NUS laksana dasar lima hari bekerja di pejabat bagi semua kakitangan universiti
Universiti Nasional Singapura (NUS) melaksanakan dasar yang memerlukan semua kakitangan sepenuh masa untuk bekerja di pejabat lima hari, menurut universiti itu pada Khamis (2 Okt).
Gambar fail yang menunjukkan papan tanda di Universiti Nasional Singapura. (Gambar fail: CNA/Calvin Oh)
This audio is generated by an AI tool.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap NUS berkata kakitangan daripada "unit pentadbiran pusat" mula kembali bekerja sebanyak lima hari seminggu di kampus sejak 1 September, sebelum langkah itu diperluaskan kepada "seluruh universiti" bermula awal bulan ini.
Mediacorp difahamkan, universiti tersebut beralih kepada dasar empat hari bekerja dari pejabat dan satu hari bekerja dari rumah pada akhir 2023.
“Berdasarkan data Kementerian Tenaga Manusia Singapura, hampir 70 peratus syarikat di Singapura sudah kembali kepada aturan bekerja sepenuhnya di pejabat menjelang 2023. NUS juga mengiktiraf nilai interaksi secara bersemuka di tempat kerja,” tambah jurucakap itu.
“NUS masih menawarkan aturan kerja fleksibel, yang boleh diatur bagi peranan tertentu.”
Mediacorp sebelum ini dimaklumkan mengenai dasar baharu tersebut daripada sumber yang mengetahui tentang perkara berkenaan.
Seorang kakitangan NUS yang enggan dikenal pasti berkata beberapa jabatan diberitahu pada pertengahan Ogos bahawa mereka perlu kembali bekerja di pejabat setiap hari mulai 1 September.
Langkah itu kemudian diperluaskan kepada semua baki kakitangan, termasuk anggota fakulti, berkuat kuasa 1 Oktober.
Mediacorp melihat tiga emel berasingan yang dihantar kepada kakitangan di pelbagai jabatan bagi mengesahkan dasar kembali ke pejabat itu.
“Ia adalah situasi di mana emel dihantar, pengumuman dibuat, dan jika anda ada sebarang komen atau maklum balas, sila berbincang dengan pengurus anda,” tambah kakitangan tersebut.
“Apabila kami menyebut tentangnya kepada (mereka dari fakulti lain), ada yang berkata mereka langsung tidak mendengarnya. Ada pula yang kata mereka hanya mendengarnya secara tidak rasmi, tetapi tidak menerima sebarang mesej rasmi,” kata seorang lagi kakitangan NUS.
Mediacorp difahamkan, bagi sesetengah jabatan, satu sesi perbincangan (town hall) diadakan untuk meredakan kebimbangan, namun langkah itu tidak dilaksanakan bagi setiap jabatan.
“Menghormati keseimbangan yang kita perlukan sebagai manusia dan peluang untuk berdialog secara terbuka, penuh hormat dan jujur, semua perkara itu tiada,” kata seorang lagi kakitangan NUS.
Sebelum dasar baharu itu dikuatkuasakan, terdapat lebih banyak kelonggaran dalam aturan kerja, kata kakitangan pertama.
Beliau mengimbas kembali bagaimana universiti berkenaan banyak memberi tumpuan kepada kesihatan dan kesejahteraan, termasuk menghantar tinjauan mengenai kesejahteraan pekerja. Dalam tinjauan terkini, rakan sekerjanya menekankan pentingnya untuk mengekalkan pilihan bekerja dari rumah, katanya.
“Mengapa anda meminta kami untuk melakukan semua pemeriksaan kesihatan dan kesejahteraan serta tinjauan, sedangkan ... ia bukanlah perbualan dua hala?” kata beliau.
“Sama ada mereka (universiti) sedemikian atau tidak, mereka seharusnya memberi aspirasi, mereka sepatutnya memimpin masyarakat. Ini bukan pendekatan yang mengetengahkan manusia, ia hanya pendekatan yang mengutamakan sistem,” kata kakitangan kedua itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.