Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Operasi bersihkan tumpahan minyak di pantai SG capai kemajuan 'lebih pantas dari jangkaan'

Anggaran Waktu Membaca:
Operasi bersihkan tumpahan minyak di pantai SG capai kemajuan 'lebih pantas dari jangkaan'

Gambar: Grace Fu/Facebook

Diterbitkan : 16 Jul 2024 10:25PM Dikemas Kini : 16 Jul 2024 11:29PM
SINGAPURA: Operasi pembersihan tumpahan minyak kini memasuki fasa terakhir. Ini selepas ia mencapai kemajuan lebih pantas daripada apa yang dijangkakan.

Perkembangan tersebut dikongsi oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Selasa (16 Jul), kira-kira sebulan selepas minyak itu mencemarkan beberapa pantai di pinggir laut Singapura.

Pada 14 Jun, sebuah kapal yang berdaftar di Belanda melanggar kapal tangki yang tidak bergerak, sekali gus menyebabkan minyak dari tangki kapal berkenaan mengalir ke laut.

Dalam beberapa hari sahaja, tumpahan minyak itu sudah merebak ke beberapa pantai, termasuk di Sentosa, Taman East Coast dan Hutan Simpanan Labrador serta pantai di Pulau Sekijang Bendera (St John's Island), Pulau Sekijang Pelepah (Lazarus Island) dan Pulau Kusu. Minyak juga dilihat di Marina South Pier.

Fasa pertama operasi pembersihan tersebut memberi tumpuan kepada menghapuskan pasir berminyak daripada permukaan pantai yang terjejas dan menggunakan pelampung penyerap minyak (containment booms) untuk mengelak pencemaran selanjutnya.

Fasa seterusnya, yang lebih rumit, memberi tumpuan kepada kawasan yang sukar dibersihkan seperti bongkah-bongkah batu, pemecah ombak, dan minyak yang terperangkap lebih dalam di dalam pasir. Fasa itu pada asalnya dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan.

"Tumpahan minyak hampir dihapuskan! Pembersihan minyak daripada bongkah-bongkah batu dan pantai mencapai kemajuan lebih pantas daripada yang dijangkakan," jelas Cik Fu dalam satu kemas kini yang dimuat naik menerusi catatan Facebooknya pada Selasa.

Fasa terakhir akan menyaksikan pantai-pantai itu diperiksa untuk menghapuskan "bola tar" - longgokan minyak kecil yang telah mengeras dan bercampur dengan pasir. Saiznya dari sekecil kerikil hingga sebesar penumbuk.

"Pantai Siloso dan Taman East Coast (Kawasan B) kini dalam fasa terakhir operasi pembersihan. Kami menyeru semua sukarelawan untuk tampil membantu kakitangan pembersihan kami memeriksa dan mengeluarkan bola tar dari pantai," katanya.

Memandangkan bola tar bertaburan di seluruh pantai yang terjejas dan ia merupakan proses intensif buruh untuk menghapuskannya, Cik Fu meminta bantuan para sukarelawan dalam apa yang beliau sebut sebagai latihan pembersihan pantai terbesar di Singapura.

Mediacorp sudahpun menghubungi Lembaga Taman Negara (NParks) dan Sentosa untuk mendapatkan garis masa yang lebih terperinci mengenai baki operasi pembersihan itu.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan