Skip to main content

Singapura

Operasi loji air PUB di Sungai Johor digantung susuli pencemaran air

Operasi di Johor River Waterworks yang dikendalikan Agensi Air Negara (PUB) digantung buat sementara waktu berikutan insiden pencemaran air yang menjejaskan Sungai Johor.
Anggaran Waktu Membaca:
Operasi loji air PUB di Sungai Johor digantung susuli pencemaran air
Penduduk tempatan duduk di tebing Sungai Johor pada 12 Mac 2025. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
Diterbitkan : 01 Nov 2025 10:32AM Dikemas Kini : 01 Nov 2025 02:44PM
SINGAPURA: Operasi di Johor River Waterworks yang dikendalikan Agensi Air Negara (PUB) digantung buat sementara waktu berikutan insiden pencemaran air yang menjejaskan Sungai Johor.

“Bekalan air di Singapura tidak terjejas kerana PUB telah meningkatkan pengeluaran di loji tempatan bagi memenuhi permintaan,” menurut agensi air negara itu.

“PUB sedang memantau mutu air mentah di Sungai Johor dengan teliti. Operasi akan disambung semula apabila pemeriksaan menunjukkan mutu air sungai sudah kembali normal.”

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura dalam satu catatan di Facebook pada Sabtu petang (1 Nov) menyatakan pihak berkuasa sedang memantau Selat Johor Timur secara rapi menyusuli dua insiden pencemaran.

Salah satu insiden tersebut melibatkan pencemaran di Sungai Johor akibat aktiviti perlombongan pasir, manakala satu lagi membabitkan tumpahan minyak kelapa sawit yang menjejaskan kawasan perairan pantai di Kampung Pasir Putih, Johor.

“NEA sedang berhubung dengan Jabatan Alam Sekitar Johor dan difahamkan bahawa punca pencemaran bagi kedua-dua insiden sudah dapat dikawal dan dihentikan,” menurut agensi alam sekitar Singapura itu.

“Kerja-kerja pembersihan minyak juga sedang dijalankan dan kebanyakan tumpahan minyak sawit sudah pun dibersihkan,” tambahnya.

NEA turut memaklumkan bahawa mutu air di Singapura kekal normal, dan garis pantai serta ladang ternakan ikannya tidak terjejas.

Agensi Makanan Singapura (SFA) kini bekerjasama rapat dengan ladang ikan di Selat Johor Timur bagi melaksanakan langkah pencegahan yang diperlukan.

Sementara itu, Lembaga Taman Negara (NParks) tidak menemui sebarang kesan terhadap kawasan yang kaya dengan biodiversiti di Pulau Ubin, Coney Island (Pulau Serangoon), Taman Pasir Ris dan Taman Pantai Changi.

PUB juga memantau mutu air di empangan pesisir berhampiran Selat Johor Timur dan setakat ini tidak mengesan sebarang kehadiran minyak sawit yang mengalir berhampiran pintu air pasang surut negara.

“Kami tidak menjangkakan sebarang kesan terhadap operasi loji penyahgaraman air laut yang terletak di bahagian selatan Singapura,” menurut PUB.

Kapal-kapal ronda Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) yang dilengkapi dengan bahan penyerap dan peralatan pemulihan minyak sedang bersiap sedia bagi sebarang pengerahan.

Di bawah Perjanjian Air 1962, Singapura dibenarkan untuk mengambil sehingga 250 juta gelen air sehari dari Sungai Johor, dan bertanggungjawab membekalkan air terawat kepada Johor sebanyak sehingga dua peratus daripada jumlah air yang diimport.

Empangan Linggiu terletak di hulu Johor River Waterworks dan berfungsi melepaskan air ke dalam sungai tersebut bagi menambah alirannya.

Permintaan air di Singapura kini dianggarkan sekitar 440 juta gelen sehari.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita