Skip to main content

Singapura

OpenAI syarikat induk ChatGPT buka pejabat di SG tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Oct 2024 10:54AM Dikemas Kini : 10 Oct 2024 12:07AM
SINGAPURA: Syarikat induk ChatGPT OpenAI pada Rabu (9 Okt) mengumumkan perancangan untuk membuka sebuah pejabat di Singapura menjelang hujung tahun ini, sambil menambah ia sudah mula membangunkan sebuah pasukan di negara ini.

Singapura akan menjadi hab dari mana OpenAI akan menyokong para pelanggan dan rakan-rakan di merata rantau Asia Pasifik, dan pasukan di sini akan membantu memperkukuh hubungan dengan pemerintah, perniagaan dan institusi tempatan, menurut syarikat itu.

Dalam pengumumannya semasa Minggu Teknologi Singapura, OpenAI menyatakan perancangannya mencerminkan "kedudukan kepimpinan" Singapura dalam teknologi dan kecerdasan buatan, serta permintaan meningkat bagi wadah AI canggih di merata rantau Asia Pasifik.

CEO OpenAI Sam Altman berkata Singapura "muncul sebagai peneraju kecerdasan buatan".

Encik Altman menambah syarikat itu ghairah untuk bekerjasama dengan pemerintah dan "ekosistem berkembang maju" negara ini.

OpenAI juga mengumumkan kerjasama dengan AI Singapore untuk menjadikan AI canggih lebih boleh diakses di merata Asia Tenggara.

"Menerusi kerjasama ini, OpenAI akan menyediakan sehingga AS$1 juta untuk membantu membangunkan sumber-sumber, termasuk dataset terbuka, demi memastikan model-model AI lebih disesuaikan dengan bahasa dan budaya Asia Tenggara yang rencam."

Dr Leslie Teo, pengarah kanan produk-produk AI di AI Singapore berkata: "Usaha ini akan mempertingkat ketersediaan dan mutu data Asia Tenggara, dan menggalak pembangunan lanjut serta penggunaan model-model dan huraian-huraian AI di rantau kita."

Kehadiran tempatan OpenAI juga akan membolehkannya bekerja rapat dengan rakan-rakan pemerintah seperti Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), menurutnya.

Ia akan menyokong ekosistem AI tempatan dan membantu membentuk masa depan yang dijana AI yang "memberi manfaat kepada semua orang".

Pengarah Urusan EDB Jacqueline Poh berkata keputusan OpenAI untuk berada di Singapura menekankan kekuatan ekosistem AI negara yang kian berkembang.

Untuk menerajui usaha-usaha serantau OpenAI di Singapura dan merata rantau ini, syarikat itu sudah melantik Oliver Jay sebagai pengarah urusan antarabangsa.

Beliau akan berpangkalan di Singapura dan menyelia operasi antarabangsa OpenAI serta pengembangan global.

OpenAI juga akan menganjurkan Hari Pembangun di Singapura pada 21 November.

Menurut syarikat itu, acara tersebut akan "menyatukan masyarakat pembangun dan pemula yang berkembang maju di rantau ini, yang sedang membina masa depan AI".
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita