Skip to main content

Singapura

NUS perketat langkah tangani salah laku seksual; lebih pantas buat aduan polis

NUS mengumumkan bahawa pihaknya akan mengetatkan lagi langkah-langkah bagi menangani insiden-insiden salah laku seksual, termasuk lebih pantas membuat aduan polis dan membentangkan laporan setengah tahun mengenai kes-kes salah laku seksual yang melibatkan kakitangan dan mahasiswa.

Anggaran Waktu Membaca:
NUS perketat langkah tangani salah laku seksual; lebih pantas buat aduan polis

Gambar fail Universiti Nasional Singapura.

Diterbitkan : 18 Dec 2020 11:04AM Dikemas Kini : 18 Dec 2020 11:11AM

SINGAPURA: Ekoran kes-kes salah laku seksual baru-baru ini, Universiti Nasional Singapura (NUS) mengumumkan bahawa pihaknya akan mengetatkan lagi langkah-langkah bagi menangani insiden-insiden sedemikian, termasuk lebih pantas membuat aduan polis dan membentangkan laporan setengah tahun mengenai kes-kes salah laku seksual yang melibatkan kakitangan dan mahasiswa.

Langkah-langkah baru itu dijelaskan kepada para mahasiswa, anggota fakulti dan alumni NUS menerusi surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Presiden NUS Tan Eng Chye pada Khamis (17 Dis) yang diperolehi Mediacorp.

Langkah-langkah berikut diperincikan oleh Profesor Tan:

1. Lebih pantas membuat aduan polis bagi kesalahan yang boleh diberkas

Prof Tan berkata pihak universiti sudah "mengetatkan proses dalamannya" untuk memastikan aduan polis dibuat selewat-lewatnya dua minggu selepas Lembaga Disiplin atau Jawatankuasa Siasatan memuktamadkan perbincangannya. Lembaga Disiplin akan mengendalikan kes-kes yang melibatkan mahasiswa, sementara Jawatankuasa Siasatan pula akan menyiasat kes-kes yang melibatkan kakitangan universiti.

2. NUS akan menerbitkan laporan kes salah laku seksual setiap 6 bulan

Kes-kes dalam laporan ini merangkumi kes-kes yang melibatkan kakitangan, mahasiswa, atau kedua-duanya. Prof Tan berkata ia akan "meningkatkan usaha berterusan NUS untuk meningkatkan kesedaran terhadap salah laku seksual dalam kalangan masyarakat NUS". Bagaimanapun, fakta setiap kes akan diselindungi untuk melindungi identiti mangsa.

3. Melakar dasar bersama bagi salah laku seksual untuk semula kakitangan dan siswa

Buat masa ini, kod tatalaku bagi kakitangan dan mahasiswa mempunyai syarat-syarat yang berbeza berhubung kes-kes salah laku seksual. Prof Tan berkata dasar baru itu akan menetapkan "pendekatan lebih bersepadu bagi menangani kes-kes salah laku seksual di NUS".

4. Kursus ulang kaji bagi semua siswa dan kakitangan NUS mengenai perkara-perkara berhubung hormat dan persetujuan

Prof Tan berkata pihak universiti sedang menimbangkan untuk memperkenalkan latihan bagi para kakitangan yang biasanya adalah barisan responden pertama bagi kes-kes salah laku seksual.

5. Menamakan semula dan memperluas skop Unit Penjagaan Mangsa

Unit Penjagaan Mangsa, yang ditubuhkan Ogos lalu sebagai respons kepada maklum balas terhadap kes Monica Baey, akan dinamakan sebagai Unit Jagaan NUS. Sumber-sumbernya akan diperluaskan untuk menyokong para kakitangan. Buat masa ini, unit berkenaan menyokong mangsa yang merupakan mahasiswa universiti tersebut.

6. Kod Tatalaku NUS bagi Kakitangan akan diterbitkan secara terbuka

Setelah sekatan tatatertib terhadap anggota kakitangan ditentukan bagi kes-kes salah laku seksual atau kesalahan-kesalahan berkaitan integriti, NUS mungkin mengongsi butiran mengenai kesalahan tersebut dengan masyarakat NUS. Ini termasuk mendedahkan nama pesalah, dengan syarat identiti mangsa tetap dirahsiakan. Perubahan ini adalah sebagai respons kepada saranan yang diusulkan oleh Kesatuan Mahasiswa NUS.

Kesemua langkah, termasuk yang disebutkan di atas, akan dikuatkuasakan dalam masa beberapa bulan mendatang.

Langkah-langkah itu diambil setelah kes-kes salah laku seksual baru-baru ini melibatkan anggota fakulti NUS mendapat sorotan media.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita