa untuk menyelesaikan beberapa perkara dan sebagainya. Rupanya tidak.

"Jadi itu sesuatu keputusan mendadak yang buat kami apa hendak dibuat selepas ini? Kemudian kami dapat surat daripada Penyelesai mengatakan berhenti daripada beroperasi. Berhenti bererti kami tidak boleh buat apa-apa. Tidak juga boleh mencari sesiapa ataupun seseorang untuk membantu. Sebab kami bukan sesiapa," kata Cik Isiah.

Kunci pejabat Majlis Pusat di Toa Payoh Central diserahkan kepada pihak Penyelesai pada 23 Mei 2024, iaitu kira-kira lebih sebulan selepas badan itu menyambut ulang tahunnya yang ke-55.

Menurut Cik Isiah, penyerahan kunci juga amat pahit kerana ia terjadi sejurus selepas Perdana Menteri, Lawrence Wong mengutuskan ucap tahniah buat Majlis Pusat.

"Pada tarikh saya menyerahkan kunci MPS kepada Penyelesai, saya menerima emel daripada Perdana Menteri Lawrence Wong mengucapkan 'Selamat Ulang Tahun yang ke-55 pada Majlis Pusat Singapura'," katanya, sambil menahan sebak.

DIGESA KEMUKAKAN RAYUAN

Cik Isiah berkata ada sebilangan pihak yang menyarankan supaya pihak Jawatankuasa Eksekutif Majlis Pusat mengemukakan rayuan, namun ia akan membabitkan kos kos guaman yang tinggi.

"Ada saranan daripada rakan peguam untuk katanya cuba merayu tetapi rayuan harus dibuat oleh peguam. Itu akan memerlukan biaya. Jadi soalannya siapa yang akan membiayai?" ujarnya.
Meskipun episod itu pahit untuk ditelan, Cik Isiah berharap masyarakat akan terus menghargai segala pencapaian serta sumbangan para karyawan dan relawan yang terdahulu kepada usaha memartabatkan budaya Melayu di Singapura sepanjang 55 tahun yang lalu.

"Kami ihat daripada kebaikan yang telah mereka lakukan. Apa pun yang berlaku yang masa lalu merupakan kesilapan peribadi seseorang atau dua tiga orang. Jadi, kita tidak perlu menghukum semua orang. Kami harus hargai jasa mereka yang hendak memberikan masa, tenaga dan juga wang ringgit untuk buat kerja sukarela. Jadi kami jangan menakutkan orang lain (yang) hendak buat kerja sukarela ini.

"Kami lihat kepada kebaikannya. Salah satu contoh inilah apa yang kami dapat lakukan yang kami dapat lunaskan hutang-hutang tertunggak (sebelum ini) kepada orang-orang yang berhak. Itu satu kejayaan kepada saya," ujarnya.

Antara usaha yang sangat membanggakan Cik Isiah sendiri adalah inisiatif tahunan 'Pesta Buku Melayu Singapura' yang bertujuan meraikan dan memupuk minat membaca di kalangan masyarakat setempat.

"Tahun ini merupakan tahun keempat yang akan dikelolakan oleh MPS sepatutnya itu satu kejayaan. Jadi dilihat pada yang baik saja," jelasnya.

Penganjuran Pesta Buku yang keempat yang dijadualkan pada 16 hingga 18 Ogos itu akan diambil alih oleh Persatuan Kemuning.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan