Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nurul Jihadah perjuang kesaksamaan di tempat kerja; ini harapan beliau

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dalam masa dua tahun yang lalu, selain daripada mengharungi pandemik global, saya menjadi seorang ibu di samping mengendalikan sebuah pertubuhan bukan untuk keuntungan, (NGO) The Codette Project, serta bekerja sepenuh masa.

Meskipun ia mencabar, saya sedar bahawa ramai lagi wanita lain yang berdepan cabaran yang lebih sukar di rumah dan di tempat kerja. Sudah tiba masanya untuk kita fikirkan mengenai tempat kerja yang lebih baik dan saksama untuk semua.

Pandemik sudah mengajar kita bahawa ada jurang yang besar dalam kalangan dan antara masyarakat dan kita harus lakukan sesuatu untuk mengelakkan jurang itu menjadi lebih besar.

Jika kita boleh mempertingkat peruntukan cuti bapa, untuk para bapa mendapatkan faedah aturan kerja fleksibel, mereka akan meluangkan lebih banyak masa di rumah bersama anak-anak dan saya pasti ramai bapa yang ingin berbuat demikian.

Jadi inilah senarai hajat peribadi saya yang saya harap syarikat-syarikat akan mula laksanakan untuk mewujudkan lebih banyak tempat kerja yang saksama untuk semua orang:

FIKIRKAN SEMULA AMALAN SUMBER MANUSIA

Pertama, kita harus menghapuskan budaya merahsiakan pakej pampasan bagi pekerja.

Ini adalah satu amalan yang memberikan faedah hanya kepada syarikat. Sebaliknya, ia akan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pekerja tentang sama ada mereka diberikan bayaran yang setimpal berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka.

Mempunyai budaya yang lebih telus mengenai gaji akan membantu wanita mengetahui sama ada mereka mendapat gaji yang sama untuk kerja yang serupa.

Kedua, syarikat yang ingin mengekalkan kakitangan mereka untuk jangka panjang harus memberikan lebih banyak cuti untuk anak-anak, ibu bapa dan keluarga.

Ketiga, saya menyeru agar proses permohonan kerja difikirkan semula secara menyeluruh.

Untuk maju ke arah masyarakat yang lebih saksama, CV ataupun 'resume' yang dihantarkan untuk memohon kerja tidak harus mengandungi kriteria seperti gambar, jantina, kaum, agama atau umur. Ia seharusnya mengandungi pengalaman dan kemahiran calon.

Keempat, harus ada penjelasan yang terang dan munasabah bagi sebarang jenis pakaian seragam atau kod pakaian.

TITIBERATKAN USAHA TONJOLKAN KERENCAMAN

Apabila menyampaikan kisah-kisah kejayaan di dalam pertubuhan, syarikat harus menitikberatkan usaha untuk mencari contoh yang lebih rencam.

Kajian mendapati bahawa melihat contoh individu yang berjaya daripada latar belakang yang pelbagai adalah penting bukan sahaja untuk individu dalam demografik yang sama tetapi untuk semua individu kerana ia membenarkan kita untuk memikirkan semula apa yang dianggap sebagai kejayaan.

FIKIRKAN SEMULA RUANG FIZIKAL DAN MEREKA YANG MEMERLUKANNYA

Selain memikirkan trend yang sudah lapuk seperti "hot desking" dan "open office", syarikat harus melakarkan ruang berdasarkan keperluan pengguna.

Ini bermakna untuk memberikan ruang pejabat kepada pengguna berkerusi roda dan ibu menyusu dan bukan kepada pengurus kanan syarikat.

TUBUHKAN KUMPULAN SOKONGAN

Di The Codette Project, saya mendapati bahawa bimbingan daripada karyawan dalam bidang teknologi adalah cara yang baik untuk mendorong pelajar dalam program Codette Cares untuk memikirkan tentang pelajaran mereka pada masa-masa yang sukar.

Prinsip yang sama boleh digunakan dalam syarikat. Syarikat boleh memberikan bimbingan dalam sebuah pasukan, terutama sekali buat wanita.

Syarikat-syarikat juga harus mempertimbangkan untuk menubuhkan kumpulan sokongan pekerja supaya kakitangan ada ruang yang selamat untuk mendapatkan sumber dan sokongan.

Kakitangan dan majikan juga harus bersikap jujur dan terbuka mengenai keperluan dan cabaran yang mereka hadapi.

PENGAJARAN DARIPADA PANDEMIK

Ia sangat mengecewakan apabila melihat banyak syarikat menyuruh pekerja untuk kembali ke pejabat setiap hari sejak ekonomi dibuka semula, meskipun pandemik sudah memaparkan bahawa lebih ramai orang lebih produktif apabila bekerja dari rumah dan secara fleksibel.

Saya tidak fikir mana-mana idea ini semestinya radikal tetapi idea-idea yang berbeza ini akan dapat menambat pertubuhan-pertubuhan yang melalui fasa yang berbeza untuk memperbaiki kepelbagaian dan kesaksamaan dalam pertubuhan masing-masing

Banyak syarikat teknologi besar mengeluarkan laporan kerencaman mereka yang memaparkan peningkatan termasuk jurang jantina. Mereka sedang cuba untuk komited kepada sistem yang lebih baik.

Ada lebih banyak tindakan yang harus dilakukan.

Jadi hajat saya yang terakhir untuk masyarakat yang lebih saksama adalah untuk syarikat mengambil langkah pertama ke hadapan dan memberikan komitmen yang ikhlas untuk mempertingkat kerencaman, kesaksamaan dan inklusif dalam pertubuhan masing-masing.

MENGENAI PENULIS:
Nurul Jihadah Hussain, 35 tahun, pengasas The Codette Project, sebuah pertubuhan bukan untuk keuntungan (NGO) yang bertujuan untuk menyokong minoriti/wanita Islam dalam bidang teknologi.
Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan