Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Olivier Lim pengerusi baharu STB mulai 1 Jan; Amrin Amin dilantik jadi anggota lembaga pengarah

Anggaran Waktu Membaca:
Olivier Lim pengerusi baharu STB mulai 1 Jan; Amrin Amin dilantik jadi anggota lembaga pengarah
Diterbitkan : 29 Dec 2023 04:54PM Dikemas Kini : 29 Dec 2023 05:08PM
SINGAPURA: Pengerusi PropertyGuru dan Starhub Olivier Lim akan mengambil alih sebagai pengerusi Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada 1 Jan, umum Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Jumaat (29 Dis).

Beliau akan menggantikan Encik Chaly Mah, yang sudah berkhidmat selama tujuh tahun. Langkah itu diumumkan setahun selepas pelantikan Encik Lim sebagai timbalan pengerusi STB.

Encik Lim juga merupakan pengarah bebas utama DBS Group Holdings dan DBS Bank, serta pengarah Raffles Medical Group. Beliau juga berkhidmat dalam majlis industri sekuriti Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Encik Mah menyandang jawatan pengerusi STB pada 1 Jan 2017.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau menerajui lembaga pengarah untuk melaksanakan inisiatif dan strategi utama yang menyumbang kepada prestasi pelancongan yang kukuh sebelum pandemik COVID-19.

“Di bawah kepimpinannya, STB berjaya meningkatkan ketibaan pelawat antarabangsa, pendapatan pelancongan dan mengembangkan perkongsian minda kami di peringkat global,” menurut MTI.

Kementerian itu turut mendedahkan bahawa Singapura merekodkan 19.1 juta ketibaan pelawat antarabangsa dan meraih S$27.7 bilion dalam bentuk pendapatan pelancongan pada 2019.

“Apabila berdepan dengan cabaran-cabaran yang belum pernah dihadapi sebelum ini yang ditimbulkan oleh pandemik COVID-19, Encik Mah membimbing lembaga itu dalam menyokong sektor pelancongan untuk berinovasi dan berubah untuk bangkit lebih kuat daripada wabak itu,” tambahnya.

Di bawah kepimpinannya, STB melancarkan Kempen SingapoRediscovers untuk memacu permintaan dalam kalangan penduduk tempatan terhadap produk-produk pelancongan, serta inisiatif SingapoReimagine untuk membina jangkaan bagi meneruskan semula perjalanan antarabangsa.

Beliau dianugerahi Pingat Bintang Bakti Masyarakat sempena Anugerah Hari Kebangsaan 2022 bagi mengiktiraf komitmen dan sumbangannya kepada sektor pelancongan.

MTI juga mengumumkan pelantikan dua anggota lembaga baharu - Encik Amrin Amin, ketua pembangunan korporat di Yayasan Temasek dan Encik Lee Seow Hiang, Ketua Pegawai Eksekutif Changi Airport Group (CAG).

Dua anggota lain telah dilantik semula ke lembaga pengarah - Encik Arthur Lang, ketua pegawai kewangan kumpulan Singtel, dan Cik Soh Siew Choo, ketua pegawai maklumat Asia di MetLife.

Dua anggota lembaga pengarah akan melepaskan jawatan masing-masing selepas tamat penggal mereka pada 31 Dis. Mereka adalah Ketua Pegawai Eksekutif Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) Lim Eng Hwee dan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Turmeric Capital and Aspirational Consumer Lifestyle, Ravi Thakran.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan