Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NUS: ‘Tanggungjawab sivil’ buat aduan polis terhadap bekas pensyarah sekalipun mangsa enggan berbuat demikian

Universiti Nasional Singapura (NUS) menyatakan pada Jumaat (23 Okt) bahawa ia diwajibkan secara sah untuk membuat aduan polis terhadap seorang bekas pensyarah atas dakwaan salah laku seksual sekalipun mangsa belum memutuskan untuk berbuat demikian.

Anggaran Waktu Membaca:
NUS: ‘Tanggungjawab sivil’ buat aduan polis terhadap bekas pensyarah sekalipun mangsa enggan berbuat demikian

Jeremy Fernando (Gambar: NUS)

Diterbitkan : 24 Oct 2020 11:50AM Dikemas Kini : 24 Oct 2020 12:22PM

SINGAPURA: Universiti Nasional Singapura (NUS) menyatakan pada Jumaat (23 Okt) bahawa ia diwajibkan secara sah untuk membuat aduan polis terhadap seorang bekas pensyarah atas dakwaan salah laku seksual sekalipun mangsa belum memutuskan untuk berbuat demikian.

Universiti tersebut dikritik baru-baru ini kerana membuat aduan terhadap bekas pensyarah Kolej Tembusu Jeremy Fernando kepada polis pada Rabu. Persatuan Wanita untuk Tindakan dan Penyelidikan (AWARE), sebuah kumpulan yang memperjuangkan kesaksamaan jantina, mempersoalkan mengapa NUS membuat keputusan itu meskipun mangsa memilih untuk tidak membuat aduan polis.

Apabila ditanya sama ada NUS wajib membuat aduan polis, Profesor Tommy Koh, rektor Kolej Tembusu, memberitahu sidang media yang diadakan di kolej tersebut pada Jumaat bahawa ia menjadi "tanggungjawab sivil (NUS) untuk melaporkannya".

Dan semasa ditanya sama ada mahasiwa perlu membantu pihak berkuasa dalam siasatannya, Prof Koh berkata: "Tentu sekali, polis perlu memanggil mereka dan juga menyoal siasat pelaku yang dipercayai melakukan perkara tersebut."

Dalam catatan di Facebook pada Khamis, AWARE membangkitkan persoalan sama ada pihak universiti membuat aduan polis disebabkan oleh klausa pengaduan wajib dalam Seksyen 424 Kanun Prosedur Jenayah.

Seksyen 424 menyatakan bahawa sesiapa saja yang mengetahui tentang seseorang yang melakukan, atau berniat untuk melakukan, pelbagai kesalahan yang ditentukan, seharusnya melaporkan perkara itu kepada pihak polis "sekiranya tiada alasan yang munasabah".

Profesor Madya Leong Ching, dekan mahasiswa NUS dan provost bersekutu bagi projek-projek khas berkata bahawa NUS terikat dengan klausa ini dan perlu membuat aduan polis setelah cuba menghubungi kedua-dua siswa terlibat.

Menurut Prof Koh, terdapat kes-kes di mana pihak universiti boleh menangguhkan aduan tersebut, seperti jika dinilai sekiranya mangsa mungkin membahayakan diri sendiri atau jika dengan membuat aduan ia akan membahayakan kesihatan mental pengadu.

Ketika ditanya sama ada kedua-dua siswa itu sudah dinilai dalam hal itu sebelum aduan dibuat, Prof Madya Leong tidak dapat mengesahkannya dan berkata bahawa pihak universiti perlu menghubungi unit jagaan mangsa.

AWARE juga menyatakan dalam catatannya bahawa dari perspektif mangsa, adalah tidak ideal untuk membuat aduan polis jika seseorang mangsa keberatan untuk melakukannya.

Apabila ditanya oleh Mediacorp jika dengan membuat aduan polis tanpa persetujuan siswa akan menawarkan hati mangsa daripada berbuat perkara sedemikian pada masa akan datang, Prof Madya Leong berkata bahawa ia adalah "salah satu dilema paling sulit" yang dihadapi pihak universiti.

Prof Koh enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai kes tersebut kerana perkara itu dalam siasatan polis.

PENDAPAT PEGUAM BERBELAH BAGI

Menjawab pertanyaan Mediacorp, para peguam berbelah bagi tentang sama ada NUS wajib membuat aduan polis. Sekalipun diwajibkan, kewajipan itu mungkin tidak mutlak, kata salah seorang peguam yang diwawancara Mediacorp.

Peguam Luke Lee dari Luke Lee & Co berkata bahawa sebilangan kesalahan tidak termaktub di bawah peruntukan aduan wajib Seksyen 424 Kanun Prosedur Jenayah. Beliau tidak merujuk kepada keadaan kes ini khususnya.

Sebagai contoh, kesalahan mencabul kehormatan, di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau kesalahan merogol di bawah Seksyen 376 Kanun Jenayah, tidak terkandung dalam Kanun Prosedur Jenayah, katanya.

"Tidak ada kewajiban untuk membuat aduan terhadap kesalahan tersebut," kata Encik Lee.

Encik Chooi Jing Yen, rakan kongsi di Eugene Thuraisingam LLP, berkata bahawa Seksyen 424 tidak akan digunakan jika individu yang ingin membuat aduan tidak mempunyai pengetahuan peribadi mengenai sama ada sesuatu kesalahan sudah dilakukan.

"Biasanya, pengadu atau mangsa yang mempunyai pengetahuan peribadi," kata Encik Chooi. "Seseorang yang diberitahu tentang sesuatu kejadian tidak akan tahu (secara peribadi)."

Beliau menambah: "Sesebuah pertubuhan juga boleh bergantung kepada fakta ini sebagai alasan yang munasabah untuk tidak membuat aduan polis."

Menyuarakan pendapat sebaliknya Encik Marshall Lim, peguam bela jenayah dan pengarah bersekutu Invictus Law Corporation, berkata, membuat aduan polis dalam keadaan seperti itu mungkin menjadi tanggungjawab NUS di bawah Seksyen 424.

Ini mungkin bagi kes jika tuduhan salah laku seksual dimaklumkan kepada NUS dan jika salah laku tersebut berpotensi menjadi kesalahan di bawah Kanun Jenayah.

"Bagaimanapun, kewajiban itu tidak mutlak kerana pihak-pihak yang mengetahui tentang pelanggaran kesalahan yang relevan mungkin mempunyai alasan yang munasabah untuk tidak membuat aduan," tambahnya.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan