Onn Hafiz pemimpin Johor pertama terima anugerah LKYEF
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi mencipta sejarah apabila beliau menjadi pemimpin Johor yang pertama menerima Lee Kuan Yew Exchange Fellowship (LKYEF), anugerah berprestij antarabangsa yang kini memasuki edisi ke-82, sekali gus mengangkat nama negeri itu ke peringkat antarabangsa.
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi menerima Anugerah LKYEF yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong ketika lawatannya ke Singapura, pada 31 Julai 2025. (Gambar: Facebook/Onn Hafiz Ghazi)
Encik Onn Hafiz juga adalah rakyat Malaysia kesembilan yang diberi penghormatan menerima anugerah itu bagi mengiktiraf pemimpin berkebolehan dalam bidang dasar awam dan kepimpinan di rantau ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Mohd Jafni Md Shukor berkata, pencapaian itu bukan sahaja menjadi kejayaan peribadi Menteri Besar Johor itu, tetapi juga kebanggaan seluruh rakyat Johor.
"Pengiktirafan ini membuktikan kewibawaan, visi dan kepimpinan luar biasa Onn Hafiz dalam menerajui Johor ke arah masa depan yang lebih gemilang, selain mencerminkan keyakinan serantau terhadap dasar, pendekatan dan keupayaan Johor sebagai sebuah negeri yang progresif, stabil dan disegani.
"Semoga Datuk (Onn Hafiz) terus dianugerahkan kekuatan, kesihatan dan kebijaksanaan dalam membawa panji Bangsa Johor ke tahap yang lebih tinggi. Tahniah sekali lagi. Bangga menjadi anak Johor," katanya dalam satu catatan menerusi Facebook pada Khamis (31 Jul).
LKYEF yang ditubuhkan sejak 1991 merupakan sebuah inisiatif pemerintah Singapura bagi menjemput tokoh terkemuka dari seluruh dunia melawat republik itu dan pemilihan penerima dibuat berdasarkan rekod pencapaian serta potensi sumbangan kepada pembangunan negara selain memperkukuh hubungan dua hala dengan Singapura.
Encik Onn Hafiz dijadual mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Singapura bermula hari ini atas jemputan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.