Skip to main content

Singapura

Ong Ye Kung akan sampaikan kenyataan menteri berhubung strategi sektor penerbangan S'pura

Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung akan menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen pada Selasa (6 Okt) mengenai strategi Pemerintah bagi sektor penerbangan yang dibadai teruk pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Ong Ye Kung akan sampaikan kenyataan menteri berhubung strategi sektor penerbangan S'pura

Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung.

Diterbitkan : 05 Oct 2020 09:22PM Dikemas Kini : 05 Oct 2020 09:28PM

SINGAPURA: Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung akan menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen pada Selasa (6 Okt) mengenai strategi Pemerintah bagi sektor penerbangan yang dibadai teruk pandemik COVID-19.

Menyifatkan sektor penerbangan sebagai satu "nadi kehidupan bagi Singapura", Encik Ong berkata dalam catatan Facebooknya pada Isnin bahawa beliau akan menjawab beberapa soalan yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) Saktiandi Supaat, Gan Thiam Poh, Melvin Yong dan Liang Eng Hwa "mengenai rancangan untuk membantu pemulihan hab udara dan syarikat penerbangan negara".

Encik Ong juga berkata beliau akan menyentuh tentang sama ada cukai akan dikenakan ke atas "penerbangan tanpa haluan".

"Walaupun Singapore Airlines (SIA) telah mengumumkan bahawa pihaknya tidak akan meneruskan penerbangan tanpa haluan, saya juga akan menjawab keprihatinan yang dibangkitkan oleh AP Encik Dennis Tan dan Prof Madya Jamus Lim mengenai hal ini, termasuk sama ada cukai harus dikenakan pada penerbangan seperti itu," kata Encik Ong.

Encik Tan dari Parti Pekerja (WP) telah mengemukakan soalan Parlimen yang menanyakan menteri itu apakah faktor-faktor yang akan diambil kira sebelum meluluskan penerbangan tanpa tujuan. AP Hougang juga bertanya sama ada pelepasan gas karbon dari penerbangan tersebut menjadi salah satu pertimbangan.

Dr Lim, juga dari WP, bertanya jika Kementerian Pengangkutan (MOT) mempertimbangkan untuk mengenakan cukai sekitaran bagi setiap penerbangan bagi "penerbangan tanpa haluan".

Selain itu, AP GRC Sengkang itu bertanya jika MOT mempertimbangkan untuk menyarankan kepada SIA agar juruterbangnya mengekalkan kemahiran mereka melalui simulator dan menokok gaji anak kapalnya dengan anggaran kos sekitaran tambahan melalui subsidi Pemerintah, sebagai ganti mengendalikan penerbangan tanpa haluan.

Sektor penerbangan global terjejas teruk oleh pandemik COVID-19 dengan sekatan sempadan yang ketat mengehadkan perjalanan, menyebabkan pendapatan menjunam dan lebih banyak pemberhentian kerja oleh syarikat penerbangan dan perniagaan-perniagaan berkaitan.

SIA Group melaporkan kerugian bersih tahunan pertama dalam sejarah 48 tahun pada Mei dan menyatakan akan memotong kira-kira 4,300 jawatan, menjejas sekitar 2,400 kakitangan. Para pengamat industri menjangkakan lebih banyak kehilangan pekerjaan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita