Skip to main content

Singapura

Ong Beng Seng dibenar keluar SG lebih 2 minggu dengan tambahan ikat jamin S$800,000

Anggaran Waktu Membaca:
 Ong Beng Seng dibenar keluar SG lebih 2 minggu dengan tambahan ikat jamin S$800,000

Gambar fail Ong Beng Seng tiba di Mahkamah Negara bersama penguamnya pada 4 Okt 2024. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 24 Apr 2025 05:11PM Dikemas Kini : 24 Apr 2025 05:12PM
SINGAPURA: Hartawan hartanah dan hotel Ong Beng Seng diberi kebenaran oleh mahkamah pada Khamis (24 Apr) untuk meninggalkan Singapura selama lebih dua minggu, dengan syarat tambahan bagi ikat jamin termasuk jaminan S$800,000.

Ini selain ikat jamin sedia ada sebanyak S$800,000, menjadikan jumlah keseluruhan ikat jamin kepada S$1.6 juta.

Menurut dokumen-dokumen mahkamah, rakyat Malaysia berusia 70 tahun itu akan melakukan perjalanan ke London, Boston, Miami, New York dan Florence antara 28 April dengan 16 Mei bagi tujuan pekerjaan.

Jurucakap bagi Ong, yang menghidap barah sumsum tulang, memberitahu Mediacorp lawatan itu juga atas sebab-sebab perubatan.

Ahli perniagaan berusia 70 tahun itu dikenakan tuduhan pada 4 Oktober berkait kes melibatkan mantan menteri pengangkutan S Iswaran, yang dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.

Beliau berdepan dua tuduhan, termasuk satu tuduhan bersubahat dengan seorang pegawai perkhidmatan awam untuk memperoleh barangan bernilai dengan menawarkan kepada Iswaran lawatan ke Doha bersamanya dan membuat aturan bagi lawatan itu pada Disember 2022.

Aturan itu adalah:

Penerbangan keluar menaiki pesawat peribadi Ong dari Singapura ke Doha bernilai AS$7,700

Penginapan satu malam di Hotel Four Seasons Doha bernilai S$4,737.63, melalui Singapore GP

Penerbangan kelas bisnes dari Doha ke Singapura bernilai S$5,700, melalui Singapore GP


Ong merupakan pengerusi penganjur perlumbaan Formula 1 Singapore GP.

Bagi tuduhan menghalang proses keadilan, Ong dituduhan bersubahat dengan menghalang proses keadilan dengan sengaja membantu Iswaran membuat bayaran S$5,700 kepada Singapore GP antara 18 Mei 2023 dengan 25 Mei 2023.

Ini adalah kos tiket penerbangan kelas bisnes Iswaran dari Doha ke Singapura pada 11 Disember 2022, yang dibayar oleh Singapore GP.

Ong sebelum ini diberi kebenaran untuk meninggalkan Singapura selama lebih seminggu pada Oktober 2024 bagi tujuan perubatan dan pekerjaan.

Di bawah syarat permohonan terbaharunya itu, Ong tidak boleh melakukan perjalanan bersama penjaminnya dan perlu menyediakan butiran perjalanan kepada pegawai penyiasat, selain butiran di mana beliau akan menginap ketika di luar negara.

Beliau wajib memastikan dirinya boleh dihubungi setiap masa dan menyerahkan pasportnya dalam masa 24 jam sebaik sahaja pulang ke Singapura.

Kes Ong dijadual bagi persidangan praperbicaraan pada 25 April.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita