Skip to main content

Singapura

Operasi daftar masuk pulih semula bagi kebanyakan syarikat penerbangan di Changi susuli gangguan CrowdStrike

Anggaran Waktu Membaca:
Operasi daftar masuk pulih semula bagi kebanyakan syarikat penerbangan di Changi susuli gangguan CrowdStrike

(Gambar: Marcus Mark Ramos/CNA)

SINGAPURA: Lapangan Terbang Changi menyatakan pada pagi Sabtu (20 Jul) bahawa operasi daftar masuk sudah kembali normal bagi kebanyakan syarikat penerbangan yang terjejas akibat gangguan IT pada Jumaat (19 Jul) yang menjejaskan perniagaan di seluruh dunia.

Syarikat-syarikat penerbangan terpaksa melakukan daftar masuk secara manual di Lapangan Terbang Changi dan lapangan terbang di seluruh dunia selepas kemas kini perisian oleh syarikat keselamatan siber CrowdStrike menurunkan sistem komputer yang dijalankan pada sistem pengendalian Microsoft Windows.

Dalam catatan Facebook pada pagi Sabtu (20 Jul), Lapangan Terbang Changi menyatakan sebilangan kecil syarikat penerbangan masih memerlukan daftar masuk manual.

"SERIUS DAN MEMBIMBANGKAN"

Cik Josephine Teo, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital ( MDDI), menyifatkan gangguan itu sebagai "serius dan membimbangkan".

"Pasukan saya telah bekerja sepanjang malam untuk menyokong syarikat-syarikat di Singapura yang perkhidmatannya kepada orang ramai terjejas akibat gangguan itu," kata Cik Teo dalam catatan Facebooknya pada petang Sabtu.

"Keutamaan segera kami adalah untuk membantu khidmat-khidmat itu pulih dan saya gembira kerana kebanyakan khidmat ini sudah kembali normal."

Beliau mengeluarkan komen tersebut selepas kementeriannya menyatakan kebanyakan syarikat yang terjejas akibat gangguan itu telah memulihkan perkhidmatan mereka kepada orang ramai setakat pukul 6.00 pagi Sabtu.

"Ini termasuk perkhidmatan daftar masuk syarikat penerbangan, surat khabar, radio dan perkhidmatan pos," menurut Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital ( MDDI), sambil menambah bahawa ia memantau dengan teliti keadaan dan akan memberikan bantuan kepada syarikat-syarikat jika perlu.

Cik Teo juga berkata apabila situasi itu berlaku di seluruh dunia "kesannya ke atas Singapura jelas, sekalipun membimbangkan, ia bukanlah yang terburuk yang boleh berlaku".

Cik Teo turut menarik perhatian bahawa khidmat-khidmat penting dan khidmat-khidmat pemerintah, kebanyakannya tidak terjejas dan beberapa khidmat yang tergendala, seperti perkhidmatan pos, pulih dengan pantas apabila pelan kesinambungan perniagaan diaktifkan.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita