Ombak Perubahan: Tsunami Aceh jadi pengalaman, tingkatkan keupayaan respons badan kemanusiaan SG
Tanggal 26 Disember 2004, tsunami dahsyat melanda Lautan Hindi, yang meragut nyawa sekitar 220,000 orang dengan wilayah Aceh paling teruk terjejas.
SINGAPURA: Tanggal 26 Disember 2004, tsunami dahsyat melanda Lautan Hindi, yang meragut nyawa sekitar 220,000 orang dengan wilayah Aceh paling teruk terjejas.
Peristiwa itu menjadi titik perubahan bagi pelbagai badan kemanusiaan di Singapura, meningkatkan keupayaan respons untuk menangani bencana alam.
Suasana pada ketika itu juga mengerikan dengan kemusnahan teruk dan mayat bergelimpangan.

Begitulah gambaran yang diberikan Penasihat Khas Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad, setibanya beliau di Banda Aceh beberapa hari selepas tsunami dahsyat itu membadai dua dekad lalu.
Pada ketika itu, beliai merupakan Ketua Eksekutif Mercy Relief, antara badan kemanusiaan yang pertama tiba ke Aceh untuk operasi bantuan.
Ini meskipun badan itu baru sahaja berusia 14 bulan.
"Di 'Ground Zero' kelihatan berpuluhan ribu mayat yang terumbang-ambing di sana dan suasananya mengerikan sekali di mana mangsa-mangsa yang masih hidup kehilangan keluarga, anak, orang tua dan sedang mencari keluarga mereka," kongsi Encik Hassan kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Kami juga melihat ibu-ibu yang sedang mengorek tanah liat sewaktu mereka melihat tangan bayi. Mereka mahu mengenal pasti sama ada itu anak mereka dan sebenarnya, hanya ada nasi putih dan ikan bilis rebus sahaja tetapi itu yang mereka makan untuk hidup," tambah beliau.
MERCY RELIEF HANTAR 17 MISI BANTUAN PERUBATAN KE BANDA ACEH, MEULABOH

Bencana tsunami yang melanda Lautan Hindi pada 2004 meragut nyawa sekitar 227,000 mangsa.
Lebih separuh daripadanya di Aceh dan lebih setengah juta lagi kehilangan tempat tinggal dan mengalami kecederaan.
Untuk membantu mereka, Mercy Relief menghantar 17 misi bantuan perubatan ke Banda Aceh dan Meulaboh.
Ia juga kali pertama mereka bekerjasama dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) untuk sediakan bantuan kemanusiaan di luar negara.
Meskipun baru ditubuhkan, pengalaman itu cukup bermakna bagi Mercy Relief dan badan-badan kemanusiaan lain di Singapura.
Ia juga membawa banyak pengajaran buat mereka.
"Kami membuat banyak kesilapan sebagai sebuah badan kemanusiaan yang masih muda. Sewaktu itu, Mercy Relief berusia 14 bulan dan juga sewaktu itu pada 2004, tidak banyak krisis atau bencana yang sebesar yang pernah dialami oleh rantau kami," dedah Encik Hassan.
"Jadi kami telah mengundang dan menjemput masyarakat Singapura untuk menyumbang pakaian mereka dan juga air mineral dan itu menjadi sebuah 'Logistical Nightmare' atau mimpi ngeri logistik," menurutnya lagi.
PENGALAMAN DI ACEH BERI MOTIVASI UNTUK ENCIK HASSAN TUBUHKAN 3 LAGI NGO

Pengalaman di Aceh juga memberi motivasi untuk Encik Hassan menubuhkan lagi tiga badan NGO iaitu Lien Aid, Yayasan 'Corporate Citizen' dan Humanity Matters.
"Tumpuan Humanity Matters ialah untuk membawa masyarakat dari pelbagai kepercayaan bersama berdasarkan satu nilai universal atau sejagat yang sama iaitu kemanusiaan. Kami telah mempelajari dari pengalaman kami di Aceh dan juga di Sri Lanka sewaktu tsunami bahawa pemimpin agama dapat menghimpunkan masyarakat mereka atau kaum-kaum mereka sendiri," ujar Encik Hassan.
Dalam pada itu, pengalaman itu juga turut memberikan beliau dan pasukannya motivasi untuk mengutamakan air bersih dalam respons buat bencana alam.
"Air memang bukan sahaja untuk kesihatan, malah air untuk rawatan, membersihkan alat-alat perawatan. Kami memerlukan air bersih untuk memasak dan minuman, mandi dan membersihkan baju juga," kongsi Encik Hassan.
"(Itu) menjadi motivasi kami untuk mengutamakan air bersih buat respons bencana yang akan datang selepas Aceh," tambahnya.
Antara projek air bersih yang sudah dijalankan badan itu termasuk di Palestin, Indonesia dan Filipina.
PROFESOR FATIMAH LATEEF PIMPIN OPERASI DI MEULABOH, SEDIAKAN BANTUAN PERUBATAN

Di samping bantuan makanan dan barangan keperluan, Mercy Relief juga menyediakan bantuan perubatan di Banda Aceh dan Meulaboh.
Misi itu dipimpin oleh Profesor Fatimah Lateef yang pada ketika itu juga merupakan anggota Jawatankuasa Lembaga Pengarah di Mercy Relief.
"Kami pasukan pertama, mempunyai empat orang wanita - dua doktor dan dua jururawat. Dalam (tempoh) 15 hari kami di sana, kami merawat sekurang-kurangnya dalam hampir 5,000 pesakit dan juga penduduk-penduduk kampung di kawasan sekeliling yang mendapatkan bantuan," kongsi Dr Fatimah.
"Selain daripada pasukan SAF, kami bekerjasama dengan pekerja-pekerja tempatan di sana dan juga pasukan-pasukan antarabangsa yang ada di sana dan berfungsi sebagai ibu pejabat di hospital Meulaboh tetapi kami juga keluar untuk melakukan khidmat 'mobile clinic' atau pun klinik bergerak ke tempat-tempat yang lebih susah untuk penduduknya datang mendapatkan rawatan," tambah beliau.

Dr Fatimah juga menceritakan antara pengalaman yang sukar untuk beliau lupakan di Aceh.
"'Mass burial' ataupun pengebumian secara besar-besaran di mana banyak bahagian tubuh badan manusia terdapat (di sana) jadi mereka tidak dapat kenal pasti siapakah mayat-mayat ini dan sebagainya. Oleh sebab terlalu banyak, jadi mereka melakukan proses 'mass burial' atau pengebumian secara beramai-ramai dan kami semua meluangkan masa untuk pergi," kongsi Dr Fatimah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Ramai pemimpin agama dari pelbagai agama datang bersama-sama untuk membaca doa dan sebagainya. Ini adalah suatu yang sangat unik juga. Pertama kali saya mendapati sesuatu upacara seperti itu," tambah beliau.
PERLU BERSEDIA UNTUK TANGANI BENCANA ALAM

Berbekalkan pengalamannya di Aceh itu dan misi-misi bantuan lain ke Afghanistan dan Iran, Dr Fatimah banyak berkongsi ilmu dengan pegawai perubatan lain untuk membangunkan keupayaan mereka.
"Di Asia ini, memang banyak bencana berlaku setiap dekad dan setiap tahun. Jadi, kita harus bersedia dan bagaimana untuk bersedia ialah melalui latihan, dan minda kita yang harus kita latih. Jadi kita tahu apa yang harus kita lalui sebab di Singapura ini, semuanya teratur dan baik, dalam keadaan sediakala tetapi kalau ada bencana, kita harus tahu apakah yang akan kita hadapi ketika kita ke sana. Jadi, kita tidak terperanjat dan terkejut," ujar Dr Fatimah.
SAHARI ANI SERTAI MISI KEMANUSIAAN DI MEULABOH, TINGKATKAN KEUPAYAAN PALANG MERAH SG

Sebuah lagi badan yang meraih pengalaman di Aceh bagi misi bantuan berskala besar ialah Palang Merah Singapura (SRC).
Selain mengumpul dana S$89 juta bagi Tidal Waves Asia, ia bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menjalankan 69 projek di Indonesia, Sri Lanka dan Maldives.
Antara pegawai yang memimpin misi kemanusiaan ke Meulaboh ialah Pengarah Kumpulan dan Dekan Akademi Palang Merah Singapura (SRC), Sahari Ani.
"Saya telah ditugaskan untuk menyelaraskan aktiviti-aktiviti kemanusiaan di Meulaboh dan kawasan sekelilingnya. Antara kerja-kerja kemanusiaan yang saya menyelaraskan adalah perkhidmatan perubatan yang telah terjejas oleh bencana itu. Kami menyelaraskan beberapa pasukan perubatan. Mereka memberi perkhidmatan perubatan menerusi klinik lapangan dan juga klinik bergerak untuk masyarakat-masyarakat yang terjejas," kongsi Encik Sahari.
Bagi dirinya, semangat kental masyarakat tempatan juga banyak mengajar dirinya dan sukarelawan lain dari Singapura.
"Skala kemusnahan yang diakibatkan oleh bencana tsunami ini belum pernah kami mengalami sebelum itu. Menerusi pengalaman misi kemanusiaan ini, kami telah mendapat pengalaman bagaimana kami boleh mempersiapkan diri pada masa hadapan, apakah faktor-faktor yang kami percaya adalah ketahanan masyarakat setempat," kongsi Encik Sahari.
"Oleh kerana bila terjadinya bencana, sumber pertama akan bertindak kepada risiko bencana ini adalah masyarakat setempat. Ramai daripada mereka telah kehilangan keluarga. Walaupun begitu, kadangkala ada yang juga kehilangan rumah yang telah musnah sama sekali. Walaupun begitu, mereka bertekad untuk menolong masyarakat yang lain yang telah terjejas," tambahnya.

Malah, pengalaman di Aceh juga membantu membina keupayaan SRC untuk lebih bersedia untuk menangani krisis atau insiden berkaitan dengan bencana alam.
"Sebagai organisasi global kemanusiaan, kami terus meningkatkan keupayaan kami untuk memberi respons. Sebagai sebuah negara yang kecil, kami akan terus memberi pertolongan kalau diperlukan," menurut Encik Sahari.
Bagi individu dan badan-badan kemanusiaan ini, pengalaman tsunami 2004 telah menjadi satu pemangkin untuk mempertingkatkan keupayaan dan respons kemanusiaan di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.