Skip to main content

Singapura

Operasi cari 2 pendaki warga SG diteruskan meski keadaan mencabar; MFA hargai bantuan Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
Operasi cari 2 pendaki warga SG diteruskan meski keadaan mencabar; MFA hargai bantuan Indonesia

Orang ramai melihat asap naik selepas letusan Gunung Dukono di Kabupaten Halmahera Utara, Maluku Utara, Indonesia, pada 8 Mei 2026. (Gambar: Jhon Frengki Manipa melalui REUTERS)

Diterbitkan : 10 May 2026 10:40AM
SINGAPURA: Operasi mencari dua pendaki Singapura yang hilang menyusuli letusan Gunung Dukono di Indonesia diteruskan, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Sabtu (9 Mei), manakala tujuh lagi yang telah dipindahkan akan pulang ke tanah air pada Ahad (10 Mei).

Gunung Dukono di wilayah Maluku Utara meletus pada pagi Jumaat (8 Mei), menyemburkan abu setinggi 10km ke udara.

Tiga orang - termasuk dua rakyat Singapura - hilang semasa berlaku letusan itu, manakala 17 pendaki - tujuh rakyat Singapura dan 10 warga Indonesia - telah dipindahkan ke tempat selamat pada hari itu.

"Para pegawai dari Kedutaan Singapura di Jakarta kini berada di Gunung Dukono, Halmahera Utara, untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang dijalankan untuk mengesan dua rakyat Singapura yang hilang, dan memudahkan kepulangan tujuh rakyat Singapura lain dalam kumpulan pendaki yang terjejas," menurut MFA dalam kenyataannya.

"Kumpulan tujuh orang ini kini dalam perjalanan ke Jakarta dan akan pulang ke Singapura pada Ahad, 10 Mei 2026."

"Kementerian Ehwal Luar merakamkan penghargaan yang mendalam atas usaha berterusan pihak berkuasa tempatan di Halmahera Utara, di mana operasi SAR diteruskan dalam keadaan yang sangat mencabar."

MFA menyatakan pada Jumaat (8 Mei) bahawa ia sedang bekerjasama dengan Indonesia untuk menyediakan bantuan dan menghulurkan sokongan kepada rakyat Singapura yang terjejas akibat letusan Gunung Dukono di Indonesia.

Pada Jumaat 98 Mei), agensi mencari dan menyelamat tempatan mengenal pasti dua pendaki Singapura yang hilang sebagai Heng Wen Qiang Timothy, 30 tahun, dan Shahin Muhrez bin Abdul Hamid, 27 tahun, semasa menerbitkan senarai mangsa yang terselamat dan hilang.

Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia menyatakan bahawa kedua-dua warga Singapura itu berada kira-kira 20 hingga 30 meter dari kawah utama gunung berapi itu, tetapi usaha menyelamat tidak dapat diteruskan disebabkan oleh keadaan rupa bumi yang ekstrem dan peningkatan aktiviti gunung berapi di sekitar Gunung Dukono.

Pasukan penyelamat pada Sabtu (9 Mei) menemui mayat seorang warga Indonesia yang dipercayai seorang wanita bernama Angel, menurut Iwan Ramdani, ketua agensi penyelamat tempatan. Jasad wanita itu akan dibawa ke hospital daerah untuk proses pengecaman.
Seorang pemandu pelancong tempatan, yang menukil rakan-rakan pemandu pelancong, berkata bahawa mangsa dipercayai telah mengambil laluan yang lebih pantas tetapi lebih berbahaya untuk mendaki Gunung Dukono, walaupun masih belum jelas sama ada laluan itu adalah laluan tidak rasmi.
Sumber : CNA/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita