Ong Ye Kung perjelas bagaimana SBB bantu hapus stigma dalam pendidikan
Menteri Pendidikan Ong Ye Kung menyeru masyarakat agar memimpin usaha mengekang stigma berdasarkan keupayaan akademik, sedang pemerintah mengubah dasarnya.
SINGAPURA: Menteri Pendidikan Ong Ye Kung menyeru masyarakat agar memimpin usaha mengekang stigma berdasarkan keupayaan akademik, sedang pemerintah mengubah dasarnya.
Encik Ong berkata demikian sebagai mengulas persoalan tentang sama ada stigma akan berterusan meskipun pemerintah bakal menggantikan sistem aliran di sekolah-sekolah menengah kepada Skim Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB).
Beliau berkata demikian di luar satu acara masyarakat di Sembawang hari ini (10 Mac).
Menteri Pendidikan Ong Ye Kung berkata apabila SBB mula dilaksanakan di semua sekolah menengah pada 2024, para pelajar boleh mengambil subjek-subjek di pelbagai peringkat - dari G1 ke G3. Aliran Normal dan Ekspres pula akan dimansuhkan.
Di bawah sistem baru itu, para pelajar boleh mengambil subjek-subjek seperti kesenian, muzik dan pendidikan jasmani (PE) dengan para pelajar lain, tidak kira jumlah mata yang diraih dalam PSLE.
Mereka yang mempunyai asas lebih kukuh dalam mata pelajaran tertentu pula boleh mengambilnya pada peringkat lebih tinggi. Sebaliknya, seorang pelajar yang agak lemah dalam Matematik, misalnya, boleh memilih untuk mengambil subjek itu pada peringkat lebih rendah seperti G2.
HAPUS STIGMA TUMPUAN UTAMA
"Saya fikir dalam sekitaran seperti itu, pengalaman mahupun pemikiran para pelajar akan menjadi berbeza. Daripada perlu menghadapi stigma, mereka akan berasa yakin untuk berkembang dan menjadi yang terbaik di samping menjadi bersemangat untuk mencapai kemajuan dalam pelajaran," kata Encik Ong.
Beliau menambah, walaupun maklum balas yang diterima adalah positif, ada ibu bapa yang prihatin, pengajaran yang berbeza-beza mungkin menjejas tahap pendidikan.
Namun, beliau menjelaskan skim yang diuji akan menajamkan bukan menghadkan kekuatan pelajar.
Menurutnya lagi, ia berfungsi dengan baik di sekolah-sekolah rendah dan stigma sudah lebih kurang lenyap tetapi pada masa yang sama, ia mengubah suai pendidikan di peringkat subjek.
Dalam konteks yang lebih luas, adalah diharapkan sistem pendidikan baru itu akan menggalakkan masyarakat menghapuskan stigma.
Sekitar 25 sekolah akan menjadi perintis Skim SBB, menjelang tahun depan. Lebih banyak sekolah ingin menyertai skim itu tetapi Encik Ong berkata jumlahnya perlu dihadkan kerana MOE mahu mencapai kejayaan pada percubaan kali pertama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.