Ong Beng Seng diberi tarikh baharu untuk mengaku bersalah
Satu tarikh baharu ditetapkan bagi taikun hartanah Ong Beng Seng untuk mengaku bersalah, menurut dokumen mahkamah pada Isnin (28 Jul).
Hartawan hartanah Ong Beng Seng tiba di Mahkamah Negara di Singapura pada 4 Oktober 2024. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
Dia dijangka mengaku bersalah pada 4 Ogos, dengan tarikh tersebut disediakan selepas satu persidangan praperbicaraan pada Isnin.
Warga Malaysia itu berdepan dua tuduhan yang sama dengan yang diakui oleh mantan menteri pengangkutan S Iswaran pada tahun lalu.
Ong dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak S$800,000.
Kemas kini itu diberikan selepas kes Ong melalui beberapa sesi persidangan praperbicaraan.
Ong, bekas pengarah pengurusan Hotel Properties Limited, dijadual mengaku bersalah pada 3 Julai.
Namun perbicaraan itu ditukar kepada persidangan praperbicaraan selepas kedua-dua pihak memohon lebih banyak masa untuk memfailkan penyerahan hukuman.
Salah satu tuduhan yang dikenakan ke atas Ong adalah kerana bersubahat dengan Encik Iswaran dalam menghalang proses keadilan dengan membantu beliau membayar S$5,700 kepada Singapore GP bagi satu tiket penerbangan kelas perniagaan dari Doha ke Singapura.
Hotel Properties Limited sebelum ini menyatakan dalam satu pengumuman Bursa Singapura bahawa Ong akan mengaku bersalah atas tuduhan menghalang proses keadilan dan mengaku bersalah atas satu lagi tuduhan, yang akan diambil kira dalam menentukan hukuman.
Ong meletak jawatan sebagai pengarah pengurusan Hotel Propeties Limited pada 29 April lalu atas sebab kesihatan.
Mediacorp sebelum ini melaporkan dia menghidap barah sumsum tulang.
Jika sabit kesalahan atas tuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Encik Iswaran untuk memperolehi barang berharga, Ong boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Jika sabit kesalahan menghalang proses keadilan, iaitu tuduhan di bawah Seksyen 204A, Ong boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.