Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Opera Academy tawarkan biasiswa Bangsawan pertama di SG

Anggaran Waktu Membaca:
Opera Academy tawarkan biasiswa Bangsawan pertama di SG

Opera Academy tawarkan biasiswa Bangsawan pertama di SG. (Gambar: Facebook/Opera Academy)

SINGAPURA: Sebuah biasiswa baharu ditawarkan bagi menggalak lebih ramai pelajar untuk mendalami seni bangsawan.

Opera Academy melancarkan Biasiswa Bangsawan yang pertama seumpamanya di Singapura untuk menyokong para pelajar mendalami dan memperkukuh ilmu dalam seni teater bangsawan.

Setiap biasiswa bernilai S$13,800.

Menurut pihak penganjur, sebanyak enam biasiswa akan ditawarkan bagi individu berusia antara 17 hingga 25 tahun.

Biasiswa-biasiswa itu melambangkan enam teras Bangsawan iaitu Adab, Bahasa, Lenggok, Nada, Deria dan Gerak dalam pendidikan dan pembelajaran seni itu di Opera Academy.

Gambar: Facebook/Opera Academy

"Dalam masa yang singkat ini, hampir 15 individu telah memohon untuk biasiswa ini. Individu-individu ini terdiri daripada pelajar-pelajar di peringkat Maktab Rendah, Politeknik, NAFA, dan di Universiti," kongsi Pengarah, Program dan Operasi, Opera Academy, Muhammad Hafiz Yusof kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Sebenarnya, kami inginkan profil-profil pemohon yang lebih rencam lagi. Ini termasuk pelajar-pelajar dari Institusi Pendidikan Teknikal (ITE) dan Madrasah. Mungkin setelah kejayaan usaha kami yang pertama ini, ia akan menarik minat pelajar-pelajar dari institusi itu," tambah Encik Hafiz.

DAPAT RAIH ILMU TEORI, PRAKTIKAL DALAM SENI BANGSAWAN

Gambar: Facebook/Opera Academy

Para penerima biasiswa antaranya bakal meraih ilmu teori mahupun praktikal dalam seni teater Bangsawan secara berstruktur.

Ini sambil memahami selok-belok industri kesenian di Singapura dan di Nusantara.

"Penerima-penerima biasiswa bakal mempelajari seni teater bangsawan itu sendiri. Ini termasuk juga kajian tentang busana dan 'prop' atau alat peraga, penghasilan naskhah Bangsawan, lakonan, dan juga genre-genre kesenian yang melengkapi pementasan sebuah teater Bangsawan seperti silat, syair dan sebagainya," menurut Encik Hafiz lagi.

Malah, biasiswa itu juga turut menekankan kemahiran pengurusan yang kreatif untuk membantu individu menjadi seniman yang lebih yakin dan menyeluruh.

Ia juga akan melatih mereka menjadi pemimpin dan pemangkin dalam bidang seni persembahan.

"Satu lagi cabang biasiswa ini adalah tentang program bimbingan dalam bidang keusahawanan. Di sini, mereka akan didedahkan kepada bidang-bidang yang amat penting ketika menerajui sebuah syarikat atau badan kesenian. Antara bidang yang akan ditawarkan adalah seperti Pembangunan Perniagaan, Media Digital dan Pencipta Kandungan serta Pendidikan dan Pendampingan Masyarakat," jelas Encik Hafiz.

BELAJAR DARIPADA PEMBIMBING SENI TEATER MELAYU & BANGSAWAN

Para pelajar juga berpeluang membina kerjaya dalam teater Melayu dan Bangsawan di Singapura.

"Mereka akan mengikuti pembimbing-pembimbing berpengalaman dalam seni teater Melayu dan Bangsawan di Singapura. Melalui kaedah ini, mereka bukan sahaja mempelajari proses penghasilan seni teater Bangsawan, malah mereka juga berpeluang untuk bertemu dan berurusan dengan individu-individu penting dalam ekosistem kesenian ini," kata Encik Hafiz.

"Ini merupakan antara faedah terbesar buat penerima-penerima biasiswa ini apabila mereka berpeluang untuk membina rangkaian mereka sendiri. Ini pasti akan membantu mereka apabila mereka tamat biasiswa bersama Opera Academy dan terus bergerak secara kendiri atau bersama mana-mana badan kesenian," tambahnya lagi.

Gambar: Facebook/Opera Academy

Ini juga sejajar dengan misi kumpulan itu untuk menghasilkan anak watan Melayu yang cemerlang bukan sahaja dalam aspek akademik, malah dalam aspek-aspek seperti kerohanian, adab dan nilai.

"Opera Academy juga ingin mengorak langkah untuk pengamat-pengamat seni terus memandang seni tradisional seperti Seni Teater Bangsawan dengan kaca mata yang lebih serius lagi. Ia bukan sekadar bidang seni lama yang sudah hilang kerelevanannya. Ia sebenarnya kerja seni yang mampu mencetuskan jalan penyelesaian buat masalah-masalah yang berkenaan dengan kelemahan berbahasa, kehilangan nilai dalam masyarakat Melayu kita. Ini bukan sahaja bakal menguntungkan cabang Teater dan Bangsawan Melayu, malah ia akan menyediakan golongan belia untuk menjadi peneraju utama dalam ekosistem kesenian secara menyeluruh di Singapura," ujar Encik Hafiz.

Badan-badan seni tempatan juga diharap dapat terus menyumbang dalam pembangunan dan penghasilan golongan cendekiawan dalam kalangan generasi muda.

Proses pemilihan akan berlangsung pada minggu ini dengan Majlis Anugerah Biasiswa itu bakal diadakan pada Rabu (5 Feb). 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan