Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Nyawanya diragut dalam keadaan mengerikan': Keluarga wanita SG maut di Sepanyol luah rasa kehilangan

Anggaran Waktu Membaca:
'Nyawanya diragut dalam keadaan mengerikan': Keluarga wanita SG maut di Sepanyol luah rasa kehilangan

Gambar: La 7 Murcia Television, Facebook/Fang Dirou

Diterbitkan : 22 Apr 2024 11:32PM Dikemas Kini : 22 Apr 2024 11:33PM
SINGAPURA: Apabila adik lelaki dan sepupu Audrey Fang melakukan perjalanan ke Sepanyol untuk mencarinya, mereka tidak terfikir sama sekali bahawa Cik Fang mati dibunuh.

"Bermacam-macam perkara berlegar-legar dalam fikiran kami ... (pembunuhannya) tidak terlintas sama sekali dalam benak fikiran kami," luah sepupunya, yang hanya mahu dikenali sebagai Cik See.

"Kami fikir mungkin dia berada di hospital ... sejujurnya, sekalipun dalam senario paling buruk, kami fikir dia hanya terjatuh, lalu terhentak kepalanya."

Mereka menjangkakan, memandu ke beberapa hospital di Sepanyol untuk mencari Cik Fang, yang tidak dapat dihubungi.

"Kami sangat sedih dan terkejut apabila nyawanya diragut dalam keadaan yang mengerikan sebegitu," jelas adik lelakinya, Benjamin Fang, 35 tahun.

Pada 9 Apr, ketika sedang bercuti sendirian, Audrey Fang yang berusia 39 tahun meninggalkan barangan peribadinya di hotel dan tidak diketahui keberadaannya selepas itu.

Mayatnya ditemui dengan 30 kesan tikaman di sebuah tempat letak kenderaan bagi lori di bandar Abanilla.

Laporan awal bedah siasat mendapati kesan luka pisau dan trauma di kepala yang menjadi punca kematiannya, lapor media Sepanyol La Verdad de Murcia.

Bercakap kepada media pada Isnin (22 Apr), Cik See dan Encik Fang menyifatkan Cik Fang sebagai seorang kakak yang pemurah hati, yang sanggup membiayai perkahwinan saudara lelakinya.

Apabila ibu mereka meninggal dunia pada 2019, dia juga menjadi "tunggak kekuatan" keluarga mereka, jelas Encik Fang.

"Terutama apabila ibu saya sudah tiada, dia yang paling menjaga saya," katanya, sambil dicengkam emosi.

Cik Fang adalah seorang arkitek, di sebuah syarikat khidmat reka bentuk dan turut meneruskan perniagaan bunga mendiang ibunya.

Dia menyimpan impian untuk bersara awal dan berpindah ke Bali bersama sepupunya, untuk tinggal di sebuah rumah yang direkanya sendiri.

Mayatnya masih berada di Sepanyol, dan hanya boleh dibawa pulang apabila sijil kematian bahasa Inggeris dan sijil pengawetan telah dikeluarkan. Perkara itu dijangka selesai dijalankan minggu ini, jelas mereka.

Encik Fang, Cik See dan seorang rakan keluarga Cik Lee Si Hua kembali ke tanah air pada Ahad.

LELAKI RAKYAT SG DIREMAN

Saudara mara Cik Fang mengatakan mereka ingin orang ramai tahu betapa "kejam" pembunuh tersebut, sedang mereka menggambarkan kecederaan teruk yang dilakukannya pada wajah mendiang.

Suspek, yang dinamakan sebagai Mitchell Ong oleh saluran berita tempatan La Verdad de Murcia, diberkas di Alicante pada 16 Apr. Dia dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat lalu.
Ong dilaporkan memiliki beberapa perniagaan di sana dan tinggal di sebuah kondominium di Bukit Timah, menurut 8World. Laporan itu juga menyatakan bahawa dia berkahwin pada tahun 2012.

Encik Fang berkata dia tidak pernah mendengar tentang Ong dan tidak mengetahui apakah hubungan antara Ong dengan kakaknya.

"Ia masih agak samar-samar kepada kami," jelasnya.

Cik Fang menyembunyikan perkara tersebut, dan hanya memberitahu keluarganya bahawa dia akan bertemu dengan seorang rakan di Sepanyol. Apabila Encik Fang menyiasat lebih lanjut, Cik Fang berkata rakannya itu adalah seorang bekas rakan sekerja.

Saluran berita Sepanyol Levante El Mercantil Valenciano melaporkan bahawa polis tempatan telah membuktikan bahawa telefon bimbit Ong dan Cik Fang berada bersama di Abanilla pada hari dia meninggal dunia.

Motif Ong mungkin berunsur "kewangan", menurut laporan itu, sambil menambah bahawa Cik Fang dilaporkan telah memindahkan wang kepada orang ketiga yang tidak dikenali.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan