Operasi alih bangkai kapal layar mewah di Sentosa Cove bermula sebulan selepas terbakar
Bahagian atas kapal layar mewah Eagle Wings III dipindahkan pada pukul 6.00 petang di ONE15 Marina Sentosa Cove pada 9 Jul 2026. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
Menurut pihak yang terlibat dalam operasi tersebut, kapal layar mewah atau superyacht sepanjang 112 kaki dengan nama Eagle Wings III itu telah terbelah dua - bahagian dek atas dan bahagian badan kapal - semasa kebakaran berlaku. Bahagian dek atas berjaya diangkat keluar dari air pada petang Khamis.
Kapal layar tersebut, yang boleh memuatkan sehingga 50 tetamu dan sering digunakan untuk sewaan persendirian serta acara korporat, telah terbakar pada 7 Jun lalu dan karam selepas usaha memadamkan kebakaran dijalankan. Punca kebakaran masih lagi dalam siasatan.
Mediacorp difahamkan bahawa operasi pengalihan ini diuruskan atas arahan pemilik kapal layar tersebut, iaitu EagleWings Yacht Charter.
Apabila Mediacorp tiba di lokasi pada sekitar 9.30 pagi, bangkai kapal Eagle Wings III kelihatan senget di dalam air, manakala sebuah kapal tunda, SSE Danakody, berada di sebelahnya.
Encik Nick McLaughlin, pengurus besar ONE15 Marina Sentosa Cove, menyatakan: "Kerja-kerja persediaan sedang dijalankan minggu ini bagi memudahkan siasatan lanjut serta memastikan proses membawa keluar kapal itu dari kawasan marina dilakukan dengan selamat."
Beliau menambah "tiada sebarang bukti kerosakan pada prasarana marina akibat insiden tersebut buat masa ini." Setelah operasi selesai, ruang tempat letak kapal yang terjejas dijangka akan beroperasi semula seperti biasa.
OPERASI MENYELAMAT SEDANG BERJALAN
Seorang pengawal keselamatan memberitahu Mediacorp bahawa kapal SSE Danakody tiba di marina pada sekitar pukul 4.00 petang Rabu. Kapal berwarna kuning dan biru berketinggian 56 meter dan lebar 20 meter itu dilengkapi dengan kren, dan dimiliki oleh syarikat Singapore Salvage Engineers, sebuah penyedia perkhidmatan kecemasan maritim.
Kanvas hijau yang menutup bangkai kapal tersebut sejak beberapa minggu lalu telah dialihkan pada pagi Khamis, sekali gus mendedahkan bahagian badan kapal yang rentung.
Tiga lapisan penghadang minyak berwarna jingga dan putih dipasang mengelilingi bangkai kapal bagi mengelakkan sebarang pencemaran.
Para pekerja dilihat sibuk mengikat tali di sekeliling kapal layar tersebut sambil dibantu oleh penyelam yang turun ke dalam air. Pada sekitar 6.00 petang, kren tersebut mula mengangkat bahagian dek atas kapal layar mewah itu keluar dari air sambil diperhatikan oleh orang ramai yang berkumpul di marina.
Apabila diangkat, beberapa bahagian kecil daripada sisa hitam yang rentung itu kelihatan luruh kerana sudah rapuh setelah sebulan berada di dalam air. Bahagian tersebut kemudiannya diletakkan dengan cermat di atas kapal SSE Danakody.
Mediacorp difahamkan baki bahagian badan kapal yang lebih besar dan rumit untuk dialihkan memerlukan masa dua hingga tiga hari lagi untuk kerja-kerja persediaan, termasuk memasang peranti pengapungan di dalamnya.
Pihak pemilik kapal, EagleWings Yacht Charter, enggan memberikan ulasan lanjut apabila dihubungi melalui emel dan telefon.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memberitahu Mediacorp bahawa terdapat tiga insiden kebakaran melibatkan bot rekreasi dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini sebelum insiden Eagle Wings III - iaitu satu kes setiap tahun dari 2023 hingga 2025.
"Ketiga-tiga insiden itu berlaku ketika bot sedang diletakkan di dermaga. Siasatan SCDF menunjukkan kesemua kebakaran tersebut berpunca daripada masalah elektrikal," jelas SCDF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.