Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NUS akan tubuh jawatankuasa semak semula kes lelaki yang rakam mahasiswi semasa mandi

Universiti Nasional Singapura (NUS) menyatakan pada Sabtu (20 Apr) bahawa pihaknya akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyemak semula rangka kerja tindakan disiplin dan sokongan di pusat pengajian itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
NUS akan tubuh jawatankuasa semak semula kes lelaki yang rakam mahasiswi semasa mandi

Seorang mahasiswi menggesa tindakan lebih tegas diambil ke atas seorang lagi mahasiswa yang merakam beliau mandi di asramanya. (Gambar: Monica Baey/Instagram)

Diterbitkan : 20 Apr 2019 10:23PM Dikemas Kini : 20 Apr 2019 10:27PM

SINGAPURA: Universiti Nasional Singapura (NUS) menyatakan pada Sabtu (20 Apr) bahawa pihaknya akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyemak semula rangka kerja tindakan disiplin dan sokongan di pusat pengajian itu. Langkah itu diambil setelah seorang mahasiswi berkongsi di media sosial menggesa tindakan lebih tegas diambil ke atas seorang lagi mahasiswa yang merakam beliau mandi di asramanya.

Dalam satu siri 'Instagram Stories' pada Jumaat (19 Apr), Cik Monica Baey mendedahkan beliau mendapat tahu seorang mahasiswa merakamnya mandi di bilik air asrama berkenaan dengan menggunakan telefon bimbit pada November tahun lalu.

"Kami memohon maaf di atas pengalaman yang dilalui Cik Monica Baey. Ia amat membimbangkan pihak universiti," menurut NUS dalam satu respons kepada pertanyaan Mediacorp.

"Kami dalam proses menghubunginya untuk menawarkan sokongan dan bantuan," tambah NUS.

"SAYA PERLU TAHU ANDA AKAN AMBIL TINDAKAN SEWAJARNYA"

Cik Baey, 23 tahun, berkata beliau sudah membuat aduan polis selepas insiden itu. Menurut beliau, antara bukti yang dihantar adalah rakaman CCTV suspek "cuba memasuki tandas-tandas lain untuk mencari mangsanya". Beliau juga mendakwa mempunyai rakaman video yang dibuat suspek.

Cik Baey berkata beliau cuba untuk memohon hukuman lebih berat bagi suspek, tetapi diberitahu oleh pegawai penyiasat "Anda perlu menerima keputusan" atau "pergi ke NUS dan tuntut tindakan diambil".

Cik Baey turut mendedahkan identiti suspek itu, selain petikan gambar petikan surat yang didakwa ditulis suspek tersebut seperti diminta oleh NUS.

JAWATANKUASA AKAN KAJI LANGKAH-LANGKAH INSTITUSI ANTARABANGSA

Menurut NUS pada Sabtu, Presiden NUS akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyemak semula rangka kerja tindakan disiplin dan sokongan yang ada sekarang. Hasilnya dijangka dapat dikongsi pada tahun akademik baru bersama tindakan susulan yang akan diambil.

Jawatankuasa tersebut, akan melibatkan perwakilan dari Lembaga Pemegang Amanah NUS, dan akan meneliti langkah-langkah yang diambil oleh institusi-institusi antarabangsa lain, dan pandangan dari beberapa pemegang berkepentingan.

Menurut NUS, antara faktor-faktor yang dipertimbangkan Lembaga Disiplin NUS adalah:

Berapa berat kesalahan itu, keperluan mendapatkan keadilan untuk mangsa, pemulihan bagi pesalah, keselamatan mahasiswa NUS, serta keputusan serta hukuman yang dikenakan oleh pihak berkuasa. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan