Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NWC saran kenaikan gaji 5.5%-7.5% bagi pekerja bergaji rendah

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Nov 2022 05:44PM Dikemas Kini : 14 Nov 2022 11:53PM
SINGAPURA: Para pekerja bergaji rendah yang membawa pulang sehingga S$2,200 sebulan boleh menjangkakan kenaikan gaji antara 5.5 hingga 7.5 peratus pada tahun depan, menurut garis panduan baru Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) yang dikeluarkan pada Isnin (14 Nov).

NWC akan terus mengeluarkan garis panduan gaji tambahan, khusus bagi pekerja bergaji rendah, kata Pengerusi NWC, Peter Seah di sidang media pada Isnin (14 Nov).

"NWC menyarankan kepada para majikan supaya menawarkan kenaikan gaji antara 5.5 hingga 7.5 peratus daripada gaji kasar atau sekurang-kurangnya S$80 hingga S$100, bergantung kepada yang mana satu lebih tinggi, kepada semua pekerja yang membawa pulang gaji kasar sekitar S$2,200 sebulan," dedah beliau di sidang media tersebut.

Nilai ambang S$2,200 itu selaras dengan 20 peratus terendah daripada tenaga kerja dari segi paras gaji, menurut NWC dalam kenyataan medianya.

Ini adalah satu peningkatan daripada ambang gaji sebelumnya iaitu S$2,000, menurut Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Mary Liew.

"Ini adalah kali pertama garis panduan bagi kenaikan gaji untuk para pekerja bergaji rendah telah melepasi paras tiga angka, saya rasa ia penting untuk kita juga," tambah Cik Liew.

Cik Liew juga menggesa para majikan supaya memanfaatkan Skim Kredit Gaji Progresif dan menimbangkan untuk menyalurkan kenaikan gaji kepada komponen-komponen gaji asas yang akan mengukuhkan kemantapan pendapatan jangka panjang bagi para pekerja bergaji rendah.

Pemerintah sudahpun menerima garis panduan NWC, dedah Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Ng Chee Khern di sidang media yang sama.

"Dengan pemulihan ekonomi dan buruh pada tahun lalu, sudah tiba masanya untuk majikan memberi ganjaran kepada para pekerja dengan menawarkan kenaikan gaji atau bayaran bagi komponen berubah-ubah yang boleh ditampung."

Memberi ganjaran kepada pekerja dengan menawarkan kenaikan gaji atau bayaran bagi komponen berubah-ubah yang 'adil dan berdaya mampan' akan membantu menangani kebimbangan mereka tentang inflasi dan kos sara hidup yang meningkat, menurut MOM dalam kenyataan medianya.

Dalam garis panduan terbarunya bagi Disember 2022 hingga November 2023, NWC menarik perhatian bahawa ekonomi Singapura berkembang sebanyak 4.4 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding tempoh yang sama setahun lalu.

Pasaran buruh mencatatkan kemajuan pada tiga suku pertama 2022 manakala kadar pemberhentian pekerja jatuh ke paras terendah, dedah NWC selanjutnya.

Bagi mengikuti pertumbuhan gaji, NWC turut menyarankan agar syarikat-syarikat melabur dalam usaha untuk menajamkan lagi kemahiran dan melatih semula para pekerja mereka, kata Pengerusi NWC, Peter Seah.
Sumber : CNA/AW/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan