Skip to main content

Singapura

Ofo 'seakan sudah henti' operasi, kata pekerja yang dipecat

Para bekas kakitangan syarikat basikal sewa Ofo, yang kontrak kerja mereka dibatalkan minggu ini, mengatakan bahawa operasi syarikat itu "boleh dikatakan sudah dihentikan" di Singapura kerana tiada lagi kakitangan yang bekerja dengannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Ofo 'seakan sudah henti' operasi, kata pekerja yang dipecat

Gambar fail basikal ofo. (Gambar: Eric Piermont/AFP)

Diterbitkan : 02 Feb 2019 08:21AM Dikemas Kini : 02 Feb 2019 08:23AM

SINGAPURA: Para bekas kakitangan syarikat basikal sewa Ofo, yang kontrak kerja mereka dibatalkan minggu ini, mengatakan bahawa operasi syarikat itu "boleh dikatakan sudah dihentikan" di Singapura kerana tiada lagi kakitangan yang bekerja dengannya.

Para bekas kakitangan tersebut, yang enggan dinamakan, menambah Ofo memberhentikan sekitar 10 pekerjanya daripada divisyen operasi pada Khamis (31 Jan), dan tiada lagi pegawai yang boleh dikerahkan untuk memindahkan dan menyenggara basikal-basikalnya di Singapura.

Kontrak beratus-ratus kakitangan Ofo Singapore juga dibatalkan pada November.

Seorang anggota kanan pasukan operasi Ofo berkata bahawa pasukannya diarahkan berhenti memindahkan basikal-basikal yang diletakkan secara sembarangan pada tiga hari terakhir mereka bekerja pada minggu ini.

"Selepas ini, sebarang arahan pemerintah memindahkan basikal-basikal itu tidak dapat dipenuhi. Tiada lagi pegawai Ofo di Singapura. Mereka semua berada di China. Syarikat itu boleh dikatakan sudah menghentikan operasinya di Singapura," katanya.

Para pegawai yang dipecat menerima panggilan daripada pemangku pengurus besar Ofo, Jack Zhou pada Isnin lalu. Encik Zhou, yang berpangkalan di China, memaklumkan mereka bahawa kontrak mereka akan berakhir pada Khamis dan gaji mereka bagi bulan Jan akan dibayar.

Seorang lagi kakitangan yang diberhentikan kerja memberitahu Mediacorp bahawa pada hari-hari terakhirnya bersama syarikat itu, Ofo mengarahkannya supaya berhenti menjawab pertanyaan-pertanyaan para pelanggan yang dikemukakan menerusi aplikasi syarikat mahupun akaun-akaun media sosialnya.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengesahkan pada Jumaat (1 Feb) ia belum lagi menerima sebarang notis dari Ofo bagi menyatakan bahawa ia berhasrat untuk melepaskan lesen operasinya.

LTA menambah, ia sedang berurusan dengan Ofo tentang pematuhan syarat-syarat kawal selia, dan akan terus memantau keupayaan syarikat itu untuk memenuhi permintaan para pelanggan. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita