Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nyamuk Wolbachia akan dilepaskan di 5 lokasi baharu untuk tangani denggi

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Nyamuk jantan pembawa Wolbachia akan dilepaskan di lima lokasi tambahan untuk menghadkan jumlah nyamuk aedes dan mengurangkan risiko wabak denggi, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Khamis (3 Okt).

Kelima-lima lokasi tersebut adalah Serangoon Central, Serangoon North, Jurong East, Jurong West dan peluasan tapak kajian sedia ada di Hougang.

Menurut NEA, lokasi-lokasi tersebut dipilih berdasarkan risiko penularan denggi, termasuk jika terdapat banyak nyamuk Aedes.

Di bawah Projek Wolbachia, nyamuk Aedes aegypti jantan yang membawa bakteria Wolbachia dilepaskan untuk mengawan dengan Aedes aegypti betina di persekitaran bandar. Telurnya tidak akan menetas.

Nyamuk jantan tidak menggigit dan tidak boleh menularkan penyakit kerana ia hanya memakan jus tumbuhan seperti nektar.

Pelepasan nyamuk jantan, yang akan dijalankan dua kali seminggu, bermula suku ini untuk lokasi-lokasi di Serangoon dan Hougang, manakala baki dua lokasi di Jurong akan memulakan pelepasan nyamuk jantan pada suku pertama tahun depan.

Lokasi-lokasi baharu itu akan meningkatkan perlindungan dari 480,000 isi rumah kepada 580,000.

Peluasan itu dijalankan selepas NEA menyaksikan penurunan 80 hingga 90 peratus pada jumlah nyamuk Aedes aegypti dalam tinjauan yang dijalankan di pelbagai lokasi di mana projek itu dijalankan.

Kajian selama dua tahun itu, yang bermula pada Julai 2022, direka sedemikian rupa untuk menentukan kesan teknologi Wolbachia terhadap kes dan kelompok denggi selain kesannya terhadap nyamuk aedes. Sebagai sebahagian daripada kajiannya, nyamuk Wolbachia turut dilepaskan di lokasi-lokasi termasuk Bedok, Choa Chu Kang dan Punggol.

Keputusan awal daripada kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa para penduduk yang tinggal di lokasi-lokasi tersebut adalah sekitar 75 peratus kurang berkemungkinan dijangkiti denggi, menurut NEA.

Bercakap kepada para wartawan semasa acara kemasyarakatan pada Khamis (3 Okt), Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu berkata purata jumlah bulanan kes denggi telah berkurangan daripada 3,000 kes dari 2022 - ketika Singapura mengalami wabak denggi - kepada 1,300 tahun ini.

“Itu satu petanda yang sangat menggalakkan. Justeru, kami mahu meneruskan dan mengembangkan Projek Wolbachia tetapi jelas, ini bukan satu huraian yang muktamad. Sebaliknya, kami masih memerlukan kerjasama penduduk untuk mengamalkan amalan-amalan kebersihan yang baik untuk memastikan pembiakan nyamuk dapat dihadkan pada tahap minimum.”

Beliau menambah bahawa NEA masih perlu menyelesaikan kajian dan melihat manfaat kos, keberkesanan dan kapasiti projek itu.

“Kami perlu membuat kesimpulan daripada kajian kami supaya kami boleh membandingkan hasilnya. Jadi bukan hanya bilangan kes (denggi), kerana jumlah kes juga bergantung kepada isu-isu seperti cuaca dan … sama ada kita mengalami penularan wabak,” katanya.

"Kami mahu melakukan kajian dengan betul kerana jelas sekali, (ia) melibatkan pelaburan dalam keupayaan pengeluaran."

Menurut data daripada laman web NEA, lebih 12,000 kes denggi telah direkodkan pada tahun ini, melebihi jumlah yang dicatatkan sepanjang 2023.

NEA telah memberi amaran pada Mac tahun ini mengenai peningkatan jangkitan denggi, dengan lebih 5,000 kes dilaporkan pada suku pertama 2024, lebih dua kali ganda daripada 2,360 kes yang dilaporkan dalam tempoh yang sama pada 2023.

Sebanyak 152 kes denggi dilaporkan pada minggu berakhir 28 Sep.

Setakat Khamis, terdapat 34 kelompok aktif denggi. Sembilan dianggap sebagai kelompok amaran merah, yang menunjukkan kawasan berisiko tinggi dengan 10 atau lebih kes setiap satu.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan