Skip to main content

Singapura

Nyamuk Wolbachia dilepaskan di 5 lagi tapak di SG untuk tangani denggi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Nov 2023 02:49PM Dikemas Kini : 21 Nov 2023 09:27PM
SINGAPURA: Nyamuk jantan Aedes aegypti pembawa Wolbachia akan dilepaskan di lima lokasi baharu di selatan Singapura dalam usaha memerangi denggi, kata Setiausaha Parlimen Kanan Kemampanan dan Sekitaran Baey Yam Keng pada Selasa (21 Nov).

Kelima-lima lokasi itu adalah Bukit Merah – Telok Blangah, Clementi – West Coast, Commonwealth, Holland dan Marine Parade – Mountbatten, dan akan merangkumi estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan HDB dan estet-estet rumah privet.

Kelima-lima lokasi baharu itu akan meningkatkan perlindungan daripada 350,000 kepada 480,000 isi rumah, yang merupakan peningkatan daripada 26 peratus kepada 35 peratus daripada semua isi rumah di Singapura.

Nyamuk pembawa Wolbachia itu akan dilepaskan mulai suku pertama 2024.

Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), kelima-lima lokasi itu dipilih berdasarkan berbagai pertimbangan, termasuk sejarah risiko denggi, populasi nyamuk Aedes, serta kapasiti NEA untuk menghasilkan dan melepaskan nyamuk jantan Wolbachia-Aedes.

Encik Baey mengumumkan tapak-tapak baharu itu di Persidangan Penyakit Bawaan Vektor Antarabangsa di Rumah Alumni Yayasan Shaw di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Beliau menyatakan bahawa Singapura mengalami wabak denggi dalam tiga daripada lima tahun lalu - hampir 16,000 kes dilaporkan pada 2019, dan lebih daripada 30,000 kes dilaporkan setiap tahun pada 2020 dan 2022.

Di bawah projek Wolbachia, nyamuk jantan Aedes aegypti yang membawa kuman Wolbachia dilepaskan untuk mengawan dengan nyamuk betina Aedes aegypti di kawasan perbandaran. Ini akan menghasilkan telur yang tidak menetas.

Nyamuk jantan tidak menggigit dan tidak boleh menularkan penyakit kerana ia hanya memakan jus tanaman seperti nektar.

Menurut data daripada laman NEA, lebih 8,700 kes denggi dicatat tahun ini. 143 kes dilaporkan minggu lalu.

Sehingga Selasa petang, terdapat 34 kluster denggi.

Menurut laman NEA, walaupun jumlah kes yang dilaporkan setiap minggu merosot bulan lalu, jumlah kes tetap tinggi. Ia juga menambah bahawa cuaca lebih panas daripada cuaca yang biasa dialami pada akhir tahun dijangkakan akibat fenomena El nino.

Pada September lalu, NEA memberi amaran bahawa Singapura berisiko mengalami peningkatan dalam kes denggi, dengan kes virus denggi serotype 1 (DENV-1) semakin meningkat, menggantikan virus denggi serotype 3 (DENV-3) yang dominan sebelum ini.


KEPUTUSAN KAJIAN SEBELUM INI

Jumlah nyamuk di tapak-tapak kajian di Bukit Batok, Choa Chu Kang, Tampines dan Yishun merosot lebih 90 peratus, menurut NEA.

Antara 2019 dengan 2022, penduduk yang tinggal di kawasan dengan sekurang-kurangnya satu tahun pelepasan adalah sehingga 77 peratus kurang berkemungkinan dijangkiti denggi, tambah agensi itu.

Data awal daripada lapan tapak kajian di bawah kajian yang dilancarkan pada Jun tahun lalu juga mencadangkan pengurangan sehingga 80 peratus dalam jumlah nyamuk denggi.

Menurut NEA, teknologi Wolbachia masih wujud, dan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan diperlukan untuk terus mengautomasikan dan mempertingkatkan proses untuk pelaksanaan berskala lebih besar pada masa hadapan.

Agensi itu juga merancang untuk membangunkan sumber bekalan nyamuk Wolbachia-Aedes tambahan di atas kapasiti yang sedia ada, sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk meningkatkan kapasiti dan daya tahan dalam operasi Wolbachia.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita