Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Operasi antipenipuan: Polis tangkap 35 individu, 255 disiasat babitkan 1,200 kes penipuan S$31 juta

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 35 individu ditangkap pasukan polis minggu ini menyusuli satu operasi penguatkuasaan empat hari bagi membanteras kes-kes penipuan.

Menurut polis hari ini (27 Mac), hasil daripada operasi itu juga, seramai 255 individu kini membantu siasatan berhubung peranan mereka dalam lebih 1,200 kes penipuan, membabitkan wang lebih S$31 juta dolar.

Operasi hasil kerjasama Pusat Anti-Penipuan (ASC) dari Pasukan Polis Singapura (SPF) bersama lima bank itu diadakan dijalankan dari 22 Mac hingga 25 Mac.

Semasa operasi-operasi itu, para pegawai ASC bersama tujuh divisyen polis darat dan lima bank tersebut berjaya membuat intervensi ke atas lebih 150 kes membabitkan penipuan pelaburan dan penipuan pekerjaan.

BERITAmediacorp diberi peluang menyaksikan sendiri bagaimana para pegawai menjalankan operasi di Kompleks Polis Cantonment bagi menghentikan penipuan dan memberitahu sebilangan mangsa bahawa mereka sedang ditipu.

Gambar: SPF

Antara yang dilakukan termasuk menganalisis pengaliran dana akaun-akaun bank yang dikemukakan dalam laporan-laporan penipuan. Ada di kalangan mangsa sebenarnya sudahpun memindahkan wang kepada penipu tanpa mengetahui mereka sedang ditipu.

"Para pegawai dari Pusat Anti-Penipuan telah bekerjasama dengan lima buah bank, iaitu DBS, OCBC, UOB, SCB dan HSBC.

"Mangsa-mangsa penipuan sudah pun dilibatkan oleh pegawai dari Pusat Anti-Penipuan untuk menghentikan sebarang pemindahan wang selanjutnya," kongsi Staf Sarjan Kanan (SSSGT) Handri Haris, Pegawai Penyiasat Kanan ASC, dari Jabatan Ehwal Komersial (CAD).

SUSPEK TERMUDA BERUSIA 16 TAHUN

Di kalangan 35 yang diberkas dalam operasi ini, 6 adalah wanita.

Gambar: SPF

Suspek termuda pula berusia 16 tahun.

Beberapa individu terbabit dikatakan menjual perincian maklumat Singpass mereka kepada para penipu dan memberi mereka akses tanpa kebenaran kepada khidmat-khidmat digital dan langganan telefon di bawah nama individu itu.

Perbuatan ini membolehkan dalang-dalang penipuan untuk menjalankan tindakan-tindakan seperti mendaftar untuk perniagaan, dan membuka akaun-akaun bank atau penukaran kripto dengan tujuan menerima keuntungan yang tidak sah daripada mangsa penipuan.

Siasatan masih sedang dijalankan bagi kesalahan seperti menipu, pengubahan wang haram, membantu dalam mendapatkan akses tanpa kebenaran kepada bahan komputer dan menjalankan perniagaan khidmat bayaran tanpa lesen, menurut polis.

Gambar: SPF

MODUS OPERANDI KES PENIPUAN PELABURAN DAN PEKERJAAN

Dalam penipuan pelaburan, ia selalunya berlaku di media sosial di mana si penipu akan menyamar sebagai pakar kewangan. Mereka kemudian akan berkongsi tip-tip yang kononnya menjamin keuntungan, untuk menarik perhatian mangsa.

Dalam kebanyakan kes penipuan pelaburan ini, mangsa selalunya mendapat sedikit keuntungan daripada pelaburan di peringkat awal, sehingga percaya ia skim pelaburan yang sah dan lumayan.

Namun, mereka kemudian diminta membayar yuran-yuran pentadbiran, guaman dan cukai dan sebagainya untuk menukarkan keuntungan mereka kepada wang tunai.

Bagaimanapun setelah melabur lebih banyak wang, si penipu kemudian lesap.

HELAH PENIPUAN PEKERJAAN

Bagi penipuan pekerjaan pula, para mangsa biasanya akan memberi respons kepada iklan-iklan kerja berhubung mendapat wang cepat dari platform-platform media sosial dan aplikasi-aplikasi perbualan.

Gambar: SPF

Mereka akan diminta membuat pesanan barangan daripada wadah online, bertujuan menaikkan angka jualan - bermula daripada barangan berharga rendah, dan kemudian kepada barangan yang lebih mahal.

Mangsa akan membayar untuk barang-barangan itu menerusi pemindahan dana kepada bank akaun dan pada mulanya akan dibayar balik jumlah sepenuhnya dengan komisyen lumayan.

Namun, selepas memindahkan jumlah wang yang banyak, si penipu kemudian lesap.

NASIHAT POLIS UNTUK ELAK JADI MANGSA PENIPUAN

Jadi apakah yang patut orang ramai lakukan untuk elak menjadi mangsa penipuan?

Gambar: SPF

Ini jawapan daripada SSSGT Handri:

"Pihak Polis ingin mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika menerima tawaran pekerjaan dan pelaburan dari orang-orang yang tidak dikenali di media sosial, atau di platform temu janji dan perbualan."

Orang ramai juga dinasihati agar tidak mendedahkan sebarang perincian mengenai ID Singpass, kata laluan atau Pengesahan Dua Faktor (2FA) kepada orang lain.

Jika ada sebarang aktiviti-aktiviti yang mencurigakan pada akaun Singpass, mereka boleh melaporkannya kepada talian bantuan Singpass di 6335 3533.

Pesalah bagi kes-kes seperti itu boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun, disaman atau kedua-duanya.

Mereka yang mendedahkan akses kod tanpa kebenaran untuk sebarang tujuan dan keuntungan yang salah dan tidak sah, boleh menghadapi sehingga tiga tahun di penjara, disaman atau kedua-duanya.

Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan