Ong Beng Seng dijangka mengaku bersalah pada 2 April
Hartawan Ong Beng Seng dijangka mengaku bersalah ke atas tuduhan berkaitan dengan mantan menteri pengangkutan S Iswaran selepas persidangan praperbicaraan pada Jumaat (28 Feb).
Hartawan Ong Beng Seng tiba di Mahkamah Negara di Singapura pada 4 Okt 2024. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)
Ong, 79 tahun didakwa atas dua kesalahan pada Oktober 2024.
Bagi tuduhan pertama, Ong dituduh bersubahat dengan Iswaran untuk menerima lawatan ke Doha bernilai sekitar S$20,850 pada Disember 2022, di mana segala perbelanjaan untuk lawatan itu ditampung sepenuhnya oleh Ong.
Satu lagi tuduhan mendakwa Ong telah bersubahat dalam menghalang proses keadilan dengan sengaja membantu Iswaran pada Mei 2023, apabila Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) mula menjalankan siasatan, di mana dia membayar S$5,700 kepada Singapore GP bagi tiket penerbangan kelas perniagaan dari Doha ke Singapura bagi lawatan tersebut.
Menyusuli persidangan praperbicaraan pada Jumaat, keputusannya untuk mengaku bersalah tertera dalam kemas kini terhadap sistem pengurusan kes mahkamah.
Tempoh ikat jaminnya sebanyak S$800,000 turut dilanjutkan dan dia dijangka mengaku bersalah pada 2 April.
Seorang jurucakap bagi Ong enggan memberi komen.
Pada awal bulan ini, ia dilaporkan bahawa Ong didiagnos menghidap barah sumsum tulang.
Dua individu terdekat dengan Ong mengesahkan kondisinya, dengan seorang mengatakan dia mengalami mieloma berganda.
Ia merupakan jenis barah sumsum tulang yang jarang berlaku dan mempunyai ciri-ciri pengembangan sel plasma malignan secara abnormal dalam sumsum tulang.
Ong kini sedang menjalani kemoterapi dan sebelum ini bertanya kepada pihak mahkamah jika dia boleh ke luar negara untuk menjalani rawatan perubatan.
Selain dikenali sebagai seorang pengusaha hotel, Ong juga terkenal kerana membawa Formula 1 ke Singapura pada 2008.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.