Ong Beng Seng didenda S$30,000 kerana bersubahat dengan S Iswaran halang proses keadilan
Taikun hartanah Ong Beng Seng didenda S$30,000 pada Jumaat (15 Ogos) kerana bersubahat dengan mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran bagi menghalang proses keadilan.
Ahli perniagaan asal Malaysia berusia 79 tahun itu, yang membantu membawa Formula 1 Grand Prix ke Singapura, mengaku bersalah pada minggu lalu.
Dia mengaku membuat aturan bersama Singapore GP untuk mengeluarkan bil pembayaran kepada Iswaran bagi tiket penerbangan kelas niaga dari Doha ke Singapura yang bernilai S$5,700.
Bayaran itu dibuat beberapa bulan selepas penerbangan itu dan hanya selepas Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) menemui nama Iswaran dalam senarai penumpang bagi penerbangan ke Doha semasa menyiasat satu kes berasingan.
Tuduhan kedua kerana menghasut Iswaran supaya membeli tiket penerbangan dan penginapan hotel daripadanya, walaupun Ong mempunyai urusan perniagaan berkaitan dengan tugasan rasminya, turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
Ong sebelum ini menyuruh Iswaran mengikutnya dalam lawatan ke Qatar dengan menaiki sebuah jet privet sebagai tetamunya, dengan segala perbelanjaan dibiaya sepenuhnya.
Iswaran menerima tawarannya dan memohon untuk mengambil cuti kecemasan.
Iswaran pergi ke ibu kota Qatar, Doha dengan menaiki jet privet Ong pada Disember 2022 dan bermalam di Hotel Four Seasons untuk satu malam sebelum menaiki penerbangan pulang ke Singapura menggunakan tiket penerbangan kelas niaga yang berharga S$5,700.
Singapore GP - di mana Ong adalah pemegang saham majoriti - membayar penginapan hotel dan tiket penerbangan pulang Iswaran ke Singapura.
Apabila Ong mendapat tahu pada Mei 2023 bahawa CPIB merampas senarai penumpang yang mengandungi butiran mengenai lawatan ke Doha itu dan menyoal siasat rakan-rakannya berhubung lawatan itu, dia memaklumkan perkara itu kepada Iswaran melalui panggilan telefon.
Iswaran kemudian meminta Ong supaya menyuruh Singapore GP mengeluarkan bil bagi perbelanjaan berkaitan lawatan ke Doha, termasuk harga tiket penerbangan pulang.
Ong bersetuju dan menyuruh pengarah Singapore GP mengaturkan bil tersebut.
Iswaran kemudian mengeluarkan cek bernilai S$5,700 yang ditujukan kepada Singapore GP.
BELAS KASIHAN KEHAKIMAN
Dalam perbicaraan mahkamah sebelum ini, pasukan pembelaan Ong, yang dipimpin oleh peguam kanan Cavinder Bull dari Drew & Napier memohon agar mahkamah menggunakan belas kasihan kehakiman bagi kes tersebut disebabkan oleh keadaan perubatan teruk yang dihidapi oleh Ong.
Belas kasihan kehakiman merujuk kepada kuasa budi bicara bahawa mahkamah Singapura perlu menjatuhkan hukuman yang lebih ringan berbanding apa yang seharusnya dijalankan mengikut situasi kesalahan itu.
Ini bagi mengiktiraf keadaan hukuman yang luar biasa, yang dalam kes-kes sebelum ini ia melibatkan keadaan perubatan serius atau di mana hukuman penjara akan menimbulkan risiko ketara terhadap nyawa pesalah itu.
Encik Bull berkata Ong menghidap sejenis barah yang jarang berlaku dikenali sebagai mieloma berbilang tahap lanjut (advanced multiple myeloma), yang sudah merosakkan sebahagian tulang pada tulang belakangnya.
Keadaannya dan rawatan yang dijalani sudah menjejas sistem imun tubuhnya, sekali gus menyebabkan Ong mudah terdedah kepada jangkitan yang mengancam nyawa.
Barah itu juga merosakkan sistem rangka tubuhnya dan menjejas keupayaannya untuk mengimbangi badan, menyebabkannya lebih mudah terjatuh hingga boleh memudaratkan nyawanya, kata Encik Bull.
Encik Bull berhujah supaya Ong diberikan denda "berat" tanpa memperincikan jumlahnya, sambil berkata penjara hanya akan mendedahkan Ong kepada potensi jangkitan yang boleh meragut nyawanya.
Pihak pendakwa yang dipimpin oleh Timbalan Ketua Pendakwa Raya Christopher Ong yang juga peguam kanan, berkata terdapat asas untuk pihak mahkamah menggunakan belas kasihan kehakiman disebabkan oleh keadaan kesihatan Ong.
Mereka sebaliknya memohon Ong dikenakan denda maksimum.
Tiada denda maksimum dinyatakan dalam kertas pertuduhan Ong bagi kesalahan bersubahat untuk menghalang proses keadilan, namun Mahkamah Negara boleh mengenakan denda sehingga S$30,000.
Jika tidak kerana keadaan perubatan Ong yang serius, pihak pendakwa raya berkata hukuman penjara selama lapan minggu lebih sesuai dikenakan terhadap Ong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.