Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

OCT Muhamed Hafiz Muhamed Taha jadikan bapa sebagai sumber inspirasi, bulatkan tekad cemerlang dalam OCS

Sejak kecil lagi, Pegawai Kadet (OCT) Muhamed Hafiz Muhamed Taha sudah menanam hasrat untuk menceburi kerjaya dalam perkhidmatan berseragam.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak kecil lagi, Pegawai Kadet (OCT) Muhamed Hafiz Muhamed Taha sudah menanam hasrat untuk menceburi kerjaya dalam perkhidmatan berseragam.

Ini kerana OCT Muhamed Hafiz mahu mengikuti jejak langkah bapanya yang merupakan seorang pegawai polis yang sudah berkhidmat selama lebih 30 tahun.

Bak kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Bapanya juga sering berkongsi kisah-kisah menarik yang berlaku semasa beliau bertugas.

Ini selain daripada kata-kata nasihat dan perangsang bagi mempersiapkan mental OCT Muhamed Hafiz dalam berdepan dengan sebarang bahaya. 

Kata-kata perangsang ini jugalah yang mendorong OCT Muhamed Hafiz untuk lakukan yang terbaik semasa beliau menjalani latihan selama hampir 10 bulan di Sekolah Pegawai Kadet (OCS).

Berkat sokongan keluarganya, OCT Muhamed Hafiz berjaya mengatasi segala cabaran semasa latihan dan muncul sebagai salah seorang daripada 203 pegawai pelatih yang menerima pentauliahan sebagai pegawai tentera Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dalam satu majlis yang diadakan pada Sabtu (9 Sept).  

Majlis itu turut dihadiri Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan. 

Dalam ucapannya, Dr Balakrishnan menekankan pentingnya untuk mempunyai SAF yang sentiasa bersedia untuk menjalankan operasi. 

Beliau berkata, "Dengan lebih banyak persaingan dan permusuhan antara kuasa-kuasa besar di Eropah, Asia dan di tempat lain, ruang dialog bagi diplomasi, kerjasama kini lebih kecil. Sebaliknya, risiko bagi kesilapan langkah dan salah faham semakin besar," 

"Bagi kewujudan dan keselamatan Singapura, SAF mesti perlu sentiasa bersedia untuk melindungi kita daripada pihak-pihak yang boleh jadi penceroboh. Oleh itu, adalah penting untuk kita punyai SAF yang kuat dan berwibawa," tegas Dr Balakrishnan. 

MUDAH SESUAIKAN DIRI DENGAN RUTIN LATIHAN KERANA DISIPLIN SUDAH DIPUPUK SEJAK KECIL

Berkongsi lanjut mengenai pengalamannya, OCT Muhamed Hafiz berkata segala apa yang dicapai sejauh ini ketika menjalani Perkhidmatan Negara (NS) adalah hasil bimbingan bapanya selama ini.

"Saya boleh katakan di latihan OCS, ia mempunyai struktur rejimen di mana mereka melatih saya menjadi seorang pegawai dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) jadi anda perlu mengekalkan gaya hidup yang teratur dan betul.

"Misalnya kebersihan dalam 'bunk', ketrampilan diri dan juga seragam kami, mereka agak teliti.

Menurut OCT Muhamed Hafiz, sikap berdisiplin dan nilai-nilai itu sudah diterap dalam dirinya sejak kecil lagi.  

"Memandangkan bapa saya telah berkhidmat dalam Pasukan Polis Singapura selama 30 tahun, beliau sebenarnya menerapkan tabiat-tabiat tertentu dalam keluarga. 
 
"Dia seseorang yang teratur dalam membuat perancangan harian. Beliau juga sangat menitikberatkan kebersihan seperti memastikan saya dan abang saya sentiasa kelihatan rapi dan kemas selain daripada menjaga kebersihan di rumah," kata OCT Muhamed Hafiz.

Meskipun bapanya seseorang yang tegas dan sentiasa mementingkan disiplin anak-anak, ia tidak menjejas hubungan mereka. Sebaliknya, hubungan itu menurut OCT Muhamed Hafiz, sebagai cukup akrab.

Sepanjang menjalani Perkhidmatan Negara kini,waktu yang dapat diluangkan bersama keluarganya agak terhad kini iaitu pada hujung minggu sahaja, OCT Muhamed Hafiz tetap memanfaatkan detik-detik berharga itu dan sering meminta nasihat bapanya mengenai urusan NS.

"Misalnya, jika ada sebarang kelakuan atau perkara yang dikongsi oleh para jurulatih OCS yang saya tidak setuju, saya akan minta pendapat bapa dan abang saya. 

"Bapa saya nasihati saya supaya abaikan sisi negatif tetapi anggapnya sebagai pengajaran kerana sepanjang menjalani OCS, ada banyak pengajaran yang boleh diraih dan ini lumrah pekerjaan atau dalam bidang perkhidmatan berseragam.

"Jadi dari segi ini saya dapat katakan bapa saya ada membantu kerana beliau sudah berkhidmat dalam perkhidmatan berseragam dan berdepan cabaran serupa dalam pekerjaannya, sama ada berurusan dengan orang awam atau pun anggota pasukannya," katanya.

Kini, OCT Muhamed Hafiz akan meneruskan perkhidmatan NS sebagai seorang komander platun di Pusat Latihan Tentera Asas (BMTC).


Mengenai tanggungjawab baru yang akan dipikulnya, OCT Muhamed Hafiz ingin memastikan setiap anggota NS di bawah jagaannya dapat menikmati pengalaman NS yang tidak boleh dilupakan.

Ini selain mengukuhkan tekad mereka demi mempertahankan Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan