Skip to main content

Singapura

ONE Championship berpangkalan di SG berhentikan 'beberapa puluh' kakitangan

Anggaran Waktu Membaca:
ONE Championship berpangkalan di SG berhentikan 'beberapa puluh' kakitangan

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 16 Oct 2024 09:29PM
SINGAPURA: Jenama seni bela diri campuran (MMA) ONE Championship pada Rabu (16 Okt) menyatakan pihaknya memutuskan untuk memberhentikan "beberapa puluh" kakitangan.

Pertubuhan yang berpangkalan di Singapura itu menyatakan langkah tersebut adalah sebahagian daripada "perancangan strategik menyeluruh untuk membawa keuntungan kepada syarikat dalam bulan-bulan mendatang".

"Keputusan itu bukan dibuat sewenang-wenangnya dan mencerminkan komitmen berterusan kami untuk menjajarkan operasi serta menumpukan perhatian kepada kemampanan dan pertumbuhan jangka panjang," menurut kenyataan tersebut.

Langkah itu dibuat di tengah-tengah Group One Holding, iaitu syarikat di sebalik ONE Championship, mengumpulkan sekurang-kurangnya AS$50 juta (S$65 juta) daripada para pelabur, termasuk Penguasa Pelaburan Qatar, menurut laporan.

Ini memberikan Group One taksiran sekurang-kurangnya AS$1.35 bilion (S$1.77 bilion), menurut laporan Bloomberg.

Ini bukan kali pertama ONE Championship memberhentikan kakitangan. Pada 2020, syarikat itu memberhentikan 20 peratus kakitangannya di merata dunia di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Langkah pemberhentian kakitangan oleh ONE Championship itu dibuat di tengah-tengah beberapa kes berprofil tinggi lain dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Awal bulan ini, firma teknologi Dyson menjalankan satu pusingan pemberhentian pekerja, manakala gergasi elektronik Samsung juga memberhentikan sejumlah pekerja di Singapura tetapi tidak mendedahkan jumlahnya.
 
Sumber : CNA/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita