Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

OG tutup cawangan Orchard Point setelah 18 tahun

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPORE: Rangkaian gedung serbaneka OG akan menutup cawangannya di Orchard Point pada Oktober ini selepas 18 tahun beroperasi di sana. 

"Sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang kami, kami merancang untuk membuka lebih banyak cawangan yang terletak lebih dekat dengan para pelanggan di pinggir bandar," jelas OG pada Khamis (21 Jul). 

Menurut OG, sebuah perniagaan tempatan yang menguruskan makanan segar serta barangan dapur akan mengambil alih ruangnya di Orchard Point. Ia bagaimanapun tidak mendedahkan siapa penyewanya. 

"Sebagai pemilik bangunan, OG meninjau cara-cara untuk bergerak seiring dengan visi STB-URA bagi menyemarakkan Orchard Road sebagai kawasan membeli-belah yang hebat dan bagi mewujudkan sebuah pengalaman membeli-bela yang berbeza dengan zon Somerset," terang OG. 

"Sepanjang bertahun-tahun lalu, banyak perniagaan yang berbeza sudah mendekati OG untuk menyewa podium beli-belah di bangunan OG Orchard Point tetapi kami tidak yakin bahawa konsep mereka akan mencapai visi tersebut. 

"Namun tahun lalu, sebuah perniagaan tempatan mengemukakan kepada kami visinya untuk membangunkan kedai utamanya di lokasi kami di Orchard Road, mengukuhkan lagi kekuatannya dalam makanan segar dan barangan dapur bagi mewujudkan ruang pengalaman mercu tanda yang menawarkan makanan laut hidup, makanan dan minuman (F&B) yang berbeza serta barangan eksklusif."

Menurut panduan sumber online Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), HistorySG, OG membeli Orchard Point pada 2001. Cawangan gedung serbaneka itu kemudian dibuka pada 2004. 

OG kini mempunyai dua cawangan lain - di Albert Complex dan People's Park - yang akan beroperasi seperti biasa. 

"Namun, kami akan menumpukan usaha kami kepada memperhalusi tawaran produk serta menyediakan pengalaman pelanggan yang berbeza di kedua-dua cawangan ini di samping terus berkembang seiring dengan pelanggan kami serta negara," menurut OG. 

Gedung serbaneka itu merancang mengadakan promosi khas di cawangannya di Orchard Road sebagai tanda terima kasih kepada pelanggannya atas sokongan mereka selama ini.

Menurut catatan di laman Facebooknya, para pengunjung boleh menjangkakan tawaran hebat dengan diskaun sehingga 90 peratus. 

Sumber : CNA/FZ/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan