Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Operasi Mahkamah Syariah disambung semula, sebahagiannya secara online

Ini bermakna, orang ramai tidak semestinya perlu berkunjung ke premis Mahkamah Syariah untuk mendapatkan khidmat-khidmat tertentu.

Anggaran Waktu Membaca:
Operasi Mahkamah Syariah disambung semula, sebahagiannya secara online

Mahkamah Syariah. (Gambar: Petikan dari laman Mahkamah Syariah)

SINGAPURA: Operasi Mahkamah Syariah disambung semula secara bertahap-tahap pasca tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19, dengan sebahagian khidmatnya disediakan menerusi wadah-wadah online.

Ini bermakna, orang ramai tidak semestinya perlu berkunjung ke premis Mahkamah Syariah untuk mendapatkan khidmat-khidmat tertentu.

Ini adalah sebahagian daripada komitmen Mahkamah Syariah untuk menjaga keselamatan para kliennya di tengah-tengah krisis COVID-19 sedang ia terus memberikan sokongan kepada kes-kes penceraian.

Mahkamah Syariah mendakapi kemudahan-kemudahan teknologi bagi khidmat-khidmat utama dan urus niaga termasuk prosiding mahkamah.

Dalam tempoh empat minggu pertama sejak ia dibuka semula pada 2 Jun lalu, hampir 700 sesi mahkamah dijalankan sama ada di premis itu sendiri atau menerusi komunikasi online.

Kes-kes yang sebelum ini terpaksa ditunda tarikhnya disebabkan 'circuit breaker' kini kembali dikendalikan. Pada bulan Jun lalu, sekitar 65 peratus sesi perbicaraan serta persidangan praperbicaraan diadakan - sama ada sebahagiannya atau sepenuhnya - menerusi wadah-wadah online seperti WebEx.

Di bawah Akta 2020 (Langkah-Langkah Sementara) COVID-19, Mahkamah Syariah dibenarkan menjalankan prosiding-prosiding menerusi teknologi komunikasi, sama seperti mahkamah-mahkamah sivil dan jenayah.

MUDAH, JIMAT MASA, KATA PEGUAM SYARIAH

Rata-rata para klien mahkamah menyambut baik perubahan-perubahan tersebut yang memudahkan prosiding dijalankan. Para peguam yang mewakili anak guam mereka dalam sesi-sesi mahkamah menerusi WebEx menyifatkannya sebagai “dijalankan dengan cekap dan mudah”.

Bagi peguam dari R.W. Law Shahirah Nassir, penggunaan WebEx sebagai wadah komunikasi bagi sesi perbicaraan itu sangat dialu-alukan. Malah beliau pada mulanya menjangkakan akan berdepan dengan isu-isu teknikal seperti mutu audio dan gangguan video.

Sekalipun demikian, beliau berpuas hati kerana sesi-sesi tersebut dijalankan tepat pada masanya dengan isu teknikal yang begitu minimal.

Yang penting, beliau mendapati platform itu selamat digunakan bagi prosiding-prosiding mahkamah yang memerlukan privasi sekali gus dapat memenuhi langkah-langkah keselamatan pandemik COVID-19.

Seorang lagi peguam, Mohammad Rizuan, dari firma Emerald Law berkata urusan mahkamah yang dijalankan online itu didapati memudahkan dan amat membantu menjimatkan masa.

Ini kerana para peguam tidak perlu meninggalkan pejabat untuk menghadiri sesi mahkamah. Memandangkan firma guamannya itu perlu mengendalikan banyak kes Mahkamah Syariah, kemudahan teknologi itu membantu mempertingkatkan produktiviti.

Khidmat-khidmat dan urus niaga lain yang kini dijalankan secara digital termasuk pengambilan dokumen-dokumen Arahan Mahkamah dan Sijil Pewarisan yang dikeluarkan pada atau selepas 2 Jun 2020. Kedua-duanya boleh dikirimkan menerusi emel tanpa perlu hadir di premis Mahkamah Syariah.

Selain itu, pertanyaan-pertanyaan mengenai khidmat mahkamah atau kes-kes yang sedang dikendalikan juga boleh dilakukan menerusi kiriman emel atau panggilan telefon.

Bengkel-bengkel ‘Kesepakatan Menjaga Anak’ (PP), yang perlu dijalani pasangan yang ingin bercerai sebelum memperolehi sijil penceraian mereka, juga dijalankan online menerusi sesi-sesi webinar.

Sejak sebahagian khidmatnya dijalankan online, jumlah klien yang mengunjungi premis Mahkamah Syariah berkurangan 50 peratus.

“Sambungan semula khidmat Mahkamah Syariah dirancang dengan teliti bagi memastikan ia boleh dijalankan dengan selamat dan bertangungjawab oleh para klien dan juga kakitangan mahkamah. Penggunaan teknologi membolehkan semua ini,” menurut Presiden Kanan Mahkamah Syariah, Alfian Kuchit.

Sekalipun demikian, janji temu dan khidmat yang masih perlu dilakukan di premis mahkamah akan dipastikan terus mematuhi peraturan jarak selamat.

PROGRAM SOKONGAN PASANGAN & ANAK-ANAK DITERUSKAN WALAU PANDEMIK

Mahkamah Syariah juga bekerjasama dengan rakan-rakan masyarakat untuk memperkukuh program-program sokongan bagi pasangan yang sedang menjalani proses penceraian dengan tujuan untuk mengurangkan konflik. Program-program sedemikian terus dijalankan - sama ada secara empat mata atau online jika perlu - meskipun di tengah-tengah wabak COVID-19.

Pasangan-pasangan yang merancang untuk bercerai perlu mengikuti Program Kaunseling Perkahwinan (MCP), yang sudah dimulakan sejak 2004. Ia bertujuan untuk menyelamatkan mahligai yang dibina namun jika tidak dapat dielakkan, para kaunselor akan membantu memastikan mereka bercerai cara baik.

Sepanjang tempoh lima tahun lalu - antara 2015 dengan 2019, lebih 40 peratus pasangan yang dirujuk ke MCP tidak jadi bercerai. Daripada keseluruhan jumlah pasangan yang berakhir dengan penceraian, 70 peratus bercerai dengan cara baik.

Dalam keadaan pandemik sekarang ini, MCP juga dijalankan dalam persekitaran selamat menerusi sesi-sesi kaunseling online. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan