Skip to main content

Singapura

OCBC bayar balik sepenuhnya S$13.7 juta kepada 790 mangsa penipuan pancingan data

OCBC sudah membuat bayaran muhibah sebanyak S$13.7 juta kepada 790 mangsa penipuan pancingan data menerusi SMS - iaitu jauh lebih tinggi berbanding jumlah yang dilaporkan sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Jan 2022 06:56PM Dikemas Kini : 30 Jan 2022 08:52PM

SINGAPURA: OCBC sudah membuat bayaran muhibah sebanyak S$13.7 juta kepada 790 mangsa penipuan pancingan data menerusi SMS - iaitu jauh lebih tinggi berbanding jumlah yang dilaporkan sebelum ini.

OCBC menyatakan pada 19 Januari bahawa ia akan membuat aturan dengan semua pelanggan mereka yang menjadi mangsa penipuan itu untuk membayar balik sepenuhnya wang mereka lesap menjelang hujung minggu lalu.

"OCBC Bank ingin memberi kemas kini bahawa pembayaran semula itu sudah selesai dibuat," menurutnya dalam satu kenyataan pada Ahad (30 Jan).

OCBC menyatakan 80 peratus wang yang lesap itu, berlaku semasa tempoh perayaan akhir tahun dari 23 Disember hingga 30 Disember tahun lalu.

"Semasa tempoh itu, panggilan yang dibuat ke pusat perhubungan bank melonjak sebanyak lebih 40 peratus," menurut OCBC.

Pada hujung bulan lalu, Pasukan Polis Singapura menyatakan 469 mangsa kerugian sekurang-kurangnya S$8.5 juta angkara penipuan membabitkan kiriman SMS yang menyamar sebagai pihak OCBC.

OCBC menyatakan lebih banyak aduan polis dibuat dan diserahkan kepada pihak bank sejak awal tahun ini, Selain daripada mereka yang membuat aduan polis, pihak bank turut menghubungi mangsa yang tidak sedar bahawa mereka sudah ditipu.

Pada minggu lalu, OCBC menyatakan ia mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan, termasuk melaksanakan pemberitahuan urus niaga bagi pemindahan wang menerusi PayNow dan bayaran antara bank bagi jumlah serendah S$0.01.

OCBC pada Ahad menyatakan tiada lagi sebarang urus niaga berkaitan dengan skim penipuan itu dilaporkan sepanjang beberapa minggu lalu.

"Lebih 200 pelanggan dapat dicegah daripada menjadi mangsa disebabkan oleh langkah-langkah kami yang dipertingkatkan menyusuli gelombang awal skim penipuan ini," menurut OCBC.

Siasatan oleh pihak bank juga mendapati bahawa individu yang terpedaya menyerahkan butiran log-masuk perbankan online dan nombor PIN sekali kepada laman-laman pancingan data, justeru "membolehkan penipu untuk mengambil alih akaun bank mereka dan membuat urus niaga mencurigakan".

"Meskipun demikian, OCBC Bank memutuskan untuk membuat bayaran balik sepenuhnya sebagai tanda muhibah sekali sahaja berdasarkan keadaan sekitar penipuan ini," tambahnya.

"Kami juga mengambil kira bahawa khidmat pelanggan dan respons kami tidak memenuhi jangkaan kami, yang mungkin dapat mengurangkan kerugian dalam sesetengah kes."

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita