Skip to main content

Singapura

Ong Ye Kung, Chee Hong Tat hantar surat peguam kepada lelaki tuduh mereka sokong aktiviti haram Su Haijin

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 May 2025 07:37PM Dikemas Kini : 12 May 2025 11:32PM

SINGAPURA: Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dan Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat telah mengeluarkan surat peguam kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai "Rich Sng" di Facebook, kerana menyebar fitnah yang menuduh seolah-olah mereka mengambil atau menerima rasuah.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh setiausaha media mereka, lelaki tersebut, yang nama sebenarnya ialah Sng Chia Huat, menerbitkan dua catatan yang mendakwa bahawa kedua-dua menteri itu tahu bahawa Su Haijin, seorang pengubah wang haram yang telah disabitkan kesalahan, telah melanggar undang-undang, namun memilih untuk menyokong kegiatan haramnya.

Dia juga menuduh bahawa kedua-dua menteri tersebut berpura-pura tidak mengenali Su, terlibat dalam atau terdedah kepada rasuah atau sogokan, dan merupakan sebahagian daripada sistem yang melindungi penjenayah sedemikian.

"Tuduhan-tuduhan ini tidak berasas dan palsu," menurut kenyataan bersama tersebut.

"Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan bersama sebelum ini, kedua-dua menteri tidak mengenali Su Haijin secara peribadi, dan tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya sebelum dan selepas jamuan makan malam tersebut."

Kedua-dua menteri itu telah meminta Sng untuk memohon maaf, menarik balik tuduhan palsunya dan membayar ganti rugi, yang akan mereka sumbangkan kepada badan amal.

Jika Sng tidak berbuat demikian menjelang 16 Mei, kedua-dua menteri itu terpaksa menyaman beliau untuk membersihkan nama mereka daripada tuduhan palsu tersebut, dan mempertahankan reputasi baik dan jujur pemerintah, tambah kenyataan itu.

Awal bulan ini, setiausaha media kedua-dua menteri itu berkata bahawa gambar-gambar yang menunjukkan kedua-dua mereka di jamuan makan malam, di mana ahli kumpulan kongsi gelap Fujian, Su Haijin, hadir, telah disebarkan secara online.

Kenyataan itu menjelaskan: "Sebagai menteri, mereka bertemu dengan bermacam-macam jenis orang di pelbagai acara dan perhimpunan.

"Mereka menghadiri jamuan makan malam tersebut atas undangan seorang rakan, dan Su kebetulan berada di sana.

"Menteri Ong ingat bahawa beberapa bulan kemudian, pada satu lagi jamuan makan malam, Su juga kebetulan berada di sana."

Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa mereka tidak mengenali Su secara peribadi dan "tidak mempunyai sebarang hubungan atau urusan dengannya sebelum atau sejak peristiwa-peristiwa tersebut".

Secara berasingan pada Isnin, ketua buruh Ng Chee Meng, yang baru-baru ini dipilih sebagai Anggota Parlimen SMC Jalan Kayu, juga mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa beliau telah menghantar surat peguam kepada Sng.

Beliau juga telah dilihat bergambar bersama Su.

Encik Ng berkata: "Encik Sng telah membuat beberapa catatan mengenai saya yang tidak benar, mengelirukan dan berunsur fitnah."

"Melalui peguam saya, saya telah meminta Encik Sng untuk menarik balik tuduhan palsu beliau dan memohon maaf sebelum 16 Mei 2025. Saya juga telah meminta Encik Sng untuk mencadangkan jumlah ganti rugi, yang akan saya sumbangkan kepada badan amal."

"Jika dia tidak berbuat demikian, saya terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap Encik Sng untuk membersihkan nama saya daripada tuduhan palsu, mengelirukan, dan berunsur fitnah ini."

Setiausaha Agung NTUC, Ng Chee Meng (kiri), bersama ahli kumpulan Fujian, Su Haijin. (Gambar : Instagram/toxicstatenarrativeinsg)
Encik Ng telah berkata minggu lalu bahawa beliau bertemu Su pada satu jamuan makan malam, dan beliau tidak mempunyai interaksi lanjut dengannya selepas itu.

Beliau menambah bahawa sebagai setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), ia adalah sebahagian daripada kerjanya untuk berinteraksi dengan syarikat-syarikat dan pemimpin sektor swasta yang berbeza.

"Di majlis-majlis ini, orang akan sering mendekati saya untuk bergambar. Makan malam ini adalah salah satu majlis sedemikian.

"Saya kemudian mengetahui tentang siasatan polis dan tuduhan jenayah seterusnya terhadap Su."

Mantan menteri tenaga manusia Lim Swee Say, yang muncul dalam salah satu gambar bersama Encik Ong dan Su, menggambarkan acara itu sebagai "perhimpunan sosial antara rakan-rakan lama" yang menurutnya berlaku pada 10 Mei 2022.

Encik Lim berkata Su adalah satu-satunya individu yang tidak dikenalinya di sana, dan beliau tidak mempunyai berhubung dengan Su selepas makan malam tersebut.

Ahli perniagaan tempatan Sam Goi, yang juga dikenali sebagai "Raja Popiah" Singapura, memberitahu Bloomberg bahawa beliau telah menganjurkan dan membayar untuk hidangan makan malam yang dihadiri oleh menteri-menteri itu dan Encik Ng.

Pemilik dan pengerusi eksekutif Tee Yih Jia Food Manufacturing kemudian menjelaskan bahawa saiz kumpulan makan malam persendirian yang melibatkan Su dan Encik Ong, Encik Chee dan Encik Ng mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 pada waktu itu.
Sumber : CNA/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita