Skip to main content

Singapura

Olivia Lum dan mantan pemimpin Hyflux dibicarakan berhubung projek Tuaspring

Anggaran Waktu Membaca:
Olivia Lum dan mantan pemimpin Hyflux dibicarakan berhubung projek Tuaspring

Pengasas dan mantan CEO Hyflux Olivia Lum tiba di Mahkamah Negara pada 11 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 11 Aug 2025 01:53PM Dikemas Kini : 11 Aug 2025 02:20PM
SINGAPURA: Empat tahun selepas Mahkamah Tinggi mengarahkan firma rawatan air tempatan yang terkenal suatu ketika dahulu, Hyflux, dibubarkan, para pemimpinnya akan dibicarakan berhubung dakwaan tidak bersikap telus dalam komunikasinya dengan pelabur dan Bursa Singapura (SGX) berhubung projek Tuaspring.

Projek Tuaspring telah diperkenalkan kepada pasaran sebagai loji penyulingan air laut kedua dan terbesar Hyflux di Tuas. Tetapi syarikat itu tidak mendedahkan pada masa itu bahawa ia akan membiayai penjualan air pada harga yang sangat rendah kepada agensi air negara PUB, dengan perniagaan baharu menjual elektrik daripada loji tenaga yang akan dibinanya.

Penerokaan yang tidak berjaya ke dalam pasaran tenaga Singapura menyumbang kepada kejatuhan syarikat itu sehingga mengalami kerugian berjuta-juta bagi para pelaburnya.

Pengasas syarikat Olivia Lum Ooi Lin, 64 tahun, dan lima yang lain dibicarakan pada Isnin (11 Ogos). Yang lain ialah Cho Wee Peng, 56, mantan ketua pegawai kewangan Hyflux; serta mantan pengarah bebas Hyflux Gay Chee Cheong, 68; Teo Kiang Kok, 69; Murugasu Christopher, 66; dan Lee Joo Hai, 69.

Orang ketujuh dalam kes itu, mantan pengarah bebas Hyflux Rajsekar Kuppuswami Mitta, didenda S$90,000 pada minggu lalu selepas mengaku bersalah.

Daripada enam tertuduh, mantan CEO Lum menghadapi paling banyak tuduhan, dengan prosiding pendakwaan terhadap dua tuduhan di bawah Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan: Kerana membuat tawaran sekuriti bernilai S$200 juta kepada orang ramai dengan tidak menyertakan maklumat mengenai penjualan elektrik, dan kerana bersetuju, sebagai CEO, atas kegagalan Hyflux dengan sengaja tidak memaklumkan kepada bursa sekuriti mengenai penjualan elektrik.

Empat lagi tuduhan telah ditolak atau diketepikan sedang perbicaraan ini diteruskan.

Cho sedang dalam dibicarakan terhadap satu tuduhan - kerana berkomplot dalam kapasitinya sebagai Ketua Pegawai Kewangan untuk Hyflux, dengan sengaja gagal memberitahu bursa sekuriti tentang maklumat berkaitan pejualan elektrik.

Baki empat mantan pengarah bebas menghadapi dua tuduhan yang sama setiap seorang: Kerana tidak menyertakan maklumat yang sama dalam penyata maklumat tawaran pada April 2011, dan atas dakwaan mengabaikan tugas mereka sebagai pengarah, sehingga Hyflux gagal untuk memberitahu bursa sekuriti tentang penjualan elektrik.

KES PENDAKWAAN

Pihak pendakwa berkata dalam kenyataan pembukaan mereka bahawa Hyflux adalah sebuah syarikat rawatan air dan penyulingan air laut yang pertama disenaraikan dalam SGX.

"Keruntuhan itu mengakibatkan kerugian besar kepada pelabur, termasuk kira-kira 34,000 pelabur yang memegang sekuriti kekal dan saham keutamaan, mengalami kerugian sebanyak S$900 juta," dedah pihak pendakwa.

Keruntuhan Hyflux boleh dikesan kepada projek Tuaspring, sebuah projek untuk mereka bentuk, membina, memiliki dan mengendalikan loji penyulingan osmosis air laut kedua dan terbesar Singapura di Tuas untuk tempoh konsesi selama 25 tahun, dengan loji tenaganya membekalkan elektrik kepada loji penyulingan tersebut.

Hyflux berjaya membida projek itu pada 2011, sebagai respons kepada tender yang dijalankan oleh Lembaga Perbekalan Awam, yang kini dikenali sebagai PUB.

Para pelabur didorong untuk mempercayai bahawa Projek Tuaspring secara asasnya adalah projek penyulingan, dengan pengumuman Hyflux pada Mac 2011 memberi gambaran bahawa loji tenaga itu akan dibina untuk membekalkan tenaga kepada loji penyulingan tersebut.

Tetapi pada hakikatnya, daya maju kewangan Projek Tuaspring bergantung sepenuhnya kepada penjualan elektrik, menurut pihak pendakwa raya.

Ini bermakna Projek Tuaspring mendedahkan Hyflux kepada risiko pasaran elektrik dalam perniagaan baharu syarikat itu, dedah pihak pendakwa.

Fakta ini dipercayai tidak didedahkan kepada orang ramai yang melabur, dan kesalahan ini dilakukan berulang kali apabila penyata maklumat tawaran dikeluarkan untuk mengumpul dana daripada orang ramai.

Pihak pendakwa sedang meneruskan tuduhan di bawah Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan (SFA) yang dikaitkan dengan dua kenyataan awam utama oleh Hyflux yang tidak mendedahkan fakta tersebut: Pengumuman pada Mac 2011, yang menjadi asas tuduhan tertentu terhadap kesemua enam mantan pemimpin Hyflux, dan penyata maklumat tawaran pada April 2011, yang membentuk asas tertentu terhadap lima mantan pemimpin tersebut.

Kedua-dua dokumen tersebut dipercayai gagal mendedahkan perkara berikut: Bahawa Projek Tuaspring adalah pengembangan Hyflux kepada perniagaan baharu iaitu penjualan elektrik, bahawa hasil daripada penjualan elektrik daripada loji tenaga Projek Tuaspring diunjurkan membentuk sebahagian besar pendapatan projek itu, dan bahawa keuntungan projek itu bergantung kepada pendapatan daripada penjualan elektrik daripada loji tenaga itu.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita